Kadang-kadang, melindungi generasi muda bermakna berani menjadi tidak popular. Cadangan kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi akaun media sosial mungkin kedengaran keras di telinga sesetengah orang tetapi realitinya, ini bukan soal kawalan negara terhadap rakyat. Ini soal bagaimana kita, sebagai masyarakat, gagal melindungi anak-anak sendiri daripada dunia yang terlalu awal memperkenalkan mereka kepada sisi gelap manusia.
Dalam era algoritma dan “like”, anak-anak berumur 12 tahun sudah diasuh untuk mengukur nilai diri berdasarkan perhatian orang asing. Kajian UNICEF menunjukkan 4% kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian, daripada pemerasan hinggalah kepada imej lucah yang disebar tanpa izin. Sementara itu, hampir 75% pelajar dilapor pernah terdedah kepada pornografi, dan 30% mengaku pernah dibuli secara maya. Di sebalik angka ini, tersembunyi wajah anak-anak yang terpaksa belajar tentang dunia dengan cara yang paling kejam.
Had umur 16 tahun bukan tembok larangan. Ia pagar keselamatan sementara kita memperkukuh literasi digital, memperbaiki peranan ibu bapa dan sekolah, dan menuntut tanggungjawab daripada platform media sosial yang sering lepas tangan. Usia ini memberi masa untuk kematangan emosi terbentuk, untuk remaja belajar bahawa identiti tidak boleh dibina daripada paparan algoritma yang direka untuk mengaut klik, bukan kasih.
Kritik mengatakan langkah ini mencabar kebebasan bersuara. Tetapi kebebasan tanpa perlindungan hanyalah ruang terbuka untuk pemangsa. Undang-undang ini bukan menutup suara, tetapi memberi masa agar suara itu tumbuh dengan bijak, bukan terbakar oleh tular yang sementara.
Bahkan apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah selaras dengan piawaian antarabangsa. Azlina Kamal dari UNICEF Malaysia menyatakan langkah Malaysia adalah sejajar dengan piawaian global dan amalan terbaik antarabangsa. Pendedahan digital yang terlalu awal boleh mendatangkan risiko dan kerentanan kanak-kanak akibat dari eksploitasi, manipulasi dan kandungan yang berbahaya. UNICEF sendiri menyokong usaha penciptaan kandungan digital yang positif dan mendidik sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
Jika selama ini kita marah melihat video lucah pelajar tersebar, jika kita sedih melihat anak dibuli hingga kemurungan, maka cadangan had umur ini ialah peluang untuk kita menebus kealpaan itu. Perlindungan bukan penjara; ia benteng kecil sebelum mereka melangkah ke dunia maya yang luas dan tidak kenal belas.
Inilah masa kita menulis semula definisi “kemajuan digital”, bukan sekadar akses tanpa batas, tetapi tanggungjawab tanpa kompromi. Had umur 16 tahun bukan tentang menghalang anak dari dunia digital; ia tentang memastikan dunia digital tidak meragut dunia mereka.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.









