Satu daripada tiga kanak-kanak pernah menjadi mangsa jenayah siber. Statistik ini bukan sekadar angka, ia adalah isyarat bahaya yang perlu membuka mata setiap ibu bapa. Di sebalik ketawa anak menonton video di Youtube atau bermain permainan dalam talian, wujud dunia maya yang tidak selalu mesra. Ruang digital yang sepatutnya menjadi tempat belajar dan berhibur kini juga menjadi medan jenayah, manipulasi dan eksploitasi yang mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap minda serta emosi anak-anak kita.
Dalam era di mana skrin menjadi guru, rakan dan penghibur, ibu bapa tidak boleh lagi menjadi pemerhati pasif. Kita perlu hadir, bukan untuk melarang semata-mata, tetapi untuk membimbing dan melindungi. Justeru, langkah kerajaan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025) amat penting sebagai payung perlindungan terhadap ancaman digital yang semakin kompleks, khususnya bagi golongan kanak-kanak.
Akta ini bukan sekadar dokumen undang-undang. Ia adalah satu rangka kerja nasional yang menuntut penyedia platform digital seperti media sosial, permainan atas talian dan laman penstriman untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap keselamatan pengguna. Melalui peruntukan dalam akta ini, platform diwajibkan mematuhi “tanggungjawab penjagaan” (duty of care) terhadap pengguna, termasuk kanak-kanak, serta memastikan sistem mereka tidak menjadi ruang subur bagi penyebaran buli siber, eksploitasi seksual atau penyebaran kandungan berbahaya.
Lebih penting lagi, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi berkaitan untuk memantau, menyekat dan mengambil tindakan terhadap kandungan yang melanggar keselamatan awam atau menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak. Ia turut menekankan keperluan pelabelan kandungan yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI), agar pengguna terutama anak-anak tidak terpedaya dengan manipulasi digital yang kini semakin canggih dan sukar dikesan.
Namun, pelaksanaan undang-undang sahaja tidak cukup tanpa perubahan sikap di rumah. Perlindungan sebenar bermula dengan perhatian dan empati ibu bapa. Anak-anak perlu tahu bahawa mereka tidak sendirian dalam dunia digital yang luas ini. Ibu bapa boleh bermula dengan langkah kecil seperti bertanya tentang apa yang anak tonton, siapa rakan maya mereka dan bagaimana mereka berinteraksi di platform dalam talian. Soalan yang lembut tetapi konsisten dapat membuka ruang kepercayaan. Dalam dunia maya yang penuh jebak, perbualan di dunia nyata menjadi benteng paling kuat.
Selain itu, penting bagi ibu bapa untuk mencipta ruang digital yang selamat di rumah. Biarlah penggunaan gajet berlaku di ruang bersama, bukan di bilik tertutup. Hadkan masa skrin agar ia tidak mengganggu tidur, pelajaran dan interaksi sosial sebenar. Aplikasi kawalan ibu bapa bukan bermaksud tidak mempercayai anak, tetapi sebagai pelindung agar mereka tidak terdedah kepada kandungan berisiko.
Dalam masa sama, pendidikan literasi digital wajar diajar sejak usia muda. Bukan hanya di sekolah, tetapi juga di rumah. Anak-anak perlu memahami bahawa tidak semua yang mereka lihat di Internet adalah benar, dan tidak semua rakan dalam talian adalah sahih. Mereka mesti diajar mengenal pasti tanda-tanda penipuan, memahami bahaya perkongsian data peribadi dan tahu ke mana harus melapor jika berdepan ancaman atau gangguan. Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 menyediakan rangka perundangan untuk melindungi mereka, tetapi pendidikan menjadikan perlindungan itu lebih bermakna.
Dan jangan lupa — teladan terbaik datang daripada kita sendiri. Jika kita sendiri menghadap telefon sepanjang masa, bagaimana anak-anak mahu memahami batasan? Kita perlu menunjukkan bahawa dunia sebenar lebih bernilai daripada dunia maya, bahawa komunikasi bersemuka lebih indah daripada sekadar mesej di skrin.
Undang-undang boleh menjadi pagar, tetapi kesedaran adalah benteng sebenar. Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 memberi asas kepada negara untuk melindungi, namun pelaksanaannya memerlukan sokongan setiap keluarga. Dengan sikap bertanggungjawab, kepekaan dan pengetahuan, kita boleh memastikan anak-anak melangkah ke dunia digital dengan yakin, bukan dengan ketakutan.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.







