Isu-isu Perkauman Dalam Masa COVID-19

Ketika makalah ini ditulis, 22 Julai 2020, negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan walaupun sudah pada peringkat pemulihan, PKPP dan umumnya rakyat berharap selepas pada 31 Ogos 2020, ia akan berakhir walaupun Norma Baharu terus berkuatkuasa.

Sepanjang PKP ini, isu-isu perkauman yang bermotivasikan politik sudah hampir hilang. Ini kerana kerajaan Pakatan Harapan sudah tumbang. Kempen berbentuk perkauman dan keagamaan yang dipercayai digerakkan oleh lasykar-lasykar maya pendokong UMNO dan PAS bertujuan untuk memburukkan Pakatan Harapan selama 22 bulan berakhir dengan tumbangnya kerajaan itu.

Dengan kerajaan Perikatan Nasional mula memerintah beberapa hari sebelum PKP diisytiharkan, dengan sekelip mata isu-isu perkauman dan keagamaan yang bermotivasikan politik hilang sekelip mata.

Pun begitu, isu perkauman dalam bentuk lain timbul. Ia tidak bermotivasikan politik tetapi berkaitan dengan wabak COVID-19. Isu pertama ialah mengenai orang Rohingya. Isu perkauman yang ditujukan pada Rohingya merentas parti politik. Mereka yang menentang orang Rohingya datang daripada kedua-dua belah pihak penyokong Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

Ada yang melihat sentimen anti-Rohingya ini bukanlah rasis tetapi berbentuk rasa takut rakyat Malaysia terhadap penularan wabak COVID-19. Ada pula yang menyatakan sentimen orang Rohingya ini bukan berbentuk rasisme dan fobia virus semata-mata tetapi ia berbentuk anti-pekerja asing dan anti-pendatang.

Sentimen ini sudah lama tersimpan, bukan saja terhadap orang Rohingya tetapi juga kepada sesiapa orang luar yang bekerja di Malaysia, antaranya dari kalangan warga Indonesia, Bangladesh dan Nepal. Ancaman wabak Covid-19 ini hanya penyebab akhir.

Tentunya banyak faktor yang membuatkan rakyat Malaysia membenci orang Rohingya. Hakikat bahawa rakyat Malaysia sendiri tertekan kerana keadaan ekonomi negara juga perlu diambil kira. Apabila perasaan marah terhadap kedudukan hidup sendiri yang sukar, maka perasaan ini dihalakan pada orang asing, khususnya orang Rohingya.

Tetapi tidakkah ada elemen rasisme dalam keadaan ini? Faktor ekonomi dan wabak COVID-19 hanya menambahkan sentimen kebencian ini. Persoalannya ialah bahawa kerajaan selama ini, sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tidak tegas dalam penguatkuasaan menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.

Atau mungkinkah, sebab ancaman wabak COVID-19, kerajaan Perikatan Nasional mahu bertindak tegas terhadap pendatang tanpa izin, termasuk orang Rohingnya. Maka untuk melicinkan usaha kerajaan, sentimen anti-Rohingya dibakar di kalangan rakyat Malaysia.

Di sini perlu sejenak menjelaskan maksud istilah-istilah itu. Orang asing digunakan sebagai terjemahan dari perkataan foreigners. Dahulu mereka menggunakan perkataan aliens, yang bermaksud orang lain atau others. Tetapi kini aliens sudah bermaksud makhluk dari luar planet Bumi. Dalam bahasa Melayu, ia disebut makhluk asing.

Kalau sebelum ada konsep negara bangsa, orang asing di peringkat kampung adalah mereka yang sebelum mereka datang, mereka tidak pernah kelihatan di kampung itu. Tetapi dalam konteks negara bangsa, orang asing adalah orang yang tidak kelihatan bermula dengan penubuhan entiti politik berkenaan. Tetapi generasi kedua orang asing itu bukan lagi orang asing,

Sebagai contoh, Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Maka semua orang yang sudah berada di negara ini ketika itu termasuklah kaum Cina dan India adalah bukan orang asing. Tapi kalau orang Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang datang kemudian tentulah orang asing. Termasuk juga orang India dan China yang datang selepas penubuhan negara itu. Namun apabila generasi kedua mereka lahir dan membesar di Malaysia. mereka bukan lagi orang asing. Jadi adakah mereka bukan pendatang?

Asal maksud pendatang adalah mereka yang datang. Maknanya sesiapa yang datang dari luar dipanggil pendatang. Sama ada mereka datang untuk sementara atau kekal, mereka tetap dipanggil pendatang. Tetapi ada kala mereka dipanggil sebagai migran atau imigran. Migran dari perkataan bahasa Inggeris ia bermaksud penghijrah. Imigran bermaksud penghijrah ke dalam negara ini.

Penghijrah keluar negara dipanggil emigran. Tetapi di negara ini istilah yang digunakan ialah migran dan imigran yang sering dianggap sama.

Jadi pendatang ada dua kategori, pendatang tanpa izin (PATI) dan pendatang dengan izin (PADI). Dulu PATI disebut pendatang haram, satu istilah bernada buruk.Di kalangan PADI tergolong pelarian yang merupakan terjemahan kepada refugees. Tetapi asal istilah ini berbeza, pelarian bermaksud lari daripada kesusahan, bencana dan perang. Sementara refugees dari perkataan refuge adalah orang yang mencari perlindungan. Pelarian bernada negatif sementara mencari perlindungan refugees bernada positif. Tetapi pelarian hanya dianggap sah jika memperolehi kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR). Kalau tidak, mereka hanyalah PATI.

Ada satu istilah yang pelik iaitu pendatang asing. Siapakah pendatang asing? Tidakkah semua pendatang itu adalah orang asing? Atau pendatang asing itu adalah orang yang datang dari luar negara. Jadi terdapatlah pendatang yang datang dari dalam negara, atau domestik? Tetapi mereka tidak dipanggil pendatang asing.

Atau perkataan pendatang asing digunakan adalah kerana hendak membezakan mereka dengan rakyat bukan Melayu atau Bumiputera. Ini kerana mereka hendak menggunakan istilah “pendatang” terhadap kaum bukan Melayu. Maka istilah “pendatang” terhadap kaum Cina dan india yang sudah bergenerasi tinggal di sini, dan merupakan warganegara pula sebenarnya membawa maksud elemen perkauman atau rasisme.

Perasaan rasisme amat tebal di kalangan rakyat Malaysia pada semua kaum. Lihat-lihatlah komen dalam media sosial. Orang Melayu dan bukan Melayu berbalas menyerlahkan sentimen perkauman mereka. Malah di kalangan Bumiputera juga perkara ini berlaku, antara Melayu dan bukan Melayu. Apa tah lagi dengan kaum pendatang sebenar yang sudah bermastautin berpuluh tahun berada di negara dan menjadi sebahagian daripada jentera ekonomi negara.

Pada awal wabak COVID-19 ketika kerajaan Pakatan Harapan masih memerintah, terdapat desakan supaya pintu negara ditutup daripada kemasukan rakyat China. Walaupun ia beralasan pada keselamatan kesihatan negara, umumnya orang faham ia mempunyai elemen perkauman. Tujuannya adalah untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan yang hendak dipaparkan mereka sebagai pro-China kerana hanya menutup sempadan dari kedatangan warga Wuhan dan bukan seluruh China. Ia juga hendak menyamakan orang Cina Malaysia adalah serupa dengan Tanah Besar China. Dikaitkan juga DAP sebagai parti Cina yang menguasai kerajaan Pakatan Harapan, Kesemuanya ini mengandungi sentimen perkauman.

Ternyata kemudian bahawa kluster terbesar yang timbul adalah dari Perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling yang merebak ke tahfiz dan madrasah di seluruh negara. COVID-19 yang berasal dari China jadi wabak orang Islam. Maka orang beragama pula menjadi stigma. Ketika itu kerajaan Pakatan Harapan telah tumbang digantikan dengan Perikatan Nasional yang menampilkan diri sebagai kerajaan Melayu-Islam.

Maka dalam media sosial, posting oleh kalangan bukan Melayu pula yang menampilkan sentimen perkauman mereka dengan mengaitkan COVID-19 dengan masjid dan sekolah tahfiz. Malah ada yang memerli kerajaan mengenai kebenaran ziarah Hari Raya. Ia bukan kebimbangan terhadap kesihatan semata-mata tetapi juga terdapat sentimen perkauman.

Tetapi tindakan-tindakan kerajaan menguatkuasa peraturan imigresen semasa COVID-19 ini mendapat sokongan meluas dari rakyat Malaysia. Tetapi ia juga memiliki sentimen perkauman. Mereka ini dilihat miskin, jahil, tidur berhimpit-himpit hingga memudahkan penularan COVID-19. Ia sebenarnya isu sosio-ekonomi tetapi dilihat dari sudut perkauman.

Perkara ini berlaku di seluruh dunia. Ia berlaku di Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat. Sentimen perkauman kelihatan tajam. Kekerasan polis Amerika terhadap orang kulit hitam membawa kepada bantahan dan gerakan Black Lives Matter.

Apa yang berlaku di Amerika Syarikat berjangkit ke seluruh dunia termasuk Australia apabila kaum Orang Asli di sana turut melakukan bantahan.

Sementara di Malaysia, seorang ahli parlimen UMNO telah menggunakan kata-kata bernada perkauman terhadap seorang ahli parlimen DAP. Beliau kemudian meminta maaf tetapi sentimen rasis itu adalah sesuatu yang tidak pelik dari partinya yang selama 22 bulan menimbulkan isu-isu bernada rasis.

Tetapi ternyata nada perkauman dirasakan bukan berkurang tetapi meninggi di kalangan rakyat. Keadaan ini dieksploitasi oleh ahli-ahli politik. Akibatnya ialah suasana tidak harmonis dan menjejaskan kemakmuran negara dan merencatkan kemajuan.

Komen