PERTAMA kali membaca karya Hamka, hati terus terpaut pada kelembutan bahasanya, juga kekuatan mesejnya. “Ah, siapa gerangan penulis karya indah ini?” hati berbisik ingin tahu. Tertera di kulit hadapan buku yang saya baca hampir 14 tahun yang lalu, ‘Tasawuf Moden’ karya Prof Dr Hamka. Baru saya sedar nama ini jugalah yang tertera di koleksi kitab-kitab tafsir ayah, ‘Tafsir al-Azhar’. “Uh, hebat lelaki ini,” hati saya hanya berbisik. Sejak hari itu, saya mula berjinak- jinak membaca Kitab Tafsir al-Azhar karya Buya Hamka yang sebelum ini hanya saya pandang sepi tersusun rapi di rak buku-buku ayah di ruang bacaan. Membaca Tafsir al-Azhar pula sekali lagi membuat hati saya dekat dengan bait-bait kata yang tertulis di kitab itu. Penafsiran dan penjelasan yang bagi saya begitu membumi dan sangat dekat dengan budaya kita, Nusantara.
Berpeluang menyertai trip kembara Hamka bersama kumpulan Jejak Tarbiah awal Februari ini begitu membuat saya teruja. Syukur yang tak terhingga saya panjatkan kerana tidak pernah menyangka kaki saya dapat menjejak ke tanah subur, Desa Maninjau ini. Tanah kelahiran sosok yang saya kagumi sedari kecil, Buya Hamka! Pertama kali jugalah saya menjejakkan kaki ke bumi Indonesia, tanah serumpun Melayu yang berjaya menarik hati saya mutakhir ini dengan pelbagai jenis perkembangan yang saya dengar dan lihat dari jauh baik dari segi budaya ilmunya, karya ilmunya, karya filemnya dan banyak lagi.
Di hari pertama, selepas kami singgah di air terjun Lembah Anai yang masih jernih airnya, dingin pula suhunya, kami singgah ke pesantren pertama iaitu di SMP Hikmah Padang Panjang (Islamic Boarding School). Teruja melihat sambutan hangat yang diberikan dari pihak pesantren membuat saya dan teman-teman kembara terasa bersemangat meneruskan kembara ini dengan semangat ‘mahabbah’ dan keilmuan. Di sinilah tempat penginapan pertama kami. Dengan keadaan yang begitu sederhana, jujur saya katakan saya dan teman-teman begitu selesa menginap di situ. Dengan suhu malam yang tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas membuat tidur kami begitu lena dan selesa. Sepanjang program kami di situ saya hanya banyak memerhati tingkah mereka. Sungguh, banyak perkara yang saya belajar dari mereka. Melihatkan hubungan guru dan murid yang begitu erat membuat saya kagum kerana sebelum ini jarang saya melihat hubungan guru dan murid seerat itu, seperti adik dan kakak/abang. Sebaliknya, saya hanya melihat hubungan erat sebegitu berlaku di negara-negara Barat melalui beberapa dokumentari yang saya tonton. Melihatkan pula wajah anak-anak di situ, jelas riak kebahagiaan terpancar di wajah mereka. Barangkali bahagia dalam cinta mereka mengejar cita bersama ilmu. Cinta ini jugalah yang sering dipupuk oleh Buya Hamka.
Malam itu, kami disaji dengan pelbagai jenis persembahan oleh anak-anak di situ. Terharu saya mendengar ucapan dari beberapa individu yang saya tidak ingat namanya menceritakan pelbagai pengalaman, kajian dan sejarah Buya Hamka di bumi Indonesia. Salah satu kisah yang membuat hati saya sebak adalah betapa sucinya hati beliau dalam hubungan persahabatannya dengan Bapak Soekarno. Kendatipun telah diperbuat tidak baik oleh presiden pertama Indonesia itu, hatinya begitu bersih jauh pula dari dendam. Sentiasa menjadi pemaaf buat manusia lain. Bahkan, dia sendiri yang mengimamkan solat jenazah ke atas orang yang telah memenjarakan beliau atas sebab satu fitnah. Teringat saya akan kata-kata Dr Tariq Ramadan dalam satu pidatonya di Malaysia beberapa minggu yang lalu tentang ‘kemaafan’. Beliau apabila ditanya oleh salah seorang hadirin tentang kedamaian (peace), dengan mudah beliau menjawab tiada yang lebih besar dari nikmat kedamaian melainkan sebuah kemaafan. Sungguh, sebuah kemaafan adalah sesuatu yang terlalu suci dan luar biasa, tidak semudah dalam ungkapan kata.
Antara perkara lain yang membuat saya kagum melihat budaya dan cara pemikiran mereka di situ, selepas solat mereka bebas bertafakur sendiri. Tidak bersama-sama berwirid dan berdoa seperti budaya kita di sini. Katanya, masing-masing ada hajat yang berbeda. Berdoalah sungguh-sungguh pada Tuhan untuk hajatmu yang pelbagai itu. Melihatkan cara mereka berfikir yang jelas mereka mudah untuk tidak mengikut tradisi lama tetapi sebaliknya mengikut rasional dan hujah yang mereka faham dan percaya. Seorang Bapak menceritakan mulianya peribadi Hamka apabila beliau seorang yang biasa tidak membaca qunut dalam solat subuhnya tetapi melaksanakannya (qunut) di tempat orang yang biasa mengamalkan amalan tersebut dengan hujah ingin menghormati tetamu. Nah, bandingkan saja peribadi beliau dengan anak-anak muda mutakhir ini yang kelihatannya begitu mudah melatah dalam mendepani perbezaan. Jauh sekali bezanya!
Meninggalkan SMP Hikmah Padang Panjang, kami terus ke lokasi pesantren kedua, Kuliyyatul Muballighin Padang Panjang. Pesantren di mana Buya Hamka sendiri pernah menjadi kepala sekolah yang pertama. Diceritakan pada malam sebelumnya, di asrama pesantren inilah isteri Buya Hamka melahirkan anak mereka yang ketiga. Di sini, sambutan yang diberikan tidak kurang hebatnya. Melihatkan persembahan mereka, kelihatannya masih kuat mereka berpegang pada adat (Minang). Contohnya pada adat menyambut tetamu dan persembahan-persembahan yang lain. Seperti biasa kami disambut dengan begitu bersungguh, dengan makanan yang enak dan layanan yang begitu mesra. Terasa begitu santun orang-orang Minang. Baik guru-gurunya malah murid-muridnya begitu mesra dan merendah diri. Di sini keterujaan saya kembali bertandang melihatkan bukan saja akan kesantunan mereka malah kedinamikan sistem pendidikan di pesantren ini. Usaha mereka untuk menyeimbangkan antara ilmu akhirat dan dunia begitu membanggakan. Jelas, keterbukaan mereka pada pelbagi perkara membuatkan mereka mudah untuk mencungkil bakat-bakat luar biasa anak-anak di situ. Barangkali, inilah dia hasil pendidikan yang dicurahkan dari Buya Hamka.
Antara kekaguman saya pada Buya Hamka adalah kebijaksanaan beliau dalam mengharmonikan prinsip agama dan adat budaya. Ditambah kesungguhan beliau dalam membasmi kepercayaan tahyul dan khurafat warisan nenek moyang. Beliau adalah tokoh pembaharu umat, dan hasilnya dapat saya lihat sendiri pada warga Kuliyyatul Muballighin. Beliau nampaknya berjaya menampakkan bahawa agama itu sememangnya bersifat universal dan fleksibel, bukan sempit dan syadid.
Selesai persinggahan kami di KM, ditemani dua orang guru dari KM, kami telah dibawa melawat ke Masjid Asasi Nagari Gunung. Melihat reka bentuk masjidnya yang cantik dan unik menggambarkan betapa kreatifnya orang-orang Minang dahulu bersama kegigihan mereka mengangkat kayu-kayu besar yang maha berat dari bukit-bukit yang tinggi dan curam. Hebat orang dulu-dulu, mereka tiada teknologi canggih seperti kita kini, namun kadangkala keupayaan mereka jauh lebih hebat dari kita kini yang sudah hidup dalam kepesatan teknologi yang dahsyat. Lihat saja pembinaan piramid di Mesir, sehingga kini saintis masih tidak dapat menemui salah satu cara yang dilakukan arkitek-arkitek dahulu atas usaha mereka dalam pembinaan piramid. Barangkali orang dulu lebih banyak bicaranya sama alam berbanding kita yang bicaranya lebih banyak pada mesin-mesin buatan manusia sendiri hingga lupa pada kehebatan alam ciptaan Tuhan.
Kembara kami diteruskan lagi dengan lawatan ke Pusat Pendokumentasian Adat Minangkabau. Semacam sebuah muzium tetapi dijadikan juga sebagai sebuah perpustakaan. Berkonsepkan rumah Gadang (rumah adat). Di situ juga terdapat banyak buku yang menarik hati saya termasuklah beberapa buku yang ditulis oleh rakyat Malaysia khususnya tentang adat budaya Negeri Sembilan. Di situ, kami telah diberikan penjelasan yang panjang lebar tentang adat Minangkabau. Sungguh, saya melihat adat ini banyak membentuk Hamka, iaitu satu adat yang bersifat matriarki. Cara mereka mendidik anak lelaki tampak tegas dan seakan tiada kompromi. Meneliti adat Minangkabau, membuat saya berfikir sejenak, adat inilah yang banyak mempengaruhi peribadi beliau. Malah, barangkali sifat beliau yang sangat perhatian sama kaum perempuan juga adalah salah satu pengaruh dari adat ini. Lihat saja pada karya-karya novel beliau yang banyak menampakkan perhatian beliau pada kaum Hawa, seperti ‘Terusir’, ‘Merantau ke Deli’, ‘Siti Nurbaya’ dan beberapa karya lain. Jujur, membaca karya beliau seperti ‘Terusir’ dan ‘Merantau ke Deli’ membuat saya hairan memikirkan bagaimana seorang penulis laki-laki seperti beliau mampu memahami jiwa perempuan dengan begitu halus dan mendalam. Barangkali pengalaman-pengalaman hidup juga yang membuat beliau begitu empati terhadap permasalahan manusia terutama kehidupan seorang perempuan yang seringnya sulit untuk difahami jiwanya.
Sebelum menuju ke Danau Maninjau, di petang yang hening itu, kami singgah sebentar ke Pesantren Syech Ahmad Chatib. Dikhabarkan, sebelum kami sampai ke situ ada beberapa orang warga Malaysia yang bertandang ke situ semata-mata untuk mencari maklumat tentang sejarah hidup Syech Ahmad Chatib al Minangkabawi untuk karya-karya tesis mereka. Malah, ramai lagi sebelum ini yang bertandang ke situ untuk mengetahui dengan lebih mendalam kisah sejarah kehidupan Syech Ahmad Chatib, Imam Melayu pertama yang menjadi imam di Masjidil Haram, Mekah. Beliau juga merupakan salah seorang guru kepada Buya Hamka semasa beliau merantau di Mekah. Di situ, kami mendengar serba sedikit tentang sejarah Syech Ahmad Chatib. Dikhabarkan oleh beberapa sumber bahawa ulama besar Nusantara ini pergi merantau jauh ke Mekah atas sebab tekanan dan tidak bersetuju dengan adat Minangkabau yang terlalu banyak berpihak pada kaum perempuan. Namun, setelah beliau banyak menuntut ilmu di sana, baru beliau sedar bahawa Islam sendiri sangat memberati hal kaum Hawa. Lihat saja seruan menyahut seru seorang ibu sebanyak tiga kali yang pertama dan setelah itu barulah untuk si bapa.
Selesai lawatan singkat kami di Pesantren Syech Ahmad Chatib, kami terus menuju ke Danau Maninjau. Tempat yang dikhabarkan sebagai tempat yang indah. Juga disebut-sebut akan keindahannya oleh Buya Hamka sendiri dan Bung Karno. Tempat permainan Hamka di waktu kecilnya. Antara kawasan paling kerap hujan tapi tidak pernah berlaku banjir hatta di kawasan paling rendah sekalipun. Barangkali orang Malaysia harus belajar sama mereka. “Pokoknya, alam Tuhan jangan dirosak sama tangan-tangan kamu.” Hati saya hanya berdesis. Di tanah penuh adat ini alam harus dipelihara sebaiknya buat warisan turun-temurun. Barangsiapa merosak walau sedikit alam sekitarnya, ia dikira satu jenayah buat adat. Sebab itu, keindahan alam di sini masih tidak hilang dari dulu. Malah, di sini juga adalah satu-satunya tanah di mana para pelabur tidak boleh masuk disebabkan tanah-tanah ini adalah milik adat. Di sini tidak cukup jika hanya deria penglihatan yang kita gunakan. Kita harus rasa. Rasa pakai jiwa manusiawi kurniaan Tuhan. Dari penglihatan yang memandang akan keindahan alam (sensation), terus perasaan akan merasakan sesuatu sambil dibantu fikiran akal sihat (perception). Ada sesuatu yang kita bisa belajar dari alam.Tidak hairan banyak tokoh besar Indonesia lahir dan membesarnya di sini termasuk Buya Hamka, Buya Karim Amrullah, Pak Natsir, Sheikh khatib al Minangkabawi dan banyak lagi. Jelas, persekitaran alam banyak membantu pembentukan personaliti manusia. Ini juga ada disebut dalam Muqaddimah Ibnu Khaldun, bagaimana beliau menceritakan sikap kelompok orang Barbar yang dipengaruhi oleh keadaan iklim sekeliling.
Menelusuri ‘kelok ompek puluh ompek’ (Kelok 44) yang sangat tajam selekohya begitu menguji ketahanan saya. Sesampainya di perkampungan Danau Maninjau, lidah dan hati hanya mampu mengucapkan puji-pujian atas kebesaranNya melihatkan keindahan alam di situ. Rupanya, danau yang begitu indah itu adalah hasil letusan gunung berapi berabad yang lalu. Pantas saja tanam-tanaman di sekeliling begitu subur dan menjadi. Malam itu kami menginap di sebuah rumah tumpangan di pinggiran danau. Sudahlah selesa, ditambah dengan pemandangan yang indah dan tenang, terasa seperti hilang segala masalah. Malam itu saya tidur awal dek kerana terlalu letih dan berasa badan kurang sihat. Malam itu jugalah perginya sebutir mutiara berharga Malaysia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menghadap pencipta di kampung abadi. Saya hanya mengetahui berita pemergian beliau pada keesokan harinya dari teman kembara semasa bersarapan. Terlalu sedih tak terungkap kata, hanya doa yang mampu dihadiahkan buatnya.
Pada hari ketiga, kami terus bergerak ke Cagar Budaya, Makam Syech Abdul Karim Amrullah, ayahanda Buya Hamka, di Nagari Sungai Batang. Di situ jugalah terdapat Kutub Chanah yang masih menyimpan timbunan karya-karya Haji Rasul (nama lain bagi Abdul Karim Amrullah) dan potret-potret lama beliau bersama keluarga dan teman-temannya. Bersama Mak Salmah, cucu saudara Haji Rasul, beliau menceritakan kisah-kisah suka duka Hamka di waktu mudanya di situ. Beliau yang tinggal hanya bersebelahan dengan Kutub Chanah bertanggungjawab memegang kunci rumah tersebut dan membukanya apabila ada pelawat yang datang. Kagum saya melihat karya-karya Haji Rasul yang masih baik tersimpan rapi oleh penjaga di situ. Bertambah teruja melihat tulisan-tulisan tangan beliau yang sangat baik dan tersusun. Kebanyakan tulisan beliau adalah dalam bahasa Arab. Tidak hairan beliau disebut-sebut sebagai Ulama ulung pada waktu itu, bahkan hingga ke hari ini nama beliau masih segar di ingatan para pencinta ilmu. Malah, karya-karyanya juga banyak disimpan dan dirujuk para cendekiawan agama seluruh dunia di Universiti Al Azhar, Mesir.
Melihatkan karya-karya beliau yang sangat banyak terdiri dari pelbagai cabang ilmu agama, teringat saya akan karya besar Buya Hamka, Tafsir al Azhar yang beliau karang sendiri dengan keringat dan air matanya di dalam penjara semasa difitnah mahu menggulingkan Presiden Soekarno. Sungguh, ia bukan calang-calang karya Tafsir. Salah satu faktor yang membuat saya kagum dengan karya itu adalah disebabkan cara dan bahasa yang disampaikan terasa dekat dan mudah untuk kita fahami terutama khas untuk saya dan sesiapa saja yang sebangsa dan sebahasa. Seperti yang telah saya sebut sebelum ini, cara beliau menghuraikan isi tafsir itu sangat membumi dan mudah difahami kerana beliau sendiri banyak menggunakan huraian dan contoh-contoh yang dekat dan biasa orang-orang Nusantara seperti kita dengar. Teringat saya akan pidato Ustaz Hasrizal tentang Imam Birgivi lewat tahun lepas, Imam Birgivi katanya akan mengajarkan ilmu-ilmu aqidah pada bangsanya menggunakan bahasa mereka Turki, tidak seperti beberapa ilmu lain yang diajarkan dalam bahasa Arab. Pastinya beliau mempunyai sebab yang kukuh atas tindakan tersebut. Ilmu aqidah seperti mana yang kita ketahui merupakan ilmu paling penting dalam kehidupan sebagai seorang Muslim. Kefahaman manusia boleh saja berbeza mengikut perbezaan bahasa yang digunakan, sebab itu barangkali beliau menggunakan bahasa bangsanya sendiri melihatkan kepentingan ilmu aqidah itu sendiri yang memerlukan kefahaman yang sahih dan kukuh. Dek kerana itu, saya melihat karya Buya Hamka, Tafsir al Azhar ini mempunyai signifikan yang sangat besar buat kita umat Nusantara. Berbeza dengan karya-karya ayahandanya Haji Rasul yang boleh dikatakan hampir semua dalam bahasa Arab tanpa saya menafikan kepentingannya yang tersendiri.
Rasa cemburu saya pada mereka ini semakin menjadi-jadi. Meskipun jasadnya sudah tiada, namun karya-karya ilmunya masih kekal dan boleh kita lihat malah diulang cetak. Dihadapan Kutub Chanah, Haji Rasul dimakamkan bersebelahan makam saudaranya, Yusuf Amrullah. Di situ jugalah tempat Buya Hamka membesar sebelum beliau berhijrah ke Jakarta untuk menuntut ilmu dan membawa diri ke Mekah selepas orang tuanya berpisah. Dek kerana kesibukan ayahnya mengajar ilmu pada masyarakat, Hamka tidak banyak belajar langsung dari ayahnya sendiri, malah beliau banyak belajar dari guru-guru yang beliau jumpa di Jakarta dan tempat-tempat lain seperti Tjokroaminoto, Duryo Pranoto, H. Fakhrudin dan lain-lain.
Selepas itu, kami terus bergerak ke Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka. Muzium ini sebenarnya telah dibangunkan oleh salah satu NGO Malaysia iaitu ABIM. Di muzium ini terdapat semua koleksi karya Hamka serta beberapa barang milik peribadi beliau seperti bagasi yang beliau gunakan sewaktu merantau ke Mekah. Di sini kami telah diberi penerangan panjang oleh Pak Hanif Rasyid, penjaga muzium ini merangkap anak saudara Buya Hamka tentang sejarah hidup beliau sejak lahir hinggalah beliau menghadap Ilahi. Pak Hanif ini adalah anak kepada kakak kandung Hamka, Fathimah Karim Amrullah, isteri kepada Ahmad Rasyid Sutan Mansur, individu yang banyak mendidik Hamka dari sudut ilmu agama semasa beliau pergi merantau.
Meninggalkan Muzium Hamka, kami terus bergerak ke Pesantren Prof Dr Hamka. Sebuah pesantren yang terletak nun jauh tinggi di atas bukit hingga kami tidak boleh sampai ke sana dengan bas yang kami naiki kerana risiko jalannya yang sangat curam dan sempit dan kami menaiki kenderaan khas yang telah disediakan oleh pihak pesantren. Pesantren ini dibangunkan oleh salah seorang murid di Kuliyatul Muballighin atas semangat ingin melahirkan lebih ramai Hamka-Hamka baru yang membela Islam. Barangkali dapat kita ambil semangat mereka ini untuk kita laksanakan sesuatu di Malaysia. Ini adalah pesantren keempat, sepanjang kembara kami dan seperti biasa sambutannya cukup mesra dan mengharukan kami walaupun sederhana. Di sini, kami berpeluang mendengarkan penjelasan lebar tentang tambo-tambo dalam adat Minangkabau di mana tambo-tambo inilah banyak membentuk cara mereka berfikir dan bertindak dalam kehidupan mereka seharian. Mendengarkan tambo-tambo mereka yang pelbagai, saya melihat keterikatan antara kepercayaan pada sebuah adat dan kerukunan sekelompok manusia yang setia mengamalkannya. Antara tambo yang menarik hati saya ialah “adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah”. Bagi Hamka, adat Minang yang terlepas dari sendinya, Kitabullah adalah adat Jahiliyyah. Bila adat Minang akan tetap ditaati mestilah tegak pada sendinya iaitu Islam. Tambo-tambo ini benar-benar mendidik mereka.
Petang itu, atas cadangan pembimbing lawatan kami, Pak Irfan, kami berkesempatan menaiki bot di danau nan indah itu. Hanya puji-pujian pada Tuhan terucap di bibir dan hati kami melihatkan keindahan di sepanjang danau itu hinggalah kami sampai ke sebuah pulau kecil di tengah-tengah danau tersebut. Di pulau kecil itu, kami mendengar perkongsian dari beberapa penduduk tempatan tentang kehidupan penduduk di situ, dari sejarah pulau kecil itu hinggalah kepada tabiat penduduk di situ yang suka memelihara anjing untuk menjaga tanaman mereka. Tidak hairanlah di kawasan itu terdapat sangat banyak anjing yang berkeliaran dan kelihatan hampir setiap rumah mempunyai anjing, walhal di tempat kita hampir mustahil sebuah rumah milik Muslim memelihara anjing seperti mereka. Rupanya ada sebab disebalik itu, anjing-anjing itu mereka pelihara untuk menghalang padi-padi mereka dirosak oleh babi-babi hutan di situ. Namun, menurut mereka bagi orang yang mempunyai tahap pendidikan yang agak tinggi, mereka tidak akan memelihara anjing di rumah sesuai dengan ilmu yang mereka miliki.
Keesokan harinya, kami ke tanah tinggi Lawang Park. Indah sekali tempatnya, berserta suhu yang dingin walaupun berada di tengah-tengah terik pancaran matahari. Sepanjang perjalanan di Kelok 44 yang bersimpang-siur dan curam itu, saya membayangkan betapa gigihnya Buya Hamka berjalan kaki seorang diri dari rumahnya semata-mata buat menimba ilmu dengan jarak yang sebegitu jauh. Selepas itu, kami terus bergerak ke Istana Pagar Ruyung. Sebuah istana lama yang dibina semula selepas mengalami kebakaran pada tahun 2007 yang lalu. Istana yang sangat besar dah gah kelihatannya. Istana ini sungguh menggambarkan sikap kepedulian yang sangat tinggi oleh penduduk tempatan dalam menjaga adat warisan mereka. Masuk ke dalamnya sekali lagi membuat saya kagum akan seni binanya yang sangat halus dan menarik. Hari terakhir kembara, sebelum ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia, kami sempat singgah ke toko buku Gramedia. Seperti biasa orang yang gilakan buku seperti saya (apatah lagi karya-karya dari penulis Indonesia) sempat membeli beberapa buah buku termasuk buku-buku yang bergenre biografi, falsafah dan juga novel.
Sungguh, kembara kali ini benar-benar memberikan kesan kepada saya, kalau tidak ada kesan, saya sudah boleh dianggap orang paling rugi di dunia ini. Kerana kembara itu seringnya mengajar kita banyak pelajaran berharga. Dan kembara kali ini bukan kembara biasa. Ia kembara mencari hikmah dari kehidupan seorang sosok manusia yang kaya dengan jasa buat umat masyarakat, bukan saja buat negaranya, malah seluruh umat Islam di dunia ini. Terlalu banyak yang kita perlu belajar dari sosok besar Nusantara ini. Kita sudah ada satu contoh/model yang kita perlu belajar dan teladani. Realitinya, beliau memang sudah tiada, namun begitu banyak perkara yang telah beliau tinggalkan buat kita semua yang mahu berfikir dan mahu memanfaatkan segala perkara yang ditinggalkan termasuk pemikiran-pemikiran beliau yang berupa tulisan-tulisannya yang boleh kita capai sekarang.
Saya fikir terlalu banyak yang perlu kita teliti dari setiap hasil karya beliau. Rugi kalau kita hanya memandang tinggi pada tokoh-tokoh besar luar yang bukan sebangsa apatah lagi seagama dengan kita tanpa kita memerhati dan meneliti dahulu bagaimana seorang tokoh yang serumpun ini boleh berjaya seperti beliau. Bukan bermakna kita tidak boleh memandang tinggi akan tokoh-tokoh luar, tetapi seperti yang saya katakan tadi rugi jika kita terlepas pandang akan kehebatan seorang tokoh masyarakat yang punya banyak persamaan dengan kita dari segi susur keturunannya, malah dari sudut sosio budayanya, tetapi tetap juga punya potensi untuk berjaya menjadi tokoh yang begitu berjasa buat umat masyarakat. Sepulangnya dari kembara ini, moga kita lebih bersemangat mengambil semangat beliau dan mencetak lebih banyak Hamka-Hamka baru buat membina masyarakat yang lebih cemerlang dari segi rohani, intelek, mahupun emosinya. Semoga.
Menjejak tanah Maninjau
Bukan sengaja buat memantau
Tapi menadah hikmah menyilau
Dibalik merdu unggas berkicau
Menjejak desa nan permai
Sambil angin lembut melambai
Perasaan mana yang tidak terbuai
Selagi ada hati masih terpakai
Di sini Hamka membesar
Di tanah nan indah memekar
Seindah peribadinya memugar
Ah, ada sesuatu yang harus kau belajar!
Dengan alam manusia berbicara
Ajaibnya alam kerna Tuhan yang cipta
Baiknya alam kerna baiknya manusia
Baiknya manusia, alam dijaga.
Tulisan ini ada di dalam Lalu Aku Hidup Sebagai Apa? (Mengupas Pemikiran Buya Hamka)