Liga bola sepak Malaysia untuk musim 2021 telah pun bermula walaupun kita masih berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19. Makanya perlawanan bola sepak terpaksa diadakan di dalam stadium yang kosong, sesuatu yang bukanlah pelik untuk bola sepak kita kerana memang selama ini pun kebanyakan perlawanan tidaklah menyaksikan kehadiran penonton yang besar seperti liga bola sepak lain.
Namun selain dari bermain di stadium yang kosong, musim 2021 ini juga menampilkan kelainan apabila semua pasukan bola sepak yang bertanding telah ‘dijenamakan semula’ selaras dengan pelan penswastaan dan pengkomersilan liga bola sepak Malaysia. Pendek kata, dengan ‘penjenamaan semula’ ini liga tempatan kita setidak-tidaknya akan mencapai taraf sama seperti Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat, A-League di Australia atau J-League di Jepun; jika tidak sampai ke tahap liga-liga profesional di Eropah sana.
Justeru tidaklah menghairankan kebanyakan pasukan yang bertanding dalam liga bola sepak Malaysia musim ini, baik dalam Liga Super atau Premier, tampil dengan nama dan logo baharu. Sebagai contoh Perak FA yang berubah kepada Perak FC dengan logo baharu berunsur kepada seladang dan bukannya kepala harimau belang, pada tahun dimana pasukan ini akan meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya. Atau Kedah FA yang dijenamakan menjadi Kedah Darul Aman, dan Pahang FA yang kini digelar Sri Pahang.
Rata-rata, untuk musim 2021 ini pasukan dalam Liga Super menjenamakan diri mereka dengan meletakkan akronim FC pada nama serta tampil dengan logo baharu. Perkara yang sama juga berlaku dalam liga tangga kedua, Liga Premier yang menyaksikan kebanyakan pasukan tampil dengan logo baharu dan sesetengahnya dijenamakan semula dengan meletakkan FC atau United pada nama. Maka muncullah pasukan seperti Kelantan FC dan Kelantan United, atau Sarawak United dan Kuching City. Ada juga yang mengekalkan nama asal (melainkan tambahan FC di hujung nama) tetapi tampil dengan logo baharu seperti Negeri Sembilan.
Adakah penjenamaan semula dengan nama dan logo baharu ini sudah memadai untuk meningkatkan mutu bola sepak kita?
Penswastaan pasukan negeri menjadi kelab bola sepak adalah salah satu matlamat utama FAM dalam memastikan liga bola sepak tempatan berevolusi mengikut arus pemodenan sukan bola sepak. Ia juga penting untuk memenuhi syarat yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) agar setiap pasukan yang bertanding dalam liga negara anggota diurus secara profesional dan bebas dari pentadbiran persatuan bola sepak (FA).
Sejarah penswastaan pasukan negeri menjadi kelab bola sepak bermula pada tahun 2016 apabila Pahang FA melepaskan pegangan ke atas pasukan negeri yang dijenamakan menjadi Pahang FC. Seterusnya pada 2016, Johor FA pula melepaskan pegangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka FA pula melepaskan pegangan ke atas Melaka United. Proses penswastaan ini berterusan hinggalah ke musim 2021 apabila tiada lagi pasukan negeri di bawah pentadbiran FA negeri bersaing dalam liga tempatan sebaliknya ia telah diganti dengan kelab-kelab bola sepak yang diurus sebagai entiti berasingan.
Langkah yang dibuat oleh pihak FAM dan juga Malaysian Football League (MFL, badan yang diberi tugas menguruskan liga bola sepak di Malaysia) adalah selaras dengan kehendak AFC dan trend bola sepak global. Apatah lagi selepas negara tetangga seperti Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia sudah mula bergerak ke arah profesionalisme dan penswastaan liga. Malaysia tidak boleh terus ketinggalan dengan masih bermain bola sepak cara lama iaitu mengadakan pertandingan liga antara negeri.
Akan tetapi dalam usaha penswastaan dan pemodenan yang dibuat dengan penjenamaan semula dan logo baharu, saya tidak dapat lari dari menyedari bahawa masih ada kekurangan ketara dalam liga bola sepak kita.
Lebih 10 tahun yang lalu, saya pernah menulis tentang betapa pentingnya untuk liga bola sepak kita dirombak supaya ia menjadi moden setara dengan liga negara lain sekaligus dapat meningkatkan mutu bola sepak negara.
Satu contoh yang kerap menjadi rujukan saya ialah Jepun dan J-League mereka. Saya merujuk kepada bola sepak Jepun kerana satu masa dahulu apabila Jepun mahu memulakan liga bola sepak profesional mereka datang berguru kepada kita yang sudah pun giat mengadakan liga tempatan secara aktif. Kini, kita semua tahu J-League adalah antara liga terbaik di Asia dan Jepun merupakan sebuah kuasa bola sepak Asia yang digeruni.
Bagaimana Jepun memulakan liga profesional mereka adalah dengan mensyaratkan semua pasukan amatur untuk beralih kepada profesionalisme dengan melakukan rombakan besar. Sebelum bermulanya J-League, kebanyakan pasukan bola sepak di Jepun adalah milik syarikat seperti Sumitomo Metal Industries Factory FC (kini Kashima Antlers), Nissan Motor FC (kini Yokohama F. Marinos), Hitachi, Ltd. Soccer Club (kini Kashiwa Reysol) dan Mitsubishi Urawa FC (kini Urawa Red Diamonds). Malahan, ketika musim pertama J-League kesemua kelab yang bersaing asalnya merupakan kelab bola sepak syarikat atau kilang kecuali hanya sebuah kelad iaitu Shimizu S-Pulse (yang ditubuhkan khas oleh beberapa pelabur untuk menyertai J-League).
Hala tuju persatuan bola sepak Jepun adalah jelas. Untuk menubuhkan kelab bola sepak profesional, kesemua pasukan hendaklah dilucutkan nama syarikat atau kilang mereka dan sebaliknya menggunakan nama bandar di mana mereka berada, dengan nama tambahan lain mengikut sejarah, budaya atau kesesuaian bandar tersebut. Jepun tidak membahagikan pasukan bola sepak mengikut wilayah (ada 47 wilayah di Jepun semuanya) kerana jelas ia akan menghadkan jumlah kelab bola sepak yang boleh ditubuhkan. Pihak FA Jepun mensasarkan untuk mempunyai 100 kelab bola sepak profesional secara keseluruhan bagi memastikan lebih ramai pemain bola dapat bergiat aktif.
Pada masa yang sama, selain syarat menggugurkan nama syarikat atau kilang, salah satu kehendak utama yang ditetapkan untuk setiap kelab bola sepak ialah agar mendekatkan diri dengan masyarakat setempat di bandar mereka berada. Ini termasuklah bergiat dalam hal selain bola sepak, seperti aktiviti kesihatan atau komuniti. Ini bagi memastikan setiap kelab bola sepak mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat bagi menjamin sokongan penduduk tempatan untuk kelab bola sepak, selain menjamin tajaan dari perniagaan setempat dan pembangunan bola sepak peringkat akar umbi. Dengan cara ini dipercayai kelab akan mendapat sokongan dari kerajaan tempatan, syarikat tempatan dan penduduk tempatan sekaligus menjamin kesinambungan atau kelestarian kelab.
Adakah kita melihat situasi yang sama berlaku dengan penjenamaan pasukan bola sepak tempatan untuk musim 2021 ini?
Yang pertama sekali, salah satu kesilapan terbesar FAM dan MFL adalah dengan memberikan keizinan untuk pasukan negeri berubah menjadi kelab negeri. Lantaran itu kita kini melihat adanya Selangor FC yang berasal dari Selangor FA, sedangkan jika kita mengikut model Jepun, berkemungkinan besar kita berpeluang melihat tumbuhnya kelab seperti Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Banting, Rawang, Bangi, Kuala Selangor atau banyak lagi dari bandar-bandar sekita negeri Selangor.
Mungkin ada yang bertanya, apa salahnya mengekalkan nama kenegerian apabila menukar pasukan FA negeri kepada FC negeri?
Persoalan ini juga telah saya jawab dengan jelas lebih 10 tahun lalu. Jika kita serius mahu mencambahkan benih bola sepak semaksima mungkin, kita perlu mempunyai banyak kelab bola sepak di segenap peringkat. Sama seperti apa yang diusahakan di Jepun, atau pun di Amerika Syarikat, Australia bahkan India. Apabila kita menubuhkan kelab bola sepak mengikut negeri, maka ia membantutkan peluang kelab bola sepak lain ditubuhkan dalam negeri yang sama kerana wujudnya dominasi negeri dan pertindihan asas sokongan (support base).
Sebagai contoh, JDT yang merupakan kelab bola sepak tersohor di Johor sebenarnya membantutkan usaha menubuhkan kelab bola sepak lain dalam negeri itu yang boleh sahaja diasaskan di bandar-bandar seperti Johor Bahru, Muar, Batu Pahat atau Segamat.
Hal mengizinkan pasukan FA negeri berubah menjadi FC negeri ini menjerumuskan kepada kesilapan kedua iaitu mengabaikan potensi FC sebagai kelab sukan komuniti.
Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, FA Jepun mengambil langkah drastik dengan menggarahkan setiap syarikat atau kilang yang memiliki pasukan bola sepak untuk menggugurkan nama syarikat atau kilang dan membuka perkongsian dalam pegangan pasukan kepada komuniti setempat sebagai syarat profesionalisme dalam J-League. Tujuan mereka adalah jelas, mewujudkan rasa kekitaan atau sense of belonging kepada masyarakat di mana kelab tersebut berada.
Formula ini diguna pakai bukan sahaja di Jepun, tetapi juga di negara lain. Lihat sahaja bagaimana Borussia Dortmund menjadi kelab bola sepak yang penting buat penduduk bandar Dortmund, atau peranan yang dimainkan oleh Atletico Madrid sebagai kelab sukan buat penghuni bandar raya Madrid. Sebuah kelab bola sepak akan mendapat sokongan padu dari masyarakat setempat jika ia sendiri berusaha mewujudkan rasa kekitaan tadi dan menyantuni masyarakat setempat.
Aspek ini dilihat tidak wujud dalam keghairahan penjenamaan semula pasukan di dalam Liga Super atau Premier. Kita masih belum nampak Perak FC, Kedah Darul Aman atau Sri Pahang menyantuni masyarakat setempat dan melibatkan mereka secara langsung dalam tadbir urus pasukan. Tanpa penglibatan langsung oleh peminat bola sepak, sebuah kelab bola sepak (FC) tidak jauh berbeza dengan pasukan negeri (FA) sebelum ini yang dikuasai oleh persatuan sukan dan orang berkepentingan seperti pemimpin politik atau kerabat istana.
Maka, apa yang terlihat dalam penjenamaan semula dan pertukaran logo yang ghairah berlaku dalam musim bola sepak Malaysia tahun 2021 ini adalah tidak lebih kepada kosmetik atau superficial. Ia gah dari segi nama dan rupa, tetapi semangat, rasa kekitaan dan profesionalisme yang wajar dalam sebuah kelab bola sepak sebenarnya kosong. Hakikat bahawa kebanyakan pasukan FA negeri berubah menjadi FC negeri akan membantutkan sebarang usaha merakyatkan bola sepak dan meluaskan kolam bakat yang perlu bagi memajukan bola sepak Malaysia secara lestari.
Dan ini belum lagi saya masuk kepada bab mempersoalkan kenapa hampir semua pasukan mahu meletakkan FC atau United pada nama baharu mereka seolah-olah ini syarat paling mustahak untuk menjadi kelab profesional?
Apa salahnya menggunakan istilah ‘KB’ (kelab bola) atau ‘Bersatu’? Tidak sedapkah nama seperti KB Kota Bharu atau Alor Setar Bersatu?

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.