Pentingnya menuntut ilmu dan impaknya tatkala memiliki mutiara ilmu itu sendiri dalam kehidupan. Namun masih juga terdapat segelintir masyarakat yang kelésa dalam memikirkan keuntungan yang boleh dia perolehi tatkala dia bersama dengan ilmu dalam mengharungi liku-liku kehidupan mahupun setelahnya. Ilmu juga sering terkait dengan cahaya. Sungguh! Tidak terbayang akan kehidupan sekiranya tidak memiliki sinar cahaya, sudah pasti segala perkara menjadi lebih sulit dan sukar. Sedang hendak membayangkan juga perlu kepada cahaya, tanpanya terlihat kosong, gelap gelita entah apa yang difikirkan pada kotak fikiran. Istilah ‘zaman kegelapan’ yang dialami oleh kaum Eropah suatu ketika dahulu berlaku akibat daripada kemerosotan pada ilmu pengetahuan khususnya dan pada perdagangan serta kehidupan perbandaran umumnya. Hal ini sudah cukup terang lagi bersuluh membuktikan bahawa ilmu itu merupakan sumber ‘cahaya’ dalam menerangi kehidupan manusia menjadikan seseorang itu insan yang lebih baik dalam kalangan yang terbaik kepada bangsa dan negara.
Sedang pentakrifan dari sudut pandang Islam pula pada kalimah jahiliah berasal daripada perkataan bahasa Arab, ‘jahala’ yang bermaksud jahil dan tidak mengetahui atau tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Istilah ini telah digunakan oleh orang Islam untuk menggambarkan perubahan yang dibawa oleh Islam dalam corak kehidupan dan pemikiran masyarakat. Justeru, masyarakat Islam juga menganggap zaman jahiliah tersebut sebagai zaman kegelapan kerana masyarakat Arab Jahiliah tidak menyembah Allah Yang Maha Esa malah kebanyakan mereka menyembah berhala dan mempercayai animisme. Cukuplah sekadar fakta ini mengukuhkan jiwa yang meragui kepentingannya.
Ketahuilah duhai penuntut kebenaran, ilmu itu penuh dengan kemuliaan.
Logiknya apabila seorang insan itu digelar sebagai si ilmuan, terus menampakkan wajah senang tanda menyukainya, namun tatkala digelar sebagai si jahil, kelihatan wajahnya berang tanda tidak senang dan benci apabila digelar begitu. Kewajaran untuk engkau membanding beza antara haq dan batil itu. Sama juga untuk engkau bijak mengenal pasti kesan baik dan buruk tatkala mengamalkannya. Ilmu itu bisa berubah mengikut bagaimana dan untuk apa digunakannya. Misal, dikatakan ilmu pelaburan digunakan pada jalan perjudian, alangkah rugi dan sia-sia mengejar hakikat ilmu yang dimaksudkan oleh para ilmuan di luar sana. Sebaliknya, jika ilmu pelaburan itu diamalkan pada jalan yang benar malah dapat membantu masyarakat sekitarnya. Ini merupakan satu nilai tambah yang patut dipuji dan disanjungi seperti mana masyarakat dunia memandang tinggi mereka yang berilmu dan menggunakan ilmu tersebut pada jalan sebenarnya apatah lagi pada jalan kebaikan. Sungguh hal ini juga amat patut dititikberatkan oleh para pengamal ilmu tatkala engkau hendak membuka laci makmal perubatan, engkau tidak dapat ketahui yang diambil darinya itu penawar mahupun racun. Justeru itu, pentinglah ia dari sudut penelitian dan kajian dalam mengetahui sesuatu ilmu yang dipelajari.
Episod kali ini benar membuat aku tersentak, lima daripada 10 bahagian telahpun ku telusuri satu persatu ragamnya, catatan pada halaman ke 180 daripada 365 muka surat ini, membawa aku ke dimensi pengajian yang cukup mencabar, harus sahaja aku mengenali hati budinya sebelum seraut kasih aku taburkan, agar nanti perasaannya tidak berkecamuk dibadai ombak rindu, meskipun dinding ketabahan ini tidaklah setebal tabahnya Saidina Bilal Bin Rabah Radhiallahu’anhuma saat diazab penuh dahsyat. Alangkah indah andai ‘waktu’, itu semua miliknya, sifatnya yang cemburu buta ini mendidik ku untuk terus setia dan sabar dalam mengejar cita–cita. Pesan guruku akan sebuah nasihat, seakan satu mujarab yang merawat dan menyedarkan aku daripada kelemasan duniawi, gajet dan hiburan, “ilmu itu cemburunya hati – hati, jika tidak nanti kamu yang merugi”, nadhom (syair) yang beliau karang membentuk disiplin aku, betapa pentingnya untuk setia pada ilmu, kapan waktu menghimpit usiamu sekalipun jangan dibazirkan pada bukan selainnya, iaitu ilmu. Andai kamu menyibukkan dirimu pada hal yang tidak sepatutmya, maka hujumg usiamu akan berakhir sesalan.
Teman, “ilmu itu perhiasan buat ahlinya, kemuliaan anugerah darinya” bagi kalian yang masih mencari mahkota perhiasan, maka hiasilah peribadimu dengan akhlak, adab dan ilmu. Sungguh ilmu itu cumalah sebuah binaan kukuh yang cantik dipandang apabila ia dipasak pada sebuah tapak yang dinamakan akhlak dan adab. Aku hairan bagi mereka yang cuba untuk mendirikan binaan ini tanpa terlebih dahulu memasak padanya. Jauh renungan pada balik jendela memukau mata ini, melihat telatah dan ragam rakyat Mesir yang sekali sekala mencuit hati, sekarang sisir pandangku dicuri dengan detapan langkah seorang ustazah berkerudung biru yang pulang sore hari, mungkin pulang dari muhadharah, hati kecilku bermonolog, pantas istighfar melantun laju, seketika leka tatkala tersedar mendengar azan maghrib berkumandang.
Hakikat perjalanan thalibul ilmi ialah sebuah kembara yang tiada penghujunnya, waima kamu lelah dengan mehnah dunia sekalipun, bersandar kemudian bersujudlah kepada Allah, khabarkan akan kelelahan dirimu kepada sang pencipta, boleh jadi kamu diuji dengan perasaan rindu menggunung kepada ahli keluargamu yang jauh beribu batu ditinggalkan, maka bisikkanlah kerinduanmu itu kepada sang pencipta rindu. Boleh jadi kamu diuji dengan kurangnya wang sakumu, maka bersangka baiklah dengan Allah, maka kayakan dirimu dengan dua rakaat Dhuha, Surah Al Waqi’ah dan sedekah. Boleh jadi kamu diuji dengan perasaan cinta yang tiada ikatan semasa belajar, maka sembunyikanlah perasaan cintamu itu dalam doa sepertiga malammu, mohonlah petunjuk daripada sang pencipta cinta. Bagi sekalian penuntut ilmu, “mulakanlah ilmumu dengan Al Quran, bukan sekadar baca tapi hafalan”. Penuntut ilmu harus sedar akan hakikat ilmu itu, kesibukan diri menghafal Al Quran bukanlah perkara yang sia – sia, kamu boleh dapati bahawa dengan menghafal Al Quran proses belajarmu akan menjadi mudah dan menajamkan akal fikiranmu. Ke mana pun kamu pergi bawalah Al Quran bersama, baca dan tadaburlah maknanya, ketika itu kamu sedang menjemput ketenangan ketika belajarmu. Pelihara pancainderamu daripada maksiat. Sungguh maksiat itu racun yang akan menumpulkan ketajaman akalmu. Bicara ini berkisar tentang aku dan ‘dia’ iaitu ilmu.
Dari kejauhan malam, aku ditemani purnama indah berhiaskan kedipan bintang yang seakan memahami bahasa rindu ku yang membisu, sana aku terbayang sepasang susuk tubuh insan yang saban hari tidak pernah bosan menanti anaknya pulang, aku berhutang jasa yang pasti tidak mampu ku balas, lantunan doa sahajalah sebagai wasilah agar mereka selamat di sana. Sememangnya ilmu mendidik kita menyanjung tinggi guru pertama yang mengenalkan kita dengan dengan sang pencipta alam, ibu dan ayah.
Mereka yang membaca warkah ini, saya doakan agar dikurniakan Allah himmah dan kesungguhan dengan ilmu, dijauhkan kebosanan dengannya, kamu mencintai ilmu dan ilmu juga mencintaimu, mengikuti setiap detapan langkahmu, lemas pada lautan ilmu, mengintai jarak kamu dan ilmu hanyalah kelipan mata cuma.
Tentang Penulis
Muhammad Imran adalah siswa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah Islamiah. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.