Idol(a)

Pada masa dahulu patung-patung berhala telah disembah dan dipuja sebagai dewa atau tuhan yang menguasai seluruh alam ini oleh masyarakat primitif. Tukang atau pembuat patung ini pula sangat dihormati masyarakat. Kepada patung-patung inilah, mereka mempersembahkan segala korban dan jamuan agar kehidupan mereka sentiasa selamat menurut kepercayaan mereka.

Patung-patung itu sebenarnya diperbuat daripada batu yang dipahat dan diukir oleh tangan-tangan mereka sendiri, kemudian dikagumi dan dipuja, seolah-olah patung itu bernyawa dan memiliki kekuasaan ke atas manusia dan seluruh alam semesta ini.

Nabi Ibrahim AS memiliki kisah menarik berkenaan patung ini. Kisah beliau terakam dalam Al-Quran. Antaranya terkandung dalam petikan ayat-ayat di bawah.

“Dan bacakanlah kepada mereka kisah Ibrahim. Ketika ia berkata kepada bapaknya dan kaumnya, Apakah yang kalian sembah? Mereka menjawab, Kami menyembah berhala dan kami senantiasa tekun menyembahnya. Berkata Ibrahim, Apakah berhala-berhala itu mendengar (doamu) sewaktu kalian berdoa kepadanya? Atau dapatkah mereka memberi manfaat kepadamu atau memberi mudarat? Mereka menjawab, Bukan karena itu. Sebenarnya kami melihat nenek moyang kami berbuat demikian. Ibrahim berkata, Maka apakah kalian memerhatikan apa yang selalu disembah (oleh) kalian dan nenek moyang kalian dahulu itu? Sesungguhnya apa yang kalian sembah itu adalah musuhku, kecuali Tuhan semesta Alam, yaitu Tuhan yang telah menciptakan aku, maka Dia-lah yang menunjuki aku, Dan Tuhanku, Yang memberi makan dan minum kepadaku, Dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku, Dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali), Dan Yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari kiamat” (Asy-Syu’araa’ 26:69-82)

Sama ada kebetulan atau tidak, pada zaman moden ini, artis telah dijadikan idola kepada kebanyakan golongan masyarakat. Kematian artis menjadikan satu dunia berkabung. Cerita-cerita peribadi artis menjadi buruan peminat. Apa saja berkenaan artis mendapat tumpuan utama masyarakat.

Artis, termasuk penyanyi, pelawak, pelakon, pemuzik dan sebagainya, telah menduduki kelas tersendiri dan terhormat dalam struktur masyarakat.

Zaman telah berubah. Pada masa dahulu artis wanita dianggap sebagai manusia tunasusila, tidak berakhlak bahkan setaraf dengan pelacur. Dalam filem-filem terawal di Malaysia, artis telah diejek sebagai perempuan kabaret, perempuan murahan. Malah ada watak Kassim Selamat si pemuzik yang tidak diterima sebagai menantu dalam filem Ibu Mertuaku.

Dan jika dilihat kepada realiti dunia masa kini, artis telah menjadi ganti kepada patung-patung berhala yang telah dimusnahkan oleh Nabi Ibrahim AS suatu masa dahulu. Cuma dahulunya patung-patung itu dipuja sebagai dewa atau tuhan.

Siapakah yang telah melahir, menggilap dan memasyhurkan artis?

Saya teringat kepada patung-patung pada zaman jahiliyyah atau zaman Nabi Ibrahim AS di Mesopotamia. Seperti patung, manusia juga yang telah mencipta seseorang artis itu sehingga menjadi popular. Kita yang menjadikan mereka terkenal dengan meminati mereka, menonton persembahan mereka, membeli produk mereka dan akhirnya kita sendiri tanpa sedar mengagumi dan menyanjungi mereka seolah-olah mereka itu turun dari langit, tidak makan dan tidak berak seperti dewa-dewi dalam cerita dongeng.

Pada zaman moden ini, kelahiran artis telah berubah caranya. Ada yang dikenali bakatnya melalui medium Internet seperti Youtube. Manakala melalui rancangan realiti TV, kita sendiri yang boleh mengundi siapa yang layak menjadi pemenang. Dan apabila artis ini menjadi popular, kita sendiri pula yang mengagumi dan menggilai mereka. Tidakkah ini pelik dan mengulangi bentuk-bentuk budaya zaman jahiliah dahulu?

Kegilaan masyarakat kepada artis menyebabkan ramai muda-mudi bercita-cita menjadi artis, malah golongan tua juga menggalakkan. Dan yang lebih mengghairahkan mereka lagi, artis tidak lagi semestinya cantik atau jelitawan, asalkan suaranya disukai ramai. Lihatlah Susan Boyle, pemenang Britains Got Talent 2009. Atau berbadan cantik dan berpakaian seksi, walaupun suara tidak sesedap mana seperti majoriti artis sekarang.

Pada masa dahulu jika seseorang itu sakit, mereka akan menyediakan korban kepada patung untuk menyembuhkan si sakit. Pada masa ini ada juga pesakit kronik yang menyimpan hasrat untuk menemui artis yang diminati, sehinggakan kita akan terbaca di akhbar atau melihat di TV, artis ini telah datang memenuhi hajat si pesakit. Kegembiraan jelas pada wajah si pesakit. Seperti patung, artis juga telah menjadi sumber kelegaan kepada manusia yang sakit.

Stail pakaian dan gaya hidup artis telah menjadi ikutan. Apabila mereka ditemui di khalayak, mereka telah diserbu dan ada peminat yang taksub sehingga histeria. Artis-artis telah dihormati di mana saja mereka muncul, walaupun sebulan lepas mereka baru saja ditangkap khalwat. Betapa berpengaruhnya artis, dalam lembaran akhbar akan ada cerita mereka, dalam siaran TV ada mereka dan dalam majlis apa-apapun, untuk meramaikan khalayak, artis akan dijemput sebagai tetamu.

Pada zaman moden dan bertamadun ini kita masih mengagumi dan memuja sesuatu yang tercipta dari hasil perbuatan kita sendiri.

Tidakkah kita mahu berfikir?

(Artikel ini adalah petikan dari buku Keldai Dan Kitab)

Komen