Fisabilillah Itu Tidak Mengambil Hak Orang Miskin

BACAAN yang paling memberikan kesan kepada saya berhari-hari sehinggalah pada tulisan ini dicoretkan ketika Ali Shariati menggambarkan bagaimana Abu Dzar mempertegaskan pendiriannya terhadap hak orang-orang miskin di hadapan Muawiyah. Pada waktu itu Muawiyah sedang membangun istana hijau. Inilah merupakan istana kerajaan yang pertama, megah dan indah. Ketika Muawiyah sedang asyik memerhatikan para pekerjanya menyiapkan istana idaman itu, Abu Dzar pun muncul. Dia muncul di depan Muawiyah hampir setiap hari.

Setiap kali Abu Dzar muncul dia akan meneriakkan “Hai Muawiyah, apabila kau membangun istana ini dengan wangmu sendiri merupakan pembaziran, dan apabila dengan wang rakyat itu merupakan suatu pengkhianatan!” Di sini, Abu Dzar memaparkan bagaimana hak bagi masyarakat terutama hak orang-orang miskin haruslah dipelihara dan jangan sesekali merampas hak mereka terutama sekali daripada golongan yang sudah cukup segalanya. Bagi Abu Dzar, fisabilillah yang sebenar adalah berjuang mempertahankan dan merebut hak bagi orang miskin.

Ketika Makna Fisabillilah Di Seleweng

Ayah saya tidak bersekolah tinggi, malah pekerjaannya juga tidak menghasilkan gaji yang beribu tetapi ada satu pesanan yang saya ingat hingga ke hari ini. Katanya hendak faham agama pertama sekali harus ada etika dan nilai. Orang boleh belajar agama setinggi mungkin tetapi tidak semestinya dia mempunyai etika dan nilai yang diperlukan ketika berhadapan dengan hak masyarakat. Saya menjadi saksi ayah tidak pernah sekali mengambil hak orang lain walaupun kehidupan kami miskin melarat.

Pesanan ini mengingatkan saya kepada tulisan A Mustofa Bisri tentang kesalehan sosial. Kata beliau “Kesalehan sosial dengan demikian adalah suatu bentuk kesalehan yang tak cuma ditandai oleh rukuk dan sujud, puasa, haji melainkan juga ditandai oleh seberapa besar seseorang memiliki kepekaan sosial dan berbuat kebaikan untuk orang-orang di sekitarnya.” Jadi persoalan saya hari ini bagaimana orang yang berpelajaran tinggi, malah mendapat gelar agamawan tidak ada pemikiran seperti mana yang telah dipesan oleh ayah saya?

Bagaimana kelompok-kelompok sebegitu boleh menutup matanya tentang makna sebenar fisabilillah? Fisibillah tidak pernah membawa maksud memperjuangkan agama demi keuntungan diri sendiri. Tidak satu pun ayat yang menganjurkan orang Islam untuk mengambil hak orang lain (miskin) semata-mata untuk kepentingan diri sendiri yang sedia ada sumbernya. Bagi saya tindakan ini jelas merupakan sebuah pengkhianatan.

Begitulah yang terjadi ketika saya membaca tulisan seorang agamawan besar yang pernah menyandang jawatan mufti, malah menteri suatu ketika dahulu. Dengan terang dan jelas malah tiada sedikit pun rasa malu menyatakan bahawa anaknya telah menerima biasiswa dari pusat zakat dan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ya saya cukup mengerti, warisnya itu cukup bijak dengan mendapat keputusan cemerlang. Tahniah diucapkan. Saya juga cukup sedar biasiswa memang untuk pelajar-pelajar bijak. Namun, selain bijak biasiswa juga dimunculkan untuk memberi peluang kepada anak-anak yang miskin belajar bukan untuk mereka yang sudah mampu.

Malah dengan gigih beliau menerangkan dalam kutipan zakat, fisabilillah akan diberikan kepada mereka yang melanjutkan pelajaraan untuk menegakkan syiar Islam tanpa mengira latar belakang. Jadi hari ini saya mahu tanyakan kepada mantan menteri dan mufti itu, apakah sains itu tidak menegakkan syiar Islam? Bagaimana dengan sejarah, sosiologi, matematika, falsafah dan ilmu-ilmu lain? Katanya lagi memang dari awal sudah diperuntukkan sejumlah 10 peratus dari jumlah keseluruhan kutipan bagi mereka yang fisabillilah. Nah, satu lagi soalan saya, bukankah 10 peratus itu jika ditambah kepada bilangan 10 peratus buat fakir miskin akan menjadi 20 peratus? Dengan itu akan lebih ramai orang miskin yang mendapat pelajaran?

Kata Dr Mahmud Ahmad Sa’id Al Athrasy dalam buku beliau Kewajiban Orang Kaya terhadap Orang Miskin “Zakat bertujuan untuk menyelamatkan masyarakat, kerana zakat dapat mendidik orang-orang kaya agar memiliki rasa tanggungjawab, menentramkan dan menimbulkan rasa senang  bagi fakir miskin, memperkuat hubungan sesama fakir miskin, memperkuat hubungan sesama manusia dan menutup kemungkinan terjadinya kerosakan yang bersumber keinginan menumpuk harta” Jadi seorang mantan mufti seharusnya mempunyai etika yang teguh untuk tidak menggunakan hak orang lain, atau sekiranya hak itu telah dirangka sepatutnya mantan mufti itu menjadi suara moral supaya hal itu diperbaiki bukannya dibiarkan kemudian dimanfaatkan seenaknya. Islam tidak mengajar begitu.

Pelajar Miskin Masih Ada

Dalam kenyataan akhbar yang ditulis Astroawani bertarikh 21 April 2023 menjelaskan “Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan statistik yang agak memeranjatkan apabila kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pendidikan ke peringkat seterusnya. Kajian pada 2019 itu membabitkan 560,000 calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut, namun selepas keputusan diumumkan hanya sekitar 170,000 orang memilih untuk meneruskan pendidikan, sementara bakinya mahu memasuki pasaran buruh. Bernama, dalam laporan bahagian pertama sebelum ini, mengupas isu itu termasuk merungkai penyebab pelajar cemerlang daripada keluarga miskin cenderung memilih untuk bekerja daripada menyambung pendidikan serta impaknya jika situasi itu tidak ditangani segera.”

Daripada kajian tersebut cukup jelas bahawa kemiskinan masih banyak membelenggu pelajar untuk melanjutkan pelajaran, selain polisi ekonomi negara, bantuan dari syarikat-syarikat pemodal, pusat zakat juga harus mengembling keseluruhan tenaganya untuk mencari dan membiayai pelajar-pelajar ini untuk melanjutkan pelajaran. Langkah proaktif boleh dilakukan dengan membuat lawatan ke sekolah-sekolah, jalinkan kerjasama bersama komuniti kemudian agihkan bantuan secara bersama tanpa mengikut negeri. Selaraskan jenis bantuan dan syarat-syarat bantuan yang sama merentasi geografi  biar seluruh pelajar miskin tahu bahawa mereka tidak keseorangan, dan Islam amat menitikberatkan hal ehwal ilmu dan pendidikan. Bukannya dengan bangga membiayai orang yang sudah sedia ada bersumber.

Akhir KATA

Bagi saya makna fisabilillah itu adalah tidak mengambil hak orang miskin. Menahan diri malah menyuarakan segala hal yang tidak beres terutama terkait hak orang miskin. Menegur pengikut-pengikut yang taksub dan menyeleweng dari maksud kesalehan sosial Islam. Sekiranya itu dilakukan barulah Islam dipandang tinggi dan dihormati.

Komen