SAYA bukanlah orang yang paling sesuai untuk menulis prakata bagi buku tulisan Zul Fikri Zamir ini.
Pertamanya, kebanyakan buku-buku yang beliau hasilkan mempunyai kualiti ‘Avantgarde’ untuk seorang penulis generasinya yang sepatutnya di’baptis’kan oleh para penulis lain yang juga merupakan jagoan di dalam bidangnya. Saya bukanlah jaguh di bidang yang saya tekuni, iaitu bidang ‘Pemikiran Politik Islam’. Keduanya, kandungan buku ini mencerminkan satu falsafah ‘kiri’ di dalam hati anak muda yang beriman dengan ideologi ‘kesamarataan paksaan’ di dalam ruang ekonomi yang mungkin agak berbeza dengan fikrah ‘kebebasan ekonomi’ yang saya imani. Ketiganya, di dalam membicarakan isu mahasiswa, saya terpaksa angkat tangan untuk mengatakan saya tidak pernah hidup sebagai aktivis siswa, pimpinan siswa, mahupun para pejuang mahasiswa di zaman kampus. Zaman pra-siswazah saya di Mafraq, Jordan dipenuhi dengan retorik konservatisme versi lebai. Kami bersaing untuk membuktikan siapa yang lebih ‘Islamik’ dan siapa yang lebih tinggi ‘keimanannya’ menurut kayu ukur material, iaitu penampilan pakaian, aksesori kepala dan juga wacana-wacana retorik. Kami berebut untuk membuktikan siapa yang lebih ulama dan lebih layak untuk memegang kunci pintu masuk ke Syurga.
Lebih malang lagi, CV saya juga bersih dari jawatan penganjur demo, peserta hartal, pemidato siswa, pendebat kampus mahupun pengunjung mana-mana lokap atau balai polis. Semenjak graduasi dan menjadi tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semenjak tahun 2000, saya hanyalah seorang pensyarah poyo yang berbicara isu-isu Palestin dan isu-isu fiqh merentas mazhab. Noktah, tidak lebih dari itu. Hanya selepas pulang dari permusafiran ilmu dari bumi penjajah barulah saya mula aktif dengan aktiviti-aktiviti masyarakat sivil, itu pun sekadar menjadi peserta, penasihat dan tukang tepuk tangan. Saya bukannya aktivis, jauh sekali dari seorang ikon kepada aktivisme dan idealisme siswa. Pendekata, tiada apa yang para siswa dapat menjadikan diri saya sebagai contoh, apatah lagi untuk saya mencoretkan prakata di dalam buku yang begitu bernafaskan ‘perubahan’ dan ‘radikal’ ini.
Walau apapun, harapan Zamir perlu saya tunaikan. Saya yakin ada perkara yang saya boleh kongsikan di sini agar apa yang saya coretkan di dalam perenggan-perenggan ini boleh menjadi pembuka selera kepada para pembaca sekalian. Saya yakin, saya masih mempunyai satu kualiti yang melayakkan saya untuk meneruskan gita dan irama
‘overture’ bagi buku ini. Saya ada mimpi!
Saya yakin manusia merdeka tidak dapat lari dari mimpi. Manusia merdeka mempunyai kebebasan untuk terus mempunyai mimpi yang mereka jelmakan kepada impian dan harapan. Impian dan harapan itu jika diusahakan ke alam tajalli akan menjadi suatu kenyataan. Di sinilah saya mendapati mimpi saya seiring dengan mimpi Zamir.
Sepertimana Zamir gambarkan di dalam helaian-helaian permulaan buku beliau melalui suratnya kepada kaum muda, saya juga percaya bahawa anak-anak muda pasca AUKU 1974 dan juga pasca Tsunami 2008 perlu meneroka ruang aktivisme merentasi garisan politik kepartian. Seperti yang saya istiqamah menyeru kesedaran ‘Politik Warga’ di dalam buku saya mengenai wajah baru politik berinspirasikan Islam yang bertajuk ‘Menuju Sejahtera Meraih Bahagia’ (p/s: ini bukan buku motivasi kekeluargaan ala-Dato Fadhilah Kamsah), warga Malaysia, apatah lagi anak-anak muda perlu menerokai tanggungjawab politik mereka di dalam samudera non-partisan yang jauh lebih luas. Politik warga menuntut setiap warga yang berinspirasikan idea, idealisme dan ideologi agar bangkit memperjuangkan hak rakyat, memperjuangkan keadilan dan memperjuangkan kemanusiaan melalui penglibatan politik di dalam kerangka masyarakat sivil. Hakikatnya, terlalu luas dimensi politik warga ini yang boleh diterokai oleh para siswa dan anak-anak muda. Lompong-lompong di dalam sistem pendidikan di Malaysia yang sering meminggirkan golongan berpendapatan rendah juga menantikan penglibatan aktif oleh para siswa yang mempunyai mimpi.
Di dalam helaian-helaian buku ini juga, Zamir juga begitu kagum dengan ide-ide Ali Shariati, pemikir Iran dan juga tokoh yang telah dinobatkan sebagai arkitek Revolusi Iran 1979. Walaupun Revolusi Iran kemudiannya telah dirampas oleh golongan agamawan Rahabar-Rahabar yang telah membawa autoritarianisme versi-agama melalui gagasan Viloyet Faqeh (Kepimpinan kelompok teologis), namun inspirasi asal penentangan terhadap diktator Shah Iran merupakan hasil fikrah Ali Shariati. Bagi sesiapa yang percayakan kepada peranan pro-aktif intelek di dalam perubahan masyarakat, mereka pastinya tidak dapat lari dari fikrah ‘Rausyanfikr’ (Ilmuan pencerahan) yang telah dibawakan oleh Ali Shariati. Seruan Ali Shariati kepada kebangkitan golongan intelek agar menegakkan keadilan, menentang kezaliman serta membimbing masyarakat dengan pembudayaan kemanusiaan wajib dijadikan manual utama para pendidik di Universiti. Sepertimana Ralph Wardo Emerson menerusi ‘One Man’, Syed Husin Alattas menerusi ‘Peranan Intelek di dalam masyarakat membangun’, Pak Natsir melalui gesaan agar para ilmuan menjadi ‘Ahli yang membumikan diri ke dalam masyarakat’ dan juga ‘Free Public Intellectual’ oleh Edward Said, Shariati menyeru agar para ilmuan mengotorkan baju mereka untuk bersama akar umbi, rakyat bawahan dan golongan terpinggir untuk memperjuangkan nasib mereka. Seruan agar penghuni ‘Menara Gading’ turun ke bumi agar tidak
lagi menjadi Cendiki’Awan’, tetapi menjadi Cendiki’Awam’ merupakan satu norma kemanusiaan dan tema perjuangan para Anbiya.
Di dalam mendefinisikan ‘intelektual’, ia perlu difahamkan seluas pentakrifan Antonio Gramsci yang melihat bahawa setiap warga berpotensi menjadi intelek, dan bukan sekadar penghuni universiti semata-mata. Hal ini selari yang diungkapkan oleh Zamir di dalam harapannya bahawa para pelajar perlu dihargai walaupun mereka di kelas corot. Setiap manusia dikurniakan dengan kemampuan berbeza. Setiap individu mempunyai keistimewaan yang unik. Bukan semua yang tidak mampu mendapatkan markah yang tinggi tidak mampu menjadi warga berguna. Bukan semua yang bergelar Profesor, Doktor, Insinyur, tuan hakim, tetuan peguam dan segala gelaran professional pula mempunyai dhamir yang manusiawi. Hakikatnya, Zamir telah selongkarkan betapa sistem pendidikan kita tidak melahirkan insan-insan manusiawi yang hidup berprinsipkan ‘Karamah Insaniyah’ (Kemuliaan Insan). Malang sekali, seringkali para siswa yang sedar dan bangkit melakukan perubahan telah mendapatkan kepercayaan- kepercayaan tersebut dari sumber epistemologi yang tidak dititipkan lewat kelas-kelas di sekolah mahupun di universiti. Hanya mereka yang bertuah sahaja akan dapat dibimbing oleh para ilmuan Rausyanfikir di kampus-kampus.
Bila berbicara tentang siswa, saya sering teringatkan penentang tegar Nazisme di zamannya, Sopphie Schol. Beliau merupakan lambang perjuangan siswa di Jerman yang cintakan keadilan. Rakan saya dari Jerman menggelar beliau sebagai ‘martyr’ (syahid) kerana beliau dan abangnya dihukum mati oleh kerajaan Nazi pimpinan ‘Fuhrer’ kerana mengedarkan pamplet-pamplet propaganda anti-Nazi di kampus. Beliau tidaklah lebih hebat dari Baghat Singh, pejuang kemerdekaan India. Tidak kurang juga zaman kegemilangan para pelajar kampus pra-AUKU di tanah air
kita. Mungkin mereka agak radikal di dalam perjuangan, memandangkan magnitud tekanan pihak rejim yang juga tidak dapat dinafikan terlalu hebat, namun mereka semua telah meninggalkan legasi yang amat tidak ternilai, iaitu ruh ‘kebebasan manusia merdeka’ yang menjadi pelengkap kepada makna perjuangan para siswa di zaman mana pun mereka hidup.
Saudara Zamir saya kenali lewat projek TFTN beliau. Seawal ide itu mula merangkak, beliau begitu gigih berusaha membawa wahana idealismenya itu ke alam realiti. TFTN merupakan anak kelahiran idealisme beliau sebagai manifestasi kama insani yang mendiami di dalam dadanya. TFTN lahir sebagai penzahiran mimpi Zamir untuk menjadi ruang pembelaan terhadap golongan marhaen yang sering terpinggir oleh sistem pendidikan yang hanya berorientasikan nombor-nombor peratusan dan abjad-abjad A, B, C, D dan E untuk memuaskan hati sekelompok manusia pengajar, pentadbir dan politikus. Realiti edan itu pada tanggapan cikgu muda ini hanyalah satu proses pe’robot’an manusia yang generik dan gagal melahirkan manusia-manusia yang manusiawi. Maka, TFTN menjadi satu bantahan pasif beliau kepada sistem yang begitu berakar di dalam negara ini.
Sikap komited guru Pendidikan Jasmani ini wajar dicontohi oleh anak-anak muda di luar yang membara dengan imaginasi dan juga aspirasi. Impian hanya akan menjadi mimpi jika tidak dijelmakan ke alam nyata. Namun, setiap impian itu perlu dimulakan dengan mimpi-mimpi. Tiada salahnya bermimpi, malah mereka yang tidak mempunyai mimpi bukanlah seorang yang berguna untuk tamadun kemanusiaan. Mimpilah yang akan membuahkan harapan, dan harapan yang terpancar dari mimpi itu akan menjadi sesuatu yang bererti jika diterjemahkan kepada usaha dan perlaksanaan. Tahniah Zamir di atas buku ini, semoga ia menjadi satu penjolok mimpi agar mimpi-mimpi itu jatuh ke dalam hati-hati para mahasiswa dan mahasiswi yang percaya bahawa dunia ini akan lebih meriah dengan pancaran kasih sayang manusiawi.
Semoga seruan Pak Nastir, pemikir Islamis Indonesia abad ke-20 menjadi panduan kepada kita di dalam membaca buku ini:
“Seandainya para cendekiawan Muslim kurang menyedari tempatnya dalam masyarakat, maka ia akan menjadi orang. ‘Ahli’ yang memberi nasihat menurut pesanan orang yang meminta. Tetapi kalau ia mengerti kedudukannya, maka si cendekiawan Muslim itu akan menjadi pusat gagasan dan sumber yang penuh kreativiti, penuh idea dan gagasan, memberikan perspektif dan pengarahan kepada lingkungan di sekelilingnya.”
Maszlee Malik
Kota Damansara
Dr Maszlee Malik adalah mantan Menteri Pendidikan Malaysia. Tulisan ini adalah dipetik dari prakata buku Masharakat Melawan Mahasiswa karya ZF Zamir yang diterbitkan pada Disember 2014. ZF Zamir menjawat jawatan Setiausaha Akhbar kepada Dr Maszlee selama 20 bulan beliau bergelar Menteri Pendidikan. Tulisan ini diterbitkan kembali susulan perletakan jawatan atau pemecatan Dr Maszlee selaku Menteri Pendidikan.