Lama dahulu saya pernah menulis tentang kisah-kisah melawan UMNO terhadap raja-raja Melayu, kebanyakannya melibatkan Menteri Besar (MB) dan sultan negeri yang terlibat. Di penghujung tulisan itu saya bangkitkan pula persoalan, adakah UMNO ini parti revolusioner yang melawan monarki atau mereka benar-benar benteng raja-raja Melayu seperti dakwaan UMNO sendiri.
Sebenarnya apa yang berlaku di antara UMNO dan raja-raja Melayu adalah kesinambungan feudalisme dalam negara kita. Ya, sistem feudal yang melibatkan golongan memerintah (raja dan bangsawan) dan golongan diperintah (rakyat dan hamba) mungkin sudah pupus tetapi budaya feudal itu masih ada dan sangat sebati khususnya di kalangan bangsa Melayu.
Budaya feudal ini yang masih kekal hingga sekarang walaupun selepas merdeka, Malaysia mengguna pakai sistem raja berperlembagaan dan parlimen Westminster mengikut United Kingdom, tuan kolonial kita suatu masa dahulu. Ia sebati di kalangan Melayu atas dua faktor, agama dan bangsa. Raja-raja Melayu adalah ketua agama Islam dan mereka juga merupakan pelindung hak-hak istimewa Melayu, dua faktor yang membantu menimbulkan taat setia Melayu kepada raja.
Budaya ini disuburkan selepas merdeka dengan wujudnya kelompok bangsawan moden dalam bentuk parti politik bernama UMNO. UMNO adalah parti politik Melayu terunggul dan kedudukannya sebagai sebahagian dari parti pemerintah selama 60 tahun menguatkan kedudukan UMNO dalam kompleks budaya feudal ini. Lantaran itu golongan memerintah hadir dalam dua bentuk, pertama raja-raja Melayu dan kedua pula bangsawan moden iaitu UMNO yang mengambil kedudukan aristokrat atau pembesar Melayu suatu masa dahulu.
Dalam tempoh 60 tahun, masyarakat Melayu khususnya hidup dalam keadaan di mana UMNO memerintah dengan naungan dari istana. Segala apa tentang urusan pentadbiran harus melalui UMNO. Pemimpin UMNO menjadi pembesar zaman moden dan menjadi ahli UMNO merupakan satu kaedah buat orang Melayu kebiasaan meningkatkan dirinya ke kasta bangsawan. Dalam UMNO sendiri, perkara seperti kerabat diraja atau keturunan bangsawan menjadi legitimasi untuk mengukuhkan kedudukan seseorang sebagai pemimpin utama. Lima dari enam Perdana Menteri oleh UMNO sebelum ini hadir dari dua kelompok tersebut.
Budaya feudal ini kekal sebagai satu amalan berterusan selagi mana UMNO kekal berkuasa dan membentuk sebahagian dari kerajaan. Pihak istana dan bangsawan UMNO selesa dengan status quo ini selagi kepentingan masing-masing terjaga. Tidak hairanlah bagaimana wujud sekalian banyak Datuk dan pangkat kebesaran lain di kalangan ahli UMNO sama seperti bagaimana pembesar Melayu dahulu kala dianugerah darjah yang sama oleh raja mereka. Pihak istana mengiktiraf peranan bangsawan UMNO ini selaku pembesar dan menaungi mereka. Sebagai pulangan bangsawan UMNO memastikan legitimasi monarki kekal di kalangan rakyat kebanyakan melalui pemberian perlindungan dengan menuntut ketaatan rakyat kepada monarki.
Dogma budaya feudal ini begitu tebal sehingga bangsa Melayu diajar bahawa kepentingan mereka akan terus terpelihara selagi wujud simbiosis istana dan UMNO ini.
Tapi kenapa ada berlaku kes-kes dimana UMNO berselisih faham dengan pihak istana?
Untuk itu kita perlu fahami sistem atau budaya feudal. Simbiosis istana dan bangsawan kekal wujud selagi kepentingan masing-masing terjaga. Sudah pastilah, dalam keadaan tertentu ada kepentingan yang tidak selari contohnya dalam isu pemilihan Menteri Besar sehingga mengundang pertembungan antara dua pihak ini.
Apa pun isunya, atas faktor survival kedua pihak akan berusaha memastikan wujud jalan penyelesaian di mana golongan pemerintah akhirnya kekal bersatu. Ini kerana keduanya memerlukan satu sama lain untuk budaya feudal kekal subur. Istana perlukan UMNO untuk memastikan ketaatan rakyat kepada raja berterusan, UMNO pula memerlukan naungan istana untuk dilihat di mata rakyat sebagai pembesar yang diiktiraf raja. Imbangan kuasa ini dimainkan baik di peringkat negeri atau persekutuan.
Semua ini kekal hinggalah pada 9 Mei 2018, kuasa UMNO hampir musnah total akibat kebangkitan rakyat. Kesan kejatuhan UMNO, wujud dilema buat pihak istana kerana satu-satunya pihak yang raja-raja Melayu senangi selama 60 tahun sudah tumbang.
Ini senario yang perlu kita ambil kira untuk memahami apa yang berlaku selepas 9 Mei atau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kenapa perlantikan Peguam Negara mengalami kelewatan mungkin bukan sekadar isu Melayu dan Islam, tetapi juga mungkin kerana buat pertama kalinya calon yang dinamakan oleh kerajaan bukanlah seseorang yang ada hubungan dengan UMNO. Perkara yang sama juga boleh dikatakan dalam isu kelewatan majlis angkat sumpah Perdana Menteri kerana calon PM itu walaupun bekas pemimpin UMNO, tetapi beliau adalah seorang yang dikenali sebagai lantang terhadap institusi raja dan satu-satunya PM dari UMNO sebelum ini yang bukan dari kerabat diraja atau keturunan bangsawan.
Pemahaman yang sama juga boleh diambil kira untuk memahami kenapa di Perak dan Johor pasca PRU14, MB dilantik dari pemimpin PPBM atas pilihan pihak istana kerana ia berkemungkinan besar atas faktor keselesaan tadi. PPBM seperti diketahui merupakan serpihan UMNO lantaran menjadi parti yang paling mudah mendapat kepercayaan istana berbanding PKR, AMANAH dan tentu sekali DAP.
Kesimpulannya, apa yang kita lihat sekarang adalah bagaimana budaya feudal yang wujud sejak merdeka kini tergugat dan pihak istana yang sejak sekian lama selesa berurusan dengan UMNO kini terpaksa berhadapan kuasa kerajaan yang tidak lagi memerlukan budaya feudal untuk kekal berkuasa.
Pendek kata, simbiosis yang wujud selama 60 tahun kini sudah berubah dan kita bakal melihat lebih banyak pertembungan antara institusi raja dan kerajaan di masa akan datang, bezanya kali ini mungkin tanpa ada lagi jalan penyelesaian untuk survival budaya feudal tadi.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.