Isu konsumer yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah mengenai harga ayam yang dilaporkan terus meningkat naik. Dilaporkan di sesetengah pasar awam, harga ayam telah mencecah ke paras RM10 sekilogram berbanding harga RM7 atau RM8 sekilogram sebelum.
Ada teori oleh kerajaan berkaitan kenaikan mendadak harga ayam. Mengikut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), punca kenaikan harga ayam adalah akibat kenaikan harga makanan haiwan ternak seperti dedak. Kemudian KPDNHEP menambah lagi kenaikan harga dedak ini di luar bidang kuasa kerajaan. Dan berlepas tanganlah KPDNHEP, yang kemudian mengusulkan pengguna untuk membeli ayam di pasar raya yang katanya masih murah berbanding pasar awam, sekaligus membunuh perniagaan kecil.
Tetapi yang lebih menarik adalah apabila saya sendiri terbaca satu tulisan surat pembaca di Utusan Malaysia yang mengatakan ‘tak mengigau kalau tak makan ayam’. Antara tulisan beliau:
Bagi saya, penduduk di Malaysia yang semakin hampir mencapai status negara maju tidak perlu lagi merungut pasal harga ayam naik dari sehari ke sehari kerana ia sungguh memalukan.
Ingatlah, belum ada laporan dikeluarkan mana-mana pihak bahawa sesiapa yang tidak makan ayam akan berhadapan dengan masalah tidak boleh tidur, mengigau waktu malam, mengantuk atau sesak nafas.
Apa yang mungkin si pembaca yang menulis surat itu terlupa adalah, kenaikan harga ayam memberikan kesan yang jauh lebih besar kepada rakyat dari sekadar igauan ngeri di waktu malam.
Kenaikan harga ayam berkait rapat dengan jurang ekonomi di Malaysia yang kemudian menjerumus kepada jurang sosial dan kesihatan.
Ayam seperti yang kita ketahui adalah salah satu sumber protein yang utama. Untuk 100 gram ayam, ia membekalkan 27 gram protein yang sudah menyamai 54% dari keperluan zat harian kita. Bahagian tertentu ayam seperti dada antaranya mengandungi jumlah protein yang tinggi.
Apa gunanya protein?
Protein adalah zat utama yang membantu dalam pembinaan tisu. Selain itu protein juga membantu dalam penghasilan otot, fungsi tubuh yang baik, kecerdasan otak dan tubuh serta menguatkan sistem imun badan. Selain ayam, sumber utama protein yang lain adalah seperti ikan, daging, telur serta produk tenusu lain.
Kepentingan protein adalah paling kritikal dalam tumbesaran kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan protein untuk membantu proses pembesaran mereka. Kekurangan zat protein boleh mencetus kepada masalah bantut di kalangan kanak-kanak, iaitu situasi dimana tumbesaran mereka terjejas dari segi fizikal dan mental. Bantut bukan saja merencatkan ketinggian seorang anak, tetapi juga keupayaan berfikir atau IQ mereka.
Tidak seperti apa yang ditulis oleh pembaca Utusan Malaysia itu, status negara maju sebenarnya berkait rapat dengan pemakanan. Bagaimana kita boleh mendakwa Malaysia hampir mencapai taraf negara maju jika akses pada makanan seimbang masih tidak seimbang di kalangan rakyat? Bagaimana kita boleh mendakwa maju jika anak-anak Malaysia masih ramai yang berisiko bantut?
Ya, masalah bantut di kalangan anak-anak Malaysia adalah masalah yang kritikal. Kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan 21.8% atau seorang dalam lima kanak-kanak Malaysia bawah lima tahun dilaporkan terbantut. Angka ini lebih tinggi berbanding data 2011 yang menyatakan hanya 16.6% kanak-kanak terbantut.
Kajian Stunting in Malaysia (Bantut di Malaysia) oleh Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia pula mendedahkan bahawa 20.7% kadar bantut melibatkan kanak-kanak Malaysia adalah jauh lebih tinggi berbanding kanak-kanak di Tebing Barat dan Gaza yang hanya 7.4% dilaporkan bantut.
Selain amalan penjagaan dan pemakanan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan persekitaran yang sihat, salah satu faktor utama berlakunya masalah bantut di Malaysia adalah jaminan makanan.
Dilaporkan bahawa 12% dari kanak-kanak yang tinggal di rumah flat kos rendah makan kurang dari tiga kali sehari, dengan 97% dari isi rumah mendakwa harga barang makanan yang tinggi menghalang mereka dari menyediakan makanan yang sihat untuk anak. Satu dari dua keluarga juga mendakwa mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan dalam beberapa bulan kebelakangan.
Jelas, harga makanan merupakan faktor utama yang boleh mengubah nasib tumbesaran atau perkembangan anak-anak Malaysia. Golongan miskin adalah kelompok yang paling terdedah dengan risiko kenaikan harga makanan, yang kesannya membawa kepada isu-isu berkaitan lain dan bantut adalah salah satu darinya.
Laporan Stunting in Malaysia mendedahkan banyak realiti semasa yang lain. Kaum Melayu dilaporkan yang paling terkesan dengan masalah bantut, 21.3% di kalangan anak Melayu dilaporkan bantut, sedang Cina hanya 14.1% dan India pula 17.1%. Di kalangan negeri pula, negeri-negeri Pantai Timur yang juga sinonim dengan kadar kemiskinan mendahului peratusan bantut seperti Kelantan (34%), Terengganu (26.1%) dan Pahang (25.7%). Masalah bantut paling ketara dalam isi rumah berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan iaitu sebanyak 29.8%.
Setelah melihat pada angka-angka peratusan yang menggerunkan ini, masihkah kita mahu beranggapan bahawa ‘tak mengigau kalau tak makan ayam’?
Ya, memang tiada siapa yang akan mengigau jika tidak dapat makan ayam. Tetapi terputusnya ayam dari menjadi sajian di atas meja keluarga-keluarga B40 Malaysia bermakna akan ada lebih ramai anak Malaysia dari golongan B40 yang akan terjerumus dalam masalah bantut.
Perkara ini yang pelu kita berikan perhatian khusus. Kerajaan seharusnya melihat isu kenaikan harga barangan makanan sebagai satu ancaman serius yang akan melebarkan jurang sosial, kesihatan dan ekonomi di Malaysia. Bersikap bahawa ianya berlaku kerana faktor luar kawalan dan bersifat sementara adalah sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak Malaysia yang merupakan masa depan negara kita.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.