Hak Untuk Melompat Parti

Lompat parti adalah fenomena yang menyakitkan mata, hati dan minda mana-mana penyokong/pengundi yang telah memilih seseorang individu sebagai wakil rakyat mereka, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen. Undang-undang negara pada masa ini membenarkan perbuatan melompat parti.

Mengapa begitu? Kerana dalam budaya politik Malaysia, biasanya yang melompat parti datangnya daripada pihak pembangkang menuju kepada parti pemerintah. Biasanya juga kerana habuan, sama ada wang atau kedudukan, walaupun sekali-sekala memang ada yang melompat kerana marah dengan kepimpinan parti sendiri.

Justeru, parti pemerintah tidak berminat untuk menggubal atau meminda undang-undang berkaitan untuk menghalang perbuatan melompat parti kerana ia menguntungkan pihak kerajaan. Walaupun sudah berdekad lamanya pembangkang pada zaman Barisan Nasional (BN) menuntut supaya undang-undang anti-lompat digubal, semuanya gagal. Malah ditolak atas alasan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kini datang satu cadangan daripada ahli politik yang saya kenal sebagai seorang pemimpin yang kadang-kadang nakal tetapi ada kalanya idea beliau bernas. Ia datang daripada Mohamed Nazri Aziz bekas Menteri era BN yang kini kekal sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas di Perak. Ia bukan cadangan baru tetapi ia menjadi menarik kerana datang daripada pihak BN.

Apa cadangan Nazri? Pinda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya supaya calon hanya mewakili parti, dan bukan sebagai individu. Buat masa ini, calon pilihan raya bertanding sekali gus sebagai individu dan wakil parti. Jadi, secara logik, sebagai wakil parti dia tidak berhak melompat parti tetapi sebagai individu dia ada hak untuk berbuat demikian. Kerana itu Nazri mencadangkan calon hanya bertanding sebagai wakil parti.

Sewaktu perbahasan di Parlimen pada 30 Julai lalu, seperti mana laporan Sinar Harian, beliau menjelaskan:

Saya buat contoh, misalnya di Padang Rengas, saya tidak bertanding atas individu. Saya bertanding atas nama parti saya. Bila Barisan Nasional menang di situ, parti akan tunjukkan ahli Parlimen mereka bagi Padang Rengas iaitu Nazri Aziz. Jadi senang begitu.

Kalau Nazri Aziz kemudian dilantik dalam Jemaah Menteri dan saya mempunyai perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri, saya kata saya tak boleh terima dan saya nak berhenti, saya berhenti seorang diri tak bawa kerusi Padang Rengas dengan saya. Jadi kerusi itu tetap milik BN. Bila saya keluar daripada BN, tak jadi menteri maka parti saya akan tunjuk orang lain pula jadi ahli Parlimen (di kawasan itu).”

Saya rasa idea ini menarik dan boleh dilaksanakan. Memanglah ia tidak lengkap, tidak mencukupi dan akan mencetuskan beberapa masalah kecil. Tetapi ia perlu dilaksanakan sebagai satu langkah permulaan. Lagipun ini perlu untuk memuaskan hati rakyat Malaysia yang sedang marah dengan fenomena lompat parti.

Untuk menambah lagi contoh yang Nazri bawakan, bayangkan saya bekerja makan gaji sebagai seorang eksekutif yang disediakan bilik, meja, kerusi, almari fail, laptop dan pendingin hawa. Sebagai individu saya berhak berhenti kerja untuk menyertai syarikat lain yang menawarkan gaji dan syarat pekerjaan yang lebih baik. Majikan sekarang tidak berhak menyekat saya daripada berhijrah ke tempat lain. Pada masa yang sama, saya pula tidak berhak membawa bersama saya meja, kerusi, almari fail, laptop dan pendingin hawa yang disediakan oleh majikan kerana semua ini milik syarikat berkenaan.

Seperti yang dijelaskan oleh Nazri, seseorang wakil rakyat berhak melompat parti tetapi dengan berbuat demikian dia hilang kelayakan sebagai MP atau Adun. Dia hanya boleh menyertai parti baru tanpa membawa “kerusinya” atau apa-apa jawatan. Manakala parti lama yang ditinggalkannya boleh melantik wakil baru mengisi kerusinya tanpa perlu diadakan pilihan raya kecil.

Dengan ini, parti lain akan keberatan untuk menerima “bekas” wakil rakyat yang tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka dari segi jumlah kerusi. Tawaran rasuah juga tidak berguna lagi. Pada masa yang sama, parti pilihan pengundi kekal di kerusi tersebut walaupun dengan wakil rakyat baru yang dilantik oleh partinya sendiri.

Adakah ini bererti tiada lagi PRK? Tidak, PRK boleh terus diadakan, mengikut kebiasaan, iaitu apabila wakil rakyat meninggal dunia atau hilang kelayakan akibat pelanggaran undang-undang yang ada. Kecualilah jika peruntukan ini pun mahu dipinda.

Bagaimana pula kedudukan wakil rakyat bebas (tidak berparti) yang mahu menyertai parti selepas dipilih oleh pengundi? Dalam hal ini, wakil bebas tidak sama dengan kedudukan eksekutif syarikat. Contohnya, jika saya wakil bebas, kedudukan saya sama seperti pemandu e-hailing atau penghantar makanan bermotosikal seperti Grab, Foodpanda dan lain-lain yang seumpamanya. Maksudnya walaupun saya mempunyai majikan, saya hanya terikat dengan kontrak perkhidmatan. Ini adalah kerana kenderaan dan barang-barang berkaitan adalah milik saya (kecuali satu dua benda seperti beg pengisi makanan/barang dan baju uniform). Jadi, jika saya berpindah majikan, saya bawa bersama kenderaan dan barangan saya.

Dalam hal ini, ia sama seperti wakil rakyat bebas yang berhak menyertai mana-mana parti kerana sebelum ini dia bertanding sebagai individu. Cuma selepas menyertai parti, tentu dia pula terikat dengan undang-undang yang mengawal Adun atau MP yang menjadi wakil parti.

Sememangnya akan ada pihak yang menolak cadangan mudah ini daripada Nazri, terutama mereka yang mengaku berjuang bertahun-tahun untuk reformasi pilihan raya. Saya tahu mereka mahu reformasi total. Memang benar, adalah lebih baik jika kita dapat mereformasikan keseluruhan sistem. Tetapi ini Malaysia – kita suka cakap berdegar-degar namun jarang ada hasilnya. Jadi, lebih baik kita mulakan dengan satu langkah kecil yang berpotensi untuk berjaya daripada berangan-angan sejak lebih separuh abad tanpa ada apa-apa. Kita selesaikan masalah satu persatu secara berperingkat. Hal-hal lain seperti cadangan proportional representation system, recall election dan sebagainya boleh dibincangkan kemudian secara berperingkat. Itu kan cara orang Malaysia.

Komen