INISIATIF PENYELENGGARAAN RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI)

Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian etnik dan agama yang membentuk lanskap sosial yang beraneka ragam.

Walaupun Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, tidak ada halangan untuk penganut lain-lain agama menjalani dan mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Oleh itu kerajaan juga bertanggungjawab memainkan peranan menjaga kebajikan agama lain dalam melahirkan masyarakat beragama yang percaya kepada Tuhan seperti termaktub di dalam Rukun Negara.

Salah satu usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan MADANI dalam menjaga kebajikan agama lain ialah Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Inisiatif Penyelenggaraan RIBI memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta untuk tahun 2023 melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 1,029 permohonan bersamaan dengan nilai RM262 juta telah diterima dari rumah ibadat pelbagai agama.

Dari jumlah tersebut, 363 permohonan diluluskan dengan peruntukan bernilai RM38.47 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan rumah ibadat.

Nilai RM38.47 juta ini merangkumi 77% dari keseluruhan peruntukan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI tahun 2023.

Justeru untuk tahun 2024, KPKT sekali lagi telah diluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan kerja-kerja pembaikan, pengubahsuaian, penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan di bawah Inisiatif Penyelenggaraan RIBI.

Namun kita berharap untuk tahun 2025, nilai peruntukan ini boleh ditambah lagi mengikut keperluan yang semakin berkembang agar kebajikan agama lain turut terpelihara.

Komen