Gagasan Melayu Raya Untuk Idiots

OGOS lalu Parti Islam Semalaysia (PAS) menerusi Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan menyatakan gandingan partinya dengan UMNO dan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) telah mengembalikan semula gagasan besar “Melayu raya”. Takiyuddin Hassan percaya muafakat tersebut dapat memperkasa struktur masyarakat Malaysia.

Dalam satu laporan portal berita Malaysia Kini, Takiyuddin menjelaskan; “PAS yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal dan isu-isu berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.”

Apakah yang dimaksudkan dengan gagasan Melayu Raya, dan dari manakah munculnya gagasan ini?

Sebelum tahun 1920, Melayu adalah sinonim dengan Kesultanan Melayu Melaka. Justeru, Melayu itu seringnya adalah Melaka, yakni sebagai paksi dan tanda rujukan.

Akan tetapi dalam tahun 1920an, perlahan-lahan Melayu yang pusatnya di Melaka ini mulai dicabar dan dirungkaikan. Sebelumnya, apabila sejarah Melayu disorot, kita akan mendapati Melayu itu akan selalu bermula dan berbenih di Melaka.

Keadaan ini berubah dengan kehadiran buku ‘Sejarah Alam Melayu’ oleh Abdul Hadi Haji Hassan. Tanpa mengabaikan Melaka sebagai bahagian dari dunia Melayu, Abdul Hadi, seorang pensyarah sejarah di Maktab Perguruan Sultan Idris sebuah institusi pendidikan elit di Tanjung Malim, Perak telah menawarkan ‘mimpi besar Melayu’.

Beliau memperkenalkan kerangka ‘dunia Melayu’ yang baharu yakni yang ikut memuatkan Jawa. Dalam hal ini samada sedar atau tidak, Abdul Hadi memasukkan semua wilayah Melayu yang ketika itu sedang dijajah oleh British, dan Belanda. Penjarakkan Melayu dari Melaka ini sangat besar ertinya kerana Melaka bukanlah sebuah kota Melayu dalam erti kata sebenar. Ini kerana Melaka adalah sebuah kota kosmopolitan yang memuatkan pelbagai aneka budaya bangsa oleh kesibukan perdagangan.

Melaka juga tidak menawarkan Islam sebagai cara hidup seperti yang terlihat pada tindak-tanduk dan perangai Hang Tuah dan tingkah laku raja-raja Melaka. Malah, kepimpinan Melaka itu sendiri dapat dihujahkan cair dari konsep bangsa Melayu yang kita fahami hari ini kerana raja-raja Melaka mempunyai darah Tamil yang pekat, dan berkahwin campur dengan Cina dan Jawa sehingga Melayu itu tidak semestinya dihujahkan dengan bahasa, budaya dan agamanya.

Perubahan yang diketengahkan oleh Abdul Hadi menerusi buku ‘Sejarah Alam Melayu’ ini sangat penting. Ia menyediakan satu kerangka yang mendatangkan kesempitan kepada istilah Melayu yakni kerangka Melayu Raya. Kerangka ini akan kelak pertama, menjadi tanda salah satu gerakan nasionalisme Melayu. Kedua, memasukkan Islam pada Melayu.

Buku Abdul Hadi di atas terdapat tiga jilid dan diterbitkan antara tahun 1925 sehingga 1929, dan digunakan sebagai buku teks sejarah di sekolah-sekolah Melayu sejak penerbitannya sehingga tahun 1950an; ‘…used in Malay schools until early 1950s’, seperti dikutip oleh Khoo Kay Kim (1979) dalam makalah penting beliau, ‘Local Historians and the Writing of Malaysian History in the Twentieth Century’.

Kerangka Melayu Raya ini dengan segera disambut oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dari jalur kiri. Salah seorang yang menggunakan kerangka ini sebagai bahan kempen adalah Dr Burhanuddin al Helmi, seorang pendukung Indonesia Raya, dan salah seorang pemimpin awal Parti Islam Semalaysia (Maswari Rosdi dan Suhara Salim, 1987).

Serta-merta tanpa sedar aspek Islam turut disuntik dalam istilah Melayu itu. Citra Melayu yang luwes, terbuka dengan aneka budaya, mesra pelbagai bahasa dan kepercayaan seperti terlihat ketika Kesultanan Melayu Melaka mulai menjadi rigid, sempit dan mengkhusus.

Burhanuddin dan pemimpin kiri lain menggunakan kerangka ‘Melayu Raya’ ini untuk mengeluarkan bangsa-bangsa lain iaitu Cina dan India. Perbincangan tentang pengisian kemerdekaan ketika itu – khusus mengenai apa itu bangsa Melayu – harus diingat tidak memuatkan orang Cina atau India memandangkan mereka masih dianggap orang asing. Oleh itu Melayu dalam tempoh tersebut adalah mengenai pertama, Malaya untuk Melayu yang pusatnya kepimpinan feudal dan borjuis. Manakala kedua, kotak Indonesia Raya yang memuatkan semua bangsa di rantau ini. Kotak kedua ini cenderung diterima oleh pejuang kemerdekaan golongan kiri. Ini kerana cita-cita pejuang kiri adalah agar Malaya dan Indonesia disatukan sebagai sebuah negara besar iaitu Nusantara.

Apabila Malayan Union digagalkan, Inggeris sibuk membina kerangka lain iaitu bekerja dengan UMNO. Yang dimaksudkan dengan bekerja bersama-sama UMNO adalah bekerja secara khusus dengan seorang bangsawan iaitu Onn bin Jaafar, dan mulai mencipta kerangka lain iaitu memusuhi Cina Komunis, dan gerakan kebangsaan Indonesia.

Untuk itu Inggeris menggunakan strategi Frank Swettenham yang asal iaitu raja-raja; seperti diketengahkan oleh Anthony Milner;

‘the British gave up their plans for the Union, recognized as their enemies the Chinese communists and the nationalists movement of Indonesia, and worked with the UMNO group to create a federation which would restore the rajas.’ (Anthony Milner, 2005).

Apabila Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menamakan Muafakat Nasional sebagai satu kerangka ‘Melayu Raya’ terdapat beberapa pertanyaan boleh diajukan.

Adakah Muafakat Nasional yang terdiri dari PAS, (UMNO ya dan tidak) dan Bersatu ini benar-benar merupakan satu solidaritas demi negara, atau ia merupakan satu lagi helah untuk mengukuhkan ketuanan Melayu? Iaitu satu helah di atas garis rasisme.

Hakikat gagasan Melayu Raya yang diperkenalkan sebelum Kemerdekaan itu sudah begitu jauh dari aspirasi Malaya dan Malaysia mesti diperakukan.

Ini kerana pertama, selepas Merdeka; bangsa Cina dan India telah diterima sebagai warganegara. Justeru, Melayu sahaja atau semuanya demi Melayu tidak lagi munasabah. Kedua, hakikat bahawa Indonesia sudah begitu berbeza dari Malaya atau Malaysia menjadikan gagasan Melayu Raya ini tidak lagi relevan. Indonesia telah menempuh sejarah yang sama sekali berlainan. Ketiga, kemasukan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia telah mencipta sejarah yang sama sekali lain dari Melayu Raya dambaan pemimpin gerakan kiri termasuk mantan Presiden PAS, Burhanuddin al Helmi.

Oleh itu, adalah penting untuk melihat gagasan Melayu Raya yang diwarwar oleh PAS ini sebagai satu kerangka yang bahaya. Ini kerana ia boleh meruntuhkan citra negara Malaysia yang sudah dirakam dan terdiri menurut Perlembagaan dan Rukun Negara. Adalah juga penting kita menekuni gagasan Melayu Raya yang ingin dijual oleh PAS dan Bersatu ini sebagai satu kerangka yang menafikan hak-hak bukan Melayu.

Suatu yang mungkin perlu dilakukan sebagai hujah balas kepada gagasan Melayu Raya ini ialah dengan mengembalikan atau mendefinisikan semula istilah Melayu. Ini terutama setelah Melayu yang paksinya Melaka itu telah berubah.

Oleh itu, mulai sekarang; jika kalian mendengar kerangka Melayu Raya, berhati-hatilah dan lekas sedari, ia mungkin satu gagasan yang bertujuan untuk menegakkan ketuanan Melayu secara semberono; atau lebih halus ia adalah satu medium untuk mempromosi rasisme.

Komen