Sebenarnya kita nak harga minyak murah atau harga minyak mahal?
Harga minyak RM1.50 dahulu jadi modal netizen untuk troll kerajaan Pakatan Harapan walaupun dalam manifesto, sepatah pun tidak disebut pasal RM1.50. Bagi yang dah bosan dengan politik, mungkin kelentong aku kali ini boleh jadi bahan bacaan santai musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Jawapan aku kepada soalan ini ialah aku mahu harga minyak mentah (crude oil) mahal. Tapi dalam masa yang sama aku mahu harga minyak petrol murah.
Sejak negara kita gazet Petroleum Development Act (PDA) 1974 dan Petronas ditubuhkan untuk urus rizab minyak dan gas negara, kantung negara kita mula menerima hasil pendapatan dari pengeluaran petroleum. Antara yang terawal ialah dari telaga minyak Tapis, Bekok, Tiong dan lain-lain dari laut Terengganu.
Negara kita pernah menikmati hasil petroleum sebanyak 41% dari keseluruhan pendapatan negara masa tahun 2008, lagi banyak dari kutipan cukai pendapatan.
Masa harga minyak tengah menggila sampai USD110-130 setong masa zaman 2006-2014, pendapatan cukai petroleum dan royalti minyak memang sedap. Masa inilah projek-projek baru di Malaysia dan seluruh dunia tidak putus-putus. Berderet projek deepwater masuk order; Kikeh, Malikai, Gemusut-Kakap. Zaman ini mungkin orang tidak panggil keemasan, tapi zaman keemas-hitaman (black gold) kot.
Sampailah tempoh 2014-2018 iaitu musim industri minyak terciduk, sampaikan kerajaan terpaksa perkenalkan GST untuk tampung perbelanjaan negara yang terlalu tinggi.
Sebagai negara pengeluar minyak, aku memang mahu harga minyak mentah jadi tinggi sebab:
1. Bila harga minyak tinggi, hasilnya akan dikembalikan kepada kerajaan/rakyat dalam bentuk PITA (cukai petroleum), duti eksport, royalti dan dividen Petronas. Ya memang kerajaan kena cari exit plan dari bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum, sebab syarikat pengeluar juga kena rolling modal untuk expand. Tapi oleh kerana cukai dan royalti ini memang dijamin oleh undang-undang, maka kerajaan kenalah ambil manfaat untuk dikembalikan kepada rakyat. Hasil petroleum ini sebahagiannya digunakan untuk bayar gaji staf hospital, cikgu-cikgu, barisan pangkalan hadapan (polis, tentera, bomba) yang selama ini kita semua nikmati secara percuma sambil menghirup udara keamanan dalam negara.
2. Kos penggalian minyak sangat tinggi. Dari nak teropong minyak dalam perut bumi oleh geologis, ujian makmal, penyelidikan, gerudi telaga minyak, pembangunan konsep, reka bentuk, pembinaan, import teknologi dan kembangkan teknologi tempatan, nak tampung kos operasi, penyelenggaraan, penggangkutan dan pelbagai lagi aktiviti penerokaan, semua ini menelan kos yang sangat tinggi. Hanya dengan harga minyak yang tinggi dan stabil, barulah semua kerja-kerja ini boleh diteruskan untuk kesinambungan industri. Contohnya nak teroka telaga baru, nak tambah production rate, nak buat enhanced oil recovery dan macam-macam lagi.
3. Bila pasaran bagus dan industri berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi akan wujud. Saintis, jurutera, pengurus projek, limbungan pembinaan (construction yard), semuanya memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Bila prospek punyai ROI yang bagus, syarikat pengeluar tidak kisah labur CAPEX sebab akhirnya akan balik modal. Negara kita juga akan terima projek-projek dari luar, peluang pekerjaan bertambah, dan akhirnya duit akan melimpah ke dalam negara untuk dibelanja oleh para pekerja. Duit mengalir, aktiviti ekonomi berkembang, kerajaan boleh kutip hasil, pendapatan negara bertambah, dan akhirnya dikembalikan dalam bentuk dasar kebajikan untuk orang ramai.
4. Bila projek baru banyak, aktiviti pemindahan ilmu dan kemahiran sama ada bidang engineering service (design), kerja-kerja pembinaan dan pembangunan teknologi akan jadi lebih aktif. Ilmu boleh dipindahkan dari principle kepada senior, dari senior kepada junior. Masa awal-awal dulu syarikat luar macam Exxon sahaja yang datang korek minyak. Lama kelamaan hasil dari kestabilan harga minyak, banyak pelaburan baru dibuat, telaga-telaga minyak diteroka. Sekarang ini kalau setakat projek RM3-4 bilion itu boleh disiapkan oleh 99% kepakaran tempatan saja. Malah berapa ramai tenaga pakar rakyat Malaysia yang dihantar ke luar negara untuk urus projek di sana. Dari upstream, midstream, sampai downstream. Dari A hingga Z, we have that in-house capability. Isu vendor cuma buat bisnes ali baba kita ulas waktu lain.
5. Bila lebih banyak telaga minyak diteroka, akan ada lebih banyak penyelidikan baru. Sama ada dalam bidang geologi, exploration, teknologi pemprosesan, refinery, dan juga termasuk penyelidikan untuk melestarikan alam sekitar (kesan pencemaran karbon). Lebih banyak kertas kerja akan diterbitkan di jurnal-jurnal dan proceeding antarabangsa. Bila negara kita aktif buat penyelidikan, dunia akan pandang tinggi dengan kemajuan ilmu yang kita ada. Peluang penyelidikan baru akan datang bila ada modal banyak, penerokaan minyak dan gas boleh pergi lebih deep ke dalam bumi. Setiap takungan menghasilkan campuran minyak dan gas yang berlainan. Nak tapis, nak asing, nak buang benda yang tak patut, semuanya perlukan R&D dan proses yang khusus. Misalnya, ada takungan gas yang ada campuran CO2, H2S atau mercury yang agak tinggi. Nak jadikan gas asli itu bernilai dalam pasaran, semua gas dan kandungan yang tidak berkaitan ini perlu disaring dan dibersihkan.
Kalau harga minyak tinggi, macam mana nak dapatkan harga petrol murah?
Memang bila harga minyak Brent naik, harga produk macam petrol dan diesel pun akan naik. Katakan kalau Brent USD100 setong, harga minyak jadi RM2.80 seliter. Kalau kerajaan nak jual RM2.20, satu-satunya cara tak lain tak bukan ialah kerajaan kena tolong tambah lagi 60 sen. Katakan penggunaan petrol 10 bilion liter setahun, kerajaan kena tanggung subsidi sebanyak RM6 bilion.
Jadi untuk dapatkan harga minyak murah, ia bergantung kepada dasar fiskal parti yang awak undi dalam pilihan raya. Kalau parti yang awak undi itu sibuk nak suap perut kroni, biarkan ketirisan duit, nak kena basuh tahi 1MDB, nak tanggung anak bini hidup mewah, terpaksa tampung kebocoran rasuah, sebahagian perbelanjaan kerajaan yang boleh diguna menampung subsidi minyak terpaksa dipotong dan disalurkan kepada kluster kayangan.
Adapun mekanisma pengagihan subsidi yang adil dan bersasar kepada B40 itu bergantunglah kepada kebijaksanaan pemimpin masing-masing. Nak letak harga siling atau nak letak harga lantai. Kalau menteri mahu mudah, dia bagi saja subsidi pukul rata. Pak Mat yang pakai motor Honda EX5 dapat subsidi RM120 setahun, manakala Niklopa yang pakai Porsche Macan mungkin akan dapat subsidi RM1,500 setahun.
Cuma kenapa bila harga minyak mentah mahal, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak tidak boleh jual minyak petrol 50 sen seliter? Yang ini aku kena kelentong lain kali sebab minyak yang kita isi dalam tangki kereta tu adalah minyak import yang menggunakan harga benchmark MOPS di Singapura.
M. Hafizul Hilmi adalah seorang graduan kejuruteraan yang kerap menulis di Facebook tentang pelbagai perkara yang terlintas di kepalanya.