Hang Tuah Tidak Pernah Memanggil Maharaja Cina ‘Abah’, Atau ‘Abang Besar’, Tidak Pernah

Bukan Hang Tuah sebenar.

SAYA betul-betul tidak mengingat, sejak pernah membaca Hikayat Hang Tuah, jika Kanda Tuah pernah memanggil Maharaja Cina, sebagai ‘Abang Besar’. Betul-betul tidak mengingat. Saya membaca Hikayat Hang Tuah sejak belum sekolah menengah, dan hampir setiap tahun; samada atas tujuan seni mahupun alasan kerja, memang saya tidak mengingat yang Kanda Tuah ada memanggil negara benua Cina itu sebagai adik beradik.

Padahal Hang Tuah itu terpaling Melayu, dan terpaling Islam. Melayunya Tuah tidak dapat dipertikaikan lagi, dia sanggup masuk lubang jamban atau pun ditanam hidup-hidup ke alam barzakh demi menyatakan kesetiaannya sebagai Melayu. Islamnya Tuah tidak dapat disangkal lagi, meskipun kaki minum, dan kaki culik dan perdaya perempuan; Kanda Tuah naik haji dan dia sanggup mati demi nusa bangsa. Hang Tuah itu terpaling Melayu, dan terpaling Islam. Tiada pahlawan UMNO lebih Melayu-Islam. Tiada pahlawan PAS lebih Melayu-Islam daripada Kanda Tuah, mungkin dekat sedikit ialah Mokhtar. Demikian juga tiada pahlawan Bersatu lebih Melayu-Islam daripada Hang Tuah dari segi habis Melayu atau Islamnya. Keajaiban Hang Tuah sebagai Melayu-Islam tidak dapat dilawan, satu-satunya yang mungkin berhasil mencapai makam Tuah tentulah Rina. Demikian sakti, dia bisa bertukar anggaran muatan dalam tempoh sekejap.

Adalah Melayunya Hang Tuah itu apabila ia diutus ke Majapahit jangankan diikut, tentu bergegar segala pintu urusan diplomatik. Mana tidaknya, Kanda Tuah demikian cabul berendam dengan rakan-rakannya dalam kolam permandian Paduka Betara Majapahit. Bukan saja dia berendam dan bermandian dalam itu, bunga-bungaan dalam kolam dan buah-buahan di sekitar kolam itu habis dipetik dipungut dan dikendong bertimbun-timbun. Punyalah Hang Tuah itu Melayu yang mencabar urusan diplomatik, Seri Betara teramat marah kerana kolamnya diceroboh, dan adegan itu mewartakan kemelayuan Hang Tuah:

Maka sembah penunggu taman itu, “Ya Tuanku Paduka Betara, taman larangan Paduka Betara yang patik tunggui itu habislah dibinasakan oleh Melayu muda-muda lima orang itu. Patik larang tiada terlarang. Patik pula hendak dibunuhnya.” Maka Seri Betara pun terlalu amarah seperti ular berbelit-belit serta bertitah, “Hai Barit Ketika, segeralah pergi melihat Melayu mana yang berani duduk pada balai larangan kita.”

Inilah Melayu yang berani mencabar Jawa tuan-tuan. Tiada peduli kalau perbuatannya itu boleh mencetuskan perang. Kita tidak tahu mana Melayu yang berani mencabar Jawa. Paling dekat barangkali Annuar Musa. Inilah Tuah yang berani melanggar SOP.

Perkara Islamnya Tuah itu memang sangat seia-sekata. Saya tidak dapat memikir mana-mana mufti Melayu zaman lampau dan zaman ini yang menyerlah dalam hal perkara Islamnya Tuah. Hadi pun tidak boleh cecah makam Tuah. Adapun sebelum Tuah berangkat ke benua Cina untuk membawa mesej diplomatik, Tuah berada di negeri India (dalam bahasa purba negeri Keling yakni merujuk peradaban Kalingga) sebagai Duta Khas. Demikian Islamnya Tuah sebelum naik tongkang belayar ke negeri Cina, dia habis meronda segala masjid di benua India terlebih dahulu:

Maka Bendahara pun memandang kepada Laksamana. Maka kata Bendahara, “Hai Laksamana, apa bicara tuan hamba? Akan pekerjaan ke benua China ini hendak naik jongkah atau naik kapalkah atau sehingga perahu orang kayakah?” Maka sembah Laksamana, “Dengan perahu yang diperhambalah pergi ke Benua China itu. Tetapi hamba melihat kuil dan masjid segala Islam dahulu!” Maka titah Kisna Rayan, “Hai Nala Sang Guna bawalah Laksamana melihat bermain dalam negeri kita ini barang sehari dua hari dahulu, melihat temasa.” Maka sembah Nala Sang Guna, “Daulat Tuanku.”

Hang Tuah bercuti berjalan-jalan di negeri Cina itu selama dua bulan, tiadalah terbit daripada mulut Kanda Tuah sebarang perkataan seperti ‘Abang Besar’, saya agak pasti tentang ini. Kalau orang mengaku dia Melayu, rujukan dan contoh Melayu hendaklah sepertinya Tuah, tiada dia menggelar Maharaja Cina sebagai abang. Geli-geleman Tuah kalau mendengar perilaku adik beradik mengada demikian.

Adapun Tuah itu bijaksana, sebagai Laksamana atau Menteri Luar tiada dia memalukan Melayu. Ada sekali waktu dia ingin melihat apa rupanya Maharaja Cina yang diibaratkan seperti bulan mengambang itu, Tuah mencari jalan. Akan tetapi dia tidak sampai mengampu. Tiada keluar kata ‘Abang Besar’ atau ‘Abah’. Tuah itu ada telor dua biji, tak akan menyebut-nyebut kata gedik sedemikian.

Episod Hang Tuah menghendapkan Raja Cina itu tercatat dalam perenggan ini:

Setelah beresokan harinya maka Laksamana pun dibawa oleh Syahbandar pada menteri empat itu. Maka menteri empat itu pun sudah hadhir akan berjamu. Setelah dilihatnya Laksamana datang itu maka kata menteri empat itu, “Marilah orang kaya kita mengadap.” Maka kata Laksamana, “Silakanlah tuanku, diperhamba iringkan.” Maka menteri empat itu pun naiklah ke atas usungan emas. Maka payung iram empat puluh pun terkembanglah. Maka segala raja-raja dan menteri hulubalang itupun duduklah beratur di balairung, masing-masing pada tempatnya. Maka Raja pun memakai makota dan segala pakaian kerajaan selengkapnya. Setelah sudah maka berbunyilah segala bunyi-bunyian empat puluh ragam itu alamat raja berangkat. Maka segala raja-raja yang dua belas ribu itu pun semuanya berdakap tubuh tunduk berdiam dirinya. Maka Raja pun keluarlah lalu duduk di dalam mulut naga emas itu. Maka menteri empat itu pun sujud menharap di hadapan Raja. Maka titah Raja, “Hai Menteriku keempat, pelihara akan segala rakyatku baik-baik; adat jangan diubah.” Maka sembah menteri itu, “Daulat Tuanku Syah Alam.” Maka Raja pun duduklah diadap segala raja-raja dan menteri. Maka titah Raja, “Hai menteriku keempat, manatah utusan Keling itu? perjamulah olehmu!” Maka sembah menteri itu, “Daulat Tuanku.” Maka hidangan pun diangkat oranglah ke hadapan Laksamana. Maka Laksamana pun membasuh tangan tangan lalu makan dan segala Melayu pun makanlah dua tiga suap. Maka Laksamana pun mengambil sayur kangkung. Maka disuapnya dengan cekip emas itu maka lalu diangkatnya ke atas dahinya maka disuapnya ke mulutnya sambil melihat Raja China itu duduk di dalam mulut naga emas itu bersisik akan permata sembilan bagai rupanya, duduk di atas peterana manikam, berumbai-umbaikan mutiara seperti dian di dalam tanglung.

Memang Tuah nyaris dibunuh kerana perlakuan mengintai Raja Cina itu. Akan tetapi Maharaja Cina yang mengetahui nilai diplomat Melayu itu tidak mengizinkan Kanda Tuah dipenggal kepalanya. Adakah Tuah menyebut ‘terima kasih abah, atau Xiè xiè nín duhai abang besar, kerana tiada menghukum sahaya’, adakah sebarang kata-kata demikian? Padahal nyawa Tuah nyaris melayang?

Tidak. Laksamana Tuah itu Menteri Luar. Sebagai Menteri Luar Negara dia bawa maruah bangsa, dan nusa. Yakni Tuah mewakili bangsa Melayu, dan negeri Melayu. Tiada yang terpaling Melayu dan Islam melainkan Tuah. Tiada terpacul daripada mulutnya lafaz sempundal.

Kalau Tuah mendapat perkhabaran dari tahun 2020 perihal bagaimana China Coast Guard (CCG) dan Royal Malaysian Navy (RMN) berdepan-depan (standoff) ketika penerokaan hydrocarbon kira-kira 44 batu nautika perairan Sarawak di Laut China Selatan, tak akan terpacul cabul daripada mulut Tuah kata ‘Abang Besar’.

Melayu umpama Hang Tuah dia berani. Melayu umpama Sajat, juga berani. Melayu memang bangsa berani. Masing-masing punya berani sendiri-sendiri. See their level. Tiada istilah ‘Abang Besar’ berdepan dengan kuasa besar.

Tiada. Titik.

Komen