Kempen Internet Selamat yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bukan lagi sekadar slogan, tetapi satu usaha berterusan untuk memastikan ruang digital negara ini kekal bersih, selamat dan bebas daripada ancaman kandungan lucah serta unsur songsang. Dalam era di mana anak-anak kecil turut memiliki akses ke telefon pintar, tanggungjawab untuk melindungi masyarakat daripada bahaya pornografi semakin mendesak dan SKMM membuktikan komitmen mereka melalui tindakan konkrit.
Terbaharu, SKMM melaporkan bahawa 2,881 permohonan penurunan kandungan pornografi berjaya diproses, dengan 88% daripadanya telah dikeluarkan sepenuhnya daripada platform digital. Angka ini bukan sekadar statistik; ia mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga maruah keluarga Malaysia. Selain itu, sebanyak 4,070 laman web lucah telah berjaya disekat, menghalang akses kepada kandungan yang boleh memudaratkan kesejahteraan mental, emosi dan moral masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan muda.
Kempen Internet Selamat ini memberi mesej jelas bahawa keselamatan digital tidak boleh diambil mudah. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, kandungan berbahaya boleh sampai ke skrin sesiapa sahaja dalam sekelip mata. Persoalannya, apakah kita sebagai masyarakat sudah cukup bersedia untuk menapis, menilai dan menolak kandungan sedemikian? Di sinilah peranan SKMM menjadi amat penting, mereka bukan hanya bertindak selepas aduan diterima, tetapi turut memantau, menganalisis dan menyekat laman yang dikenalpasti mengandungi unsur lucah dan eksploitasi.
Pada masa yang sama, kempen ini mengingatkan masyarakat tentang pentingnya literasi digital. Pengguna perlu memahami risiko pornografi terhadap perkembangan minda, hubungan sosial dan struktur keluarga. Banyak kajian menunjukkan kesan jangka panjang pornografi terhadap tingkah laku dan kesihatan mental, apatah lagi dalam masyarakat yang sedang membina norma digital baharu. Justeru, usaha SKMM ini seharusnya dipandang sebagai pelindung generasi masa depan.
Namun, memastikan Internet selamat bukanlah tugas satu agensi semata-mata. Ibu bapa, pendidik, komuniti dan platform digital turut memainkan peranan besar. Pengawasan ibu bapa, pendidikan mengenai penggunaan Internet yang bertanggungjawab, serta laporan segera terhadap kandungan mencurigakan merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam membentuk ekosistem digital yang sihat. Skim penapisan, ciri kawalan ibu bapa dan amalan selamat melayari Internet juga perlu lebih diberi perhatian.
Kempen Internet Selamat oleh SKMM sebenarnya membawa aspirasi lebih besar, aspirasi membentuk masyarakat digital yang bermaruah, beretika dan berdaya tahan. Tindakan menyekat ribuan laman lucah ini adalah satu bentuk perlindungan. Walaupun ancaman digital akan sentiasa berevolusi, komitmen SKMM memastikan ruang siber negara tidak dinodai oleh kandungan melampau adalah sesuatu yang wajar dipuji. Dalam dunia yang bergerak pantas, Malaysia tidak boleh berkompromi terhadap nilai moral dan keselamatan masyarakatnya.
Internet yang lebih selamat bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi memperkukuh identiti dan jati diri negara. Langkah tegas SKMM adalah sebahagian dari usaha membina masa depan digital yang lebih sihat dan terarah. Dengan kerjasama semua pihak, kita boleh memastikan ruang maya kekal menjadi platform yang membina, bukan merosakkan, dan generasi seterusnya dapat menikmati teknologi dengan lebih yakin, selamat dan bermaruah.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.








