Huh? Saya Dah Jadi Pengundi?

Pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-15 telah menempa sejarahnya tersendiri apabila kali pertama, mereka yang berusia 18 tahun ke atas (Undi18) dan pendaftaran secara automatik (AVR), boleh mengambil bahagian sebagai pemilih dalam menentukan pihak mana yang boleh membentuk kerajaan untuk mentadbir Johor dalam tempoh lima tahun.

Ramai penganalisis dan pemain politik mendakwa kemasukan pengundi baru ini satu ‘game changer’ yang akan menambahkan lagi citrawarna politik Malaysia dengan memperluas isu-isu politik matang berbanding politik emosi dan identiti. Dan, perkara ini bermulanya semula di Johor.

Tentunya saya juga teruja dan ingin menyaksikan bagaimana kehadiran pengundi baharu ini mampu mengubah corak politik Johor dan Malaysia. Rasa ‘syok’ ini seperti melihat kedatangan pemain baru ke dalam sebuah kelab bola sepak terkemuka dunia.

Selepas selesainya proses penamaan calon PRN Johor, saya mengikut pasukan calon Pakatan Harapan (PH) mengadakan walkabout di sekitar Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru. Walkabout ini bertujuan untuk memperkenalkan calon PH kepada pengundi dan komuniti peniaga di sana.

Ada yang kenal dan ada yang tidak kenal. Apa pun, walkabout ini penting supaya calon dan ahli pasukannya mendapat informasi lebih lanjut mengenai kehendak pengundi mereka. Dan, ini juga kesempatan bagi calon membantu pengundi membuat semakan daftar tempat mengundi.

Ketika sedang berjalan di deretan kedai Jalan Tan Hiok Nee, saya menyapa seorang abang berusia agak veteran, dalam lingkungan 60-an, untuk memperkenalkan calon PH.

“Selamat tengah hari abang, ini saya perkenalkan calon yang akan bertanding kawasan ini”, kata saya kepada abang tersebut.

“Oh, ini calon di kawasan ini? Baik, baik, muka macam kenal”. Balas abang tu dengan penuh mesra.

“Ya, saya calon PH di kawasan ini. Boleh saya tahu Tuan mengundi di mana?”, tanya calon PH untuk bantu buat semakan tempat mengundi.

“Alamak, saya tak boleh mengundi sebab tak pernah daftar mengundi”, jawapan abang ini amat memeranjatkan. Maka terjadi insiden di mana saya pandang muka calon dan calon pandang muka saya. Semuanya tergamam habis kerana masih wujud warga Malaysia berusia 60 tahun tidak pernah mengundi walau sekalipun.

“Bang, sekarang semua orang dah boleh mengundi sebab semuanya daftar secara automatik, tak perlu pergi SPR untuk daftar”, calon PH cuba memberi penerangan kepada abang tersebut.

“Abang ada I/C? Boleh kami buat semakan daftar pemilih”, saya cuba bantu abang ini yang sedang duduk di dalam kereta Proton Iswara sambil mencongak-congak apa yang ingin kami buat.  Manalah tahu dia pengundi kawasan ini.

Abang tadi pun berikan kad pengenalan kepada saya dan pasukan kami buat semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Setelah buat semakan, kami terkejut apabila dapat tahu abang ini sebenarnya pengundi di parlimen Kangar dan DUN Indera Kayangan.

“Bang, awak ini pengundi Perlis, tapi kerja di Johor ke?”, tanya rakan saya seorang lagi.

“Huh? Saya dah jadi pengundi? Saya tak pernah daftar pun?”, kata abang itu dengan muka terperanjat. “Anak saya kerja di Singapura, jadi saya dan isteri sekarang duduk sekali dengan dia di Johor Bahru”, jawab abang itu lagi. “Tapi, bukan hari itu hanya orang 18 tahun sahaja dah boleh mengundi? Macam mana saya yang tak pernah mengundi ni kena?”, tanya lagi abang itu.

Kami pun ambil masa untuk terangkan kepada abang itu. “Undi18 maksudnya had usia yang layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun. Kiranya, siapa dah capai umur 18 tahun dan boleh mengundi”, kawan saya memberitahu.

“AVR maksudnya sesiapa yang tidak pernah berdaftar jadi pemilih, walau usia dia 80 tahun pun, dia akan didaftarkan secara automatik. Macam kes abang ini.” Tambah saya kepada abang itu.

Ini hanyalah satu cerita PRN Johor saya. Ia menjelaskan betapa orang berusia 60 tahun sekalipun tidak pernah mengundi dan peduli dengan tanggungjawab mereka. Tetapi, pihak yang sering dipersalahkan di media dalam isu pilihan raya hanyalah anak muda.

Bayangkan sahaja, pembuat dasar dan ahli politik berdegah-degah mahu Undi18 dan AVR dilaksanakan, tapi informasi tersebut hanya sampai untuk sekerat pihak sahaja. Apakah SPR dan agensi kerajaan tidak mempunyai usaha untuk memberitahu rakyat bahawa mereka sudah layak mengundi?

Sekiranya sistem pesanan ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyebarkan informasi Covid-19 mampu mencapai jumlah penghantaran sebanyak 12.7 bilion dari 26 Februari hingga 27 Ogos 2021, mengapa kerajaan dan SPR tidak ambil langkah yang sama untuk menghantar SMS kepada mereka yang layak daftar mengundi?

Perkara ini menunjukkan sisi lemah pihak berkuasa SPR dalam menjalankan tugas dengan baik. Tugas mereka bukanlah semata-mata untuk menguruskan pilihan raya, tetapi bagaimana rakyat perlu diberitahu tentang maklumat dan status mengundi mereka.

Tidak hairanlah sasaran kadar keluar mengundi SPR tidak pernah tepat. Contohnya, di PRN Johor, SPR mensasarkan kadar keluar mengundi adalah 70 peratus, tetapi pada 12 Mac lalu, hanya sekitar 50 peratus pengundi Johor keluar mengundi. Hanya empat daripada tujuh peratus pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di Johor keluar mengundi.

Parti politik nampaknya perlu menghabiskan dana dan program untuk memastikan rakyat faham akan Undi18 dan AVR. Bukan itu sahaja, tetapi mereka perlu memperluaskan pasukan pilihan raya memandangkan jumlah pengundian setiap tahun akan bertambah secara signifikan.

Harapan saya cukup mudah. Satu hari nanti, saya berdoa agar tidak terjumpa lagi mereka yang berusia lebih 60 tahun ke atas berkata “Huh? Saya dah jadi pengundi?” untuk pilihan raya umum ke-15. Jika masih ada bertanya demikian, saya tidak tahu sama ada negara ini benar-benar mahu pilihan raya tulen atau sekadar wayang untuk menguntungkan beberapa pihak.

Komen