PROPAGANDA merupakan satu alat untuk mengubah pendapat awam mengenai sesuatu perkara. Pada kebiasaannya diguna pakai oleh pihak kerajaan untuk membantu mendapatkan sokongan awam kepada dasar-dasar yang dijalankan olehnya. Alat-alat propaganda itu banyak, merangkumi hampir kesemua aspek media, daripada tulisan-tulisan jurnalistik, lukisan-lukisan seperti mural, malah filem-filem di pawagam. Propaganda sebegini dilihat giat dijalankan tatkala waktu-waktu peperangan, sebagai unsur-unsur menakutkan orang awam akan bahaya yang mengancam keselamatan masyarakat. Akan tetapi, ada juga saya terfikir, bolehkan propaganda itu menanamkan satu kefahaman yang lebih mendalam?
Kefahaman seperti pemikiran politik baru?
Melihat kepada perkembangan industri perfileman Amerika Syarikat, agak sukar untuk tidak terfikir akan bagaimana industri itu boleh meraih dana yang cukup besar untuk menjalankan projek-projeknya malahan dengan cukup senang sekali boleh meminjam aset-aset ketenteraan untuk kegunaan penggambaran.
Sejujurnya saya agak tertarik bertanyakan sebuah lagi persoalan yang besar, adakah ada kerjasama mendalam antara industri perfileman Amerika Syarikat dengan agensi-agensi kerajaan mereka? Jika ada, adakah ia bermaksud Amerika Syarikat mempunyai badan propaganda tersendiri melalui industri? Dalam pencarian saya untuk membongkar persoalan ini, sejujurnya agak sukar untuk menentukan antara kebenaran dan spekulasi rambang, yakni hampir dengan setiap kata kunci yang dimasukkan di laman sesawang, hanya terbit tulisan-tulisan para pencinta teori konspirasi yang juga menghubungkan Hollywood dengan propaganda, serta juga Hollywood sebagai agen Al-Masih Dajjal (dakwaan yang belum boleh dibuktikan dari sudut empirikal).
Hubungan antara industri perfileman Amerika Syarikat bermula tatkala semasa Perang Dunia Kedua menurut artikel daripada CBC bertajuk “How Hollywood became the unofficial propaganda arm of the U.S Military”. Pejabat Peperangan Amerika mempunyai unit khas dalam hal-ehwal Hollywood yakni Biro Wayang Gambar. Antara 1942-1945, biro itu telah meneliti 1,652 skrip, membuang mana-mana bahan yang tidak menggambarkan Amerika Syarikat imej yang baik. Hollywood menerima arahan terus daripada pihak tentera untuk menjual idea sokongan dasar luar negara itu. Industri filem merupakan industri yang cukup baik untuk menyalurkan pendapat-pendapat untuk diterima ramai, maka dengan itu Amerika Syarikat menggunakan peluang itu kepada kelebihannya. Mirlees memberitahu bahaya media wayang gambar merupakan media yang digunakan ramai, malahan perasaan yang dapat disalurkan daripada wayang gambar dikongsi ramai, mengukuhkan mesej dalam tingkatan peribadi.
Saya juga dalam beberapa bulan yang lepas, terjumpa satu artikel New York Times yang bertarikh 6 Mei 1993, bertajuk “Disney Link to the FBI and Hoover is Disclosed”. Di dalamnya menceritakan kisah antara Walt Disney dan FBI. Dikatakan bahawa Walt Disney merupakan penyalur maklumat bagi FBI, dakwaan yang dicanang oleh Marc Eliot, seorang penulis mengenai budaya pop. Marc Eliot menghantar satu salinan kajiannya ke New York Times supaya dapat disahkan kesahihannya oleh pihak New York Times, dan terbukti kandungan di dalamnya adalah benar.
Sewaktu hartal juruanimasi Disney pada 1941, Walt Disney menuduh kepala hartal itu sebagai penghasut komunis. Walt Disney juga tidak segan untuk memberi keterangan kepada House Comittee on Un-American Activities dan menamakan ketua-ketua hartal itu, malah mengukuhkan sangkaan kerajaan Amerika Syarikat bahawa, tujuan hartal itu dilakukan sememangnya sebagai tangan-tangan gelap komunis (komunis yang dimaksudkan di sini lebih dekat istilahnya kepada Soviet Rusia).
Sebagai balasan kepada Walt Disney, pengarah FBI pada ketika itu telah membenarkan Walt Disney untuk menjalankan penggambaran di markas-markas FBI, malah diberi jawatan “full Special Agent in Charge Contact” pada tahun 1954, yakni jawatan itu kebiasaannya diberikan kepada individu yang boleh memberikan bantuan peralatan dan khidmat perhubungan awam kepada FBI. Dengan perhubungan yang telah dijalinkan antara FBI dan Disney, maka adalah jelas bahawa untuk tahun-tahun berikutnya FBI cuba menjadikan Disney serta syarikat korporat perfileman yang lain sebagai alat propaganda bagi kepentingan Amerika Syarikat dan agensi-agensinya. Pembongkaran begini adalah tidak mengejutkan apabila satu corak dalam filem-filem Barat yang menelan dana yang besar menolak segala naratif yang menggambarkan Amerika Syarikat dalam kedudukan yang buruk.
Sekiranya anda berpendapat bahawa hubungan antara industri perfileman dan agensi kerajaan Amerika Syarikat hanya giat sewaktu Perang Dingin, sebuah artikel The Atlantic bertajuk “How the CIA Hoodwinked Hollywood” menceritakan bahawa CIA telah pun menjalinkan kerjasama bersama Hollywood pada akhir 1940-an, tetapi hanya mengukuhkan operasinya pada 1990-an, tatkala lebih digiatkan pembiayaan terus kepada mana-mana pengarah yang mahu menggambarkan CIA dalam imej yang baik. CIA pada tahun tersebut dengan rasminya mengambil beberapa pegawai sebagai orang tengah antara industri perfileman dan CIA, menjanjikan dana yang tinggi kepada mereka yang mahu menurut titah perintah CIA.
Ia tidaklah menjadi rahsia lagi bahawa Amerika Syarikat sedaya upaya menggunakan Hollywood sebagai alat propaganda untuk mengukuhkan, atau mengubah pendapat awam mengenai Amerika Syarikat sendiri. Amerika Syarikat menggunakan Hollywood untuk mengetengahkan kepentingannya. Dalam zaman globalisasi ini, menjadi semakin jelaslah bahawa peranan industri perfileman Amerika Syarikat dalam menyebarkan propaganda telah melangkau sempadan. Amerika Syarikat telah berjaya mencanang budayanya kepada negara-negara lain, sehinggakan lama-kelamaan budaya seluruh dunia adalah tunggal. Dalam erti kata lain, dengan lebih banyak kita berhubung dan menelan hiburan kesenian Barat, kita akan menggadaikan kepentingan budaya kita sendiri.
Hubungan antara Hollywood dan Amerika Syarikat sendiri sebenarnya patut memberi tamparan yang hebat kepada kelemahan kerajaan kita sendiri untuk menyediakan bantuan kepada industri filem kita sendiri. Bantuan yang diberikan akan menjamin dua perkara yang semestinya akan menyebelahkan pihak kerajaan; pengukuhan budaya baru (budaya kebangsaan), serta pulangan wang yang besar daripada industri filem. Ia suatu langkah yang dapat memenangkan semua orang, kerajaan akan mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi, industri hiburan dan perfileman akan meningkatkan peluang pekerjaan, dan rakyat awam akan mendapatkan bahan hiburan yang segar.
Apalah salahnya kita mencontohi kecekapan tindakan Barat menyebarkan propaganda, berbanding bergantung harap kepada macai maya di ruang-ruang media sosial?

Raden Kraton adalah seorang wanita yang berkicau di Twitter melalui akaun peribadinya @RadenKraton. Ciapan beliau kebanyakannya berkisar tentang hal-hal sejarah dan falsafah.