Guru Dan Cabaran Norma Baharu

Sambutan Hari Guru tahun ini pastinya tidak dapat dilupakan oleh seluruh warga pendidik kerana sedang berhadapan dengan cabaran yang cukup besar dalam meneruskan kelangsungan pendidikan dan masa depan generasi akan datang. Ironinya, antara sektor yang terjejas teruk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat ancaman wabak Covid-19 ialah sektor pendidikan. Misalnya, sekolah terpaksa ditutup dan dua peperiksaan awam iaitu, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan dan digantikan dengan sistem penilaian lain.

Hakikatnya PKP dan Covid-19 mula mencabar para guru untuk meneroka amalan norma baharu dalam sistem pendidikan negara. Hal ini kerana, bila sekolah dibuka kembali, percayalah persekitarannya akan berubah sama sekali. Misalnya, keputusan pembukaan sekolah hanya akan melibatkan kelas peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara. Antaranya, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Ini bermakna murid lain baik dari sekolah rendah mahupun menengah perlu terus berada di rumah.

Maka cabaran utama para guru ialah, bagaimana hendak mengurus dan mengendalikan murid yang akan ke sekolah kelak di samping terus membimbing anak-anak yang belum dibenarkan bersekolah dan akan berada di rumah masing-masing. Dalam konteks menguruskan murid yang akan kembali ke sekolah tidak lama lagi misalnya, para guru perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mematuhi dan melaksanakan dengan teliti segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan disediakan oleh kementerian. Hal ini penting kerana mengikut pakar, virus Covid-19 ini akan terus berada dengan kita untuk tempoh masa yang lebih lama lagi, sehingga ada yang jangkakan satu hingga dua tahun lagi. Maka kita tidak boleh leka dan cuai serta mengambil risiko membahayakan kesihatan dan keselamatan guru dan anak-anak yang akan berada di sekolah.

Oleh itu, kaedah pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) oleh guru pastinya sangat mencabar selepas ini kerana perlu mengutamakan aspek seperti penjarakan sosial yang sesuai di samping menitikberatkan amalan pencegahan yang sewajarnya seperti penggunaan pensanitasi tangan, penutup hidung dan mulut serta budaya kerap membasuh tangan dengan sabun. Jumlah pelajar dan kedudukan mereka dalam setiap kelas juga perlu diberi perhatian supaya amalan penjarakan sosial dapat memberi manfaat yang sewajarnya. Malah segala jenis aktiviti yang membabitkan perhimpunan atau perkumpulan pelajar secara beramai-ramai perlu dielak sama sekali. Ini termasuklah perlu ada kaedah yang sistematik ketika murid membeli makanan di kantin sekolah yang kebiasaannya akan melibatkan kumpulan yang besar dan ada elemen sentuhan serta kesesakan. Senario seperti ini pasti akan mencabar tugas para guru kelak.

Guru juga bakal berhadapan dengan cabaran untuk menguruskan anak-anak yang ada di rumah dan tidak menduduki peperiksaan utama pada tahun ini. Persoalan utama dalam kalangan ibu bapa ialah bagaimana dengan status pembelajaran anak-anak mereka yang berada di rumah ini? Maka timbul keperluan untuk para guru meneroka pilihan-pilihan yang ada bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran supaya pelajaran anak-anak ini tidak terabai begitu sahaja.

Dalam konteks ini, platform dalam talian berkonsepkan e-pembelajaran boleh banyak membantu guru dan murid. Justeru bagi menyantuni anak-anak di rumah ini, kita berharap para guru akan terus mengadaptasikan diri dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa menerusi pelbagai sistem dalam talian seperti Google Classroom, Google Docs, Google Slides dan Google Meet. Malah kumpulan WhatsApp kelas, youtube dan facebook juga boleh terus menjadi platform yang sangat signifikan dalam mewujudkan sesi interaksi dan pembelajaran antara guru dan murid. Namun dalam hal ini, antara cabaran utama kepada para guru ialah perlu mahir menggunakan segala platform digital dan teknologi yang ada. Bagi merealisasikan hasrat ini, para guru terutamanya golongan senior yang kurang mahir dengan teknologi maklumat perlu segera belajar dan membiasakan diri supaya boleh meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Di samping itu guru juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan situasi segelintir murid yang tiada akses internet serta memiliki peranti yang bersesuaian untuk belajar secara maya. Misalnya menurut Pengarah Pendidikan Sabah, sebanyak 52 peratus murid di Sabah terutamanya di luar bandar tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar, komputer atau peranti mudah alih lain untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Justeru dalam keghairahan kita meminta para guru meneroka e-pembelajaran dalam platform digital, jangan lupa kekangan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang mereka hadapi. Kita berharap pihak kementerian akan membantu para guru menyediakan apa jua kemudahan infrastruktur yang diperlukan agar sesi secara maya ini dapat diteruskan. Untuk mengatasi masalah capaian internet misalnya, perlu ada langkah drastik dari pihak kerajaan untuk menambahbaik kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan supaya pada akhirnya hasrat untuk mendigitalkan sektor pendidikan negara atau lebih dikenali sebagai e-pendidikan dapat direalisasikan.

Apapun diharap agar cabaran yang dicetuskan oleh PKP dan Covid-19 sama sekali tidak akan melunturkan semangat juang para guru untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran melalui amalan norma baharu dalam sektor pendidikan negara. Terimalah kenyataan amalan norma baharu dan e-pendidikan bukan lagi satu pilihan dalam sistem pendidikan masa hadapan. Terima kasih cikgu atas segala jasa dan sumbangan. Selamat Menyambut Hari Guru.

Komen