SEMALAM atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz telah muncul wira negara itu apabila memenangi pingat emas Olimpik pertama Filipina. Diaz menjuarai kategori 55 kg angkat berat wanita dengan jumlah angkatan sebanyak 224 kg sekaligus memecah rekod kejohanan.
Apa yang menarik tentang kejayaan Diaz adalah kisah di sebalik kejayaan beliau di Tokyo 2020. Diaz walaupun seorang atlet Filipina, tetapi memilih untuk berlatih di Malaysia sebagai persediaan Olimpik. Pada awalnya beliau berlatih di Kuala Lumpur, tetapi kemudian tersangkut di Melaka akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang melanda. Sudahnya, selama setahun Diaz berlatih untuk Olimpik di belakang rumah seorang pegawai angkat berat Malaysia di Jasin, Melaka di bawah sebuah porch kereta dengan peralatan yang terhad dan ruang terbuka tanpa pendingin udara. Walaupun berlatih di belakang rumah di negara orang, itu tidak menghalang Diaz untuk menang emas Olimpik dan cipta sejarah tersendiri.
Kejayaan Diaz semalam meletakkan Filipina sebagai negara ASEAN ke-5 yang telah merangkul emas Olimpik. Ya, dari 10 negara anggota ASEAN kini separuh sudah merasa emas Olimpik manakala separuh lagi masih terus mengharap. Malaysia tergolong dalam separuh yang mengharap itu.
Indonesia adalah negara ASEAN pertama yang memenangi pingat emas Olimpik ketika Barcelona 1992 melalui sukan badminton. Edisi Olimpik ketika itu menyaksikan penyertaan sulung badminton sebagai acara sukan rasmi dan ia menjadi pertaruhan rebutan untuk negara-negara Asia jaguh badminton seperti China, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia. Emas untuk Indonesia datang dari acara perseorangan lelaki melalui Alan Budikusuma dan perseorangan wanita iaitu Susi Susanti. Kedua atlet ini seterusnya menjadi pasangan suami isteri usai kejohanan tersebut.
Berselang empat tahun kemudian di Atlanta 1996, giliran Thailand pula untuk merangkul emas Olimpik apabila peninju mereka, Somluck Kamsing menundukkan lawan dari Bulgaria dalam kategori featherweight. Kejayaan itu melonjakkan populariti Somluck di negaranya, hingga beliau menceburi karier sebagai penyanyi dan pelakon.
Dua puluh tahun berlalu sebelum kita dapat menyaksikan negara ASEAN ke-3 dan ke-4 yang berjaya merasai emas Olimpik. Vietnam muncul yang ke-3 apabila penembak negara itu, Hoàng Xuân Vinh menang acara 10 m air pistol pada 6 Ogos 2016. Berselang enam hari kemudian, Singapura pula muncul yang ke-4 apabila perenang. Joseph Schooling menjuarai acara 100 m kuak kupu-kupu. Kejayaan Vietnam dan Singapura ini berlaku dalam Olimpik di Rio 2016.
Dengan kejayaan Hidilyn Diaz dan Filipina semalam berserta pencapaian Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura sepanjang temasya Olimpik sebelumnya, kelima negara ini berada dalam kelompok elit negara anggota ASEAN yang sudah pun merasai kemanisan merangkul pingat emas Olimpik. Ia juga bermakna separuh atau lima negara anggota ASEAN lain, yakni Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Malaysia berada dalam kelompok satu lagi yang masih mengharapkan emas Olimpik mereka.
Obsesi negara kita Malaysia dalam memburu emas Olimpik bermula sejak Barcelona 1992 apabila badminton menjadi sukan rasmi. Di sini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat kita mempunyai satu peluang yang cerah untuk mengejar emas Olimpik kerana badminton adalah satu sukan di mana kita merupakan antara negara kuasa besar sukan itu.
Namun, sejak dari Barcelona 1992 hinggalah Rio 2016 pemburuan emas Olimpik badminton masih belum membuahkan hasil. Pencapaian terbaik kita dalam badminton Olimpik adalah sekadar pingat perak, tujuh kesemuanya telah dimenangi setakat ini. Ada beberapa ketika sinar emas itu hampir kelihatan, khususnya dalam acara perseorangan lelaki melalui Lee Chong Wei tetapi sayang masih ada pemain badminton lain yang jauh lebih hebat sezaman Chong Wei. Kita memang handal dalam badminton, tetapi perlu juga diakui ada banyak negara lain yang juga hebat dalam sukan ini.
Lantaran, usaha dibuat oleh MOM, persatuan sukan terlibat dan pihak kerajaan untuk meneroka lubuk emas berpotensi buat negara. Dalam hal ini ada dua sukan lain yang menjadi taruhan iaitu lumbasikal dan terjun. Harapan kita tersandar pada atlet seperti Azizuhasni Awang dan Pandelela Rinong untuk membawa harapan emas Olimpik negara. Azizulhasni pernah berjaya menghadiahkan gangsa ketika Rio 2016, sedang Pandelela pula gangsa di London 2012 dan perak di Rio 2016.
Adakah Tokyo 2020 bakal menyaksikan badminton, lumbasikal dan terjun bakal menghadiahkan emas Olimpik buat Malaysia?
Berbalik kepada Hidilyn Diaz, emas yang dimenangi beliau semalam bukanlah datang mengejut. Lima tahun lalu di Rio 2016, Diaz terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam sukan angkat berat. Kegagalan itulah yang menjadi pembakar semangat buat Diaz untuk terus berusaha walaupun terpaksa berlatih di bawah porch kereta di Jasin, Melaka.
Kita berharap, semangat yang sama juga membakar Azizulhasni atau Pandelela yang sekadar naik ke podium di tempat kedua atau ketiga ketika Rio 2016. Kita berharap juga semangat yang sama membakar pemain badminton generasi baru pasca Chong Wei seperti Lee Zi Jia atau beregu Aaron Chia/Soh Wooi Yik untuk memburu emas Olimpik badminton yang kita idamkan hampir 30 tahun lamanya.
Kerana kita tidak mahu nanti ada negara ASEAN ke-6 merangkul emas Olimpik dan ianya bukan Malaysia.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.