Hubungan Luar Malaysia Dan Konsep Adik-beradik

Hubungan luar Malaysia sebenarnya bukanlah cikai atau tak ada standard.

Negara kita walaupun kecil tapi handal dalam bab diplomasi. Malaysia bukan kuasa besar yang ada kekuatan tentera atau ekonomi tapi kita pandai menggunakan kelicikan diplomasi untuk berkawan dengan semua, kecuali Israel dan yang terkini Korea Utara. Cara kita kalau ikut pepatah ibarat menarik rambut dalam tepung.

Seperkara lagi yang menarik dalam konteks hubungan luar ialah strategi Malaysia berubah dari masa ke semasa mengikut keadaan geopolitik dunia dan situasi yang boleh memberi kelebihan buat kita.

Sebagai contoh, ketika baru merdeka hubungan luar Malaysia adalah pro-Komanwel dan rapat dengan Britain. Ini adalah perlu terutama sekali apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan kerana kita menerima tentangan dari Indonesia dan Filipina. Indonesia terutamanya memilih jalan Konfrontasi atau penentangan bersenjata. Dalam berdepan ancaman Indonesia ketika itu (yang mempunyai angkatan udara terbesar di hemisfera selatan), bantuan Britain dan tentera Komanwel lain sangat diperlukan bagi melindungi Malaysia.

Apabila Konfrontasi tamat dan Britain memutuskan untuk menarik semua angkatan tenteranya ‘east of Suez’, polisi hubungan luar Malaysia juga berubah. Kita bertukar dari pro-Komanwel kepada sebuah negara berkecuali dan tidak berpihak. Ketiadaan tentera Britain dan Komanwel ketika ancaman komunis masih meluas bermakna Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma dalam hubungan luar.

Kalau peribahasa Vulcan menyebut “only Nixon could go to China”, maka kita juga ada ungkapan seakan sama iaitu “hanya Razak boleh pergi ke China”. Tindakan Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China sebenarnya bertujuan mendapatkan pengiktirafan China ke atas Malaysia dan pada masa sama jaminan untuk China menghentikan sokongan materi dan moral kepada Parti Komunis Malaya (PKM). Usaha memerangi komunis menjadi lebih mudah selepas itu, walaupun tanpa bantuan Komanwel.

Pada dekad 1980-an, wujud ketegangan hubungan antara Malaysia dan Britain susulan beberapa isu berkaitan. Sebagai langkah balas, Mahathir yang menjadi PM ketika itu melaksanakan polisi ‘Buy British Last’ yang meletakkan Britain sebagai pilihan terakhir dalam mana-mana perolehan kerajaan, termasuklah dalam khidmat nasihat mahupun bantuan kewangan. Tindakan ini merupakan kemuncak pada bermulanya kemandirian negara kita keluar dari kepompong tuan kolonialis lama kita.

Sebaliknya, Malaysia memulakan apa yang dinamakan ‘Dasar Pandang Ke Timur’. Fokus hubungan luar kita adalah mengeratkan silaturrahim dengan negara Asia Timur khususnya Jepun, dan juga negara seperti Korea Selatan dan Taiwan. Hasil dari peralihan ke timur ini membawa pelaburan besar dari negara-negara sebelah sana. Pada masa yang sama, pendirian keras negara kita dalam isu seperti Palestin, Bosnia dan Perang Teluk telah membuatkan hubungan luar dengan negara Barat seperti Amerika Syarikat menjadi tegang.

Tamatnya Perang Dingin, sekali lagi strategi diplomasi kita berubah. Malaysia menjadi negara pertama dalam blok ASEAN yang memecah tradisi dengan membeli pesawat pejuang buatan Rusia. Sekaligus ini mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Rusia, sampaikan kita beli lagi pesawat pejuang dari mereka dengan minyak sawit siap boleh tumpangkan angkasawan negara. Hubungan baik dengan Rusia juga berfungsi sebagai pemangkin atas keregangan hubungan luar kita dengan negara Barat.

Sekali lagi apabila keadaan geopolitik dunia berubah, sebagai negara kecil kita juga ikut rentak. Bila Mahathir tidak lagi jadi Perdana Menteri ke-4, Malaysia kembali mengeratkan hubungan dengan Amerika Syarikat. Pada masa yang sama kita sedar kebangkitan China dalam millennium baharu lantaran kita mengambil pendekatan untuk menyantuni China bagi mendapatkan laba pelaburan dan perdagangan dari negara yang dijangka bakal menyaingi Amerika Syarikat itu.

Tetapi sebagaimana hubungan luar Malaysia bermula sejak merdeka, tidak pernah sekalipun kita meletakkan negara kita dalam konteks adik-abang dengan negara lain. Tidak dengan Britain yang pernah menjajah kita, tidak juga dengan Jepun yang juga pernah menjajah kita. Begitu juga dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau Rusia.

Cuma hanya di kalangan negara tetangga kita selesa guna istilah ‘serumpun’ atau ‘adik-beradik’. Indonesia contohnya bolehlah kita anggap adik-beradik tapi itu pun kita sendiri tidak sampai mengaku mereka sebagai abang kita, walaupun Indonesia mungkin menganggap dirinya sebagai abang.

Singapura dan Brunei juga boleh dikira adik-beradik dengan Malaysia. Tapi macam dalam kes Indonesia yang kita tidak mengaku abang, Singapura dan Brunei pun tak ingin anggap kita abang mereka.

Dengan Filipina pun boleh dikira adik-beradik juga, walaupun sudah macam masuk kategori ‘long lost sibling’. Nasib baik arwah Jose Rizal pernah mengingatkan kita semua asalnya serumpun.

Mudahnya di kalangan negara tetangga pun kita lebih selesa guna istilah ‘serumpun’ atau ‘adik-beradik’ baik dengan Indonesia, Singapura, Brunei atau pun Filipina, tapi tanpa perlu menjelaskan siapa abang dan siapa adik.

Justeru, bila Menteri Luar Negara kita sendiri hari ini memilih untuk memanggil China sebagai ‘abang besar’ ia memanglah sangat mengejutkan. Entah dari celah mana Malaysia dan China ini dikira adik-beradik? Dan atas sebab apa pula kita perlu anggap diri kita ‘adik’ kepada China?

Kerana dalam hubungan luar atau diplomasi antarabangsa, meletakkan negara sendiri di kedudukan tidak setaraf dengan negara asing adalah satu kesilapan, dan tidak cukup dengan itu merupakan sesuatu yang sangat memalukan.

Tapi apalah yang boleh kita harap apabila kenyataan begitu datang dari mulut menteri kerajaan pintu belakang atau tebuk atap?

Komen