Fatimah

JIKA tiada Fatimah, Ali ternyata tempang. Kerana Fatimah, duduk dan berdiri Ali serasa sakti. Kerana Fatimah, wahyu Muhammad penuh bakti.

Mohammad Ali Amir-Moezzi dalam artikel panjangnya ‘Reflections on the Expression din ‘Ali: The Origins of the Shi’i Faith’ (2014) menyatakan begini tentang hubungan Fatimah, Ali dan Rasulullah saw:

‘Ali is actually related to Muhammad by the two principal aspects of Arab familial ties (qaraba), namely nasab and musahara. Terms difficult to render in translation, the first conveys the sense of genealogy, provenance or paternal lineage, ties by blood or by alliance, noble birth and affinity. The second, as rich in meaning as the first, evokes in its original sense the idea of fusing and thus affinity, relationship by blood and musahara to a link or alliance by marriage. Ali was Muhammad’s cousin, the son of his paternal uncle, one of the noblest relationships characterising nasab according to the tribal conception. Once he became the prophet’s son-in-law, he was also related by musahara, thus fulfilling with regard to the latter, the condition of wali, that is, relative by blood and/or by alliance, the significance this term was to acquire later in Shi’ism is well known (35-36).’

Jelaslah dari perengganan di atas, Fatimah itu membawa seri kepada Ali. Ali sememangnya kerabat Nabi Muhammad, namun statusnya menjadi lebih sukar dinafikan kerana Ali juga menantu. Maka Ali itu adalah kuat dengan Nabi Muhammad pada dua jalur.

Tiada pertikaian lagi kerana Fatimah lah, parti Ali jauh lebih kukuh dan kuat di mata awam. Saya tidak menafikan status Abu Bakar, makam Umar, atau darjat Usman; akan tetapi Ali jauh lebih istimewa kerana Fatimah adalah isteri Ali. Kerana Fatimah Ali tidak dapat ditolak mudah ke tepi.

Farhad Daftary dalam ‘The Origins and Early History of Shi’i Islam’ (2013) menuliskan hujah di atas secara akademiknya begini:

‘Abu Bakar (r. 11-13/632-634) and his next two successors, ‘Umar (r. 13-23/634-644) and ‘Uthman (r. 23-35/644-656), belonging to the influential Meccan tribe of Quraysh, were among the earliest converts to Islam and Companions of the Prophet (sahaba). ‘Uthman was generally also considered to belong to the Prophet’s close kin. He was a grandson of Muhammad’s aunt, Umm Hakim bt. Abd al-Muttalib, and also married to two of the Prophet’s daughters, Ruqayya and Umm Kulthum. However, only the fourth caliph, ‘Ali b. Abi Talib (r. 35-40/656-661), who occupies a unique position in the annals of Shi’i Islam, belonged to the Prophet’s own clan of Banu Hashim within the Quraysh. ‘Ali was also very closely related to the Prophet, being his cousin and son-in-law bound in matrimony to the Prophet’s daughter Fatima (26).’

Dalam kaca mata orang Melayu, darjat Fatimah sebagai sanggar Saidina Ali ini tercermin sepenuhnya dalam rangkap pantun ini:

Ada berempat sahabat Nabi,
Ada seorang jadi khalifah,
Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.

Rangkap pantun di atas termuat dalam buku ‘Kurik Kundi Merah Saga’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi kedua, 2005. Buku ini menghimpunkan sejumlah pantun lama yang mana penyumbangnya (senarai orang lama kita yang menjadi sumber untuk himpunan pantun ini) adalah generasi terdahulu.  Buku pantun ini juga diprakatai oleh Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh.

Selain itu, terdapat kidung untuk anak-anak atas nama Fatimah. Pada 1908, Richard James Wilkinson seorang pentadbir, sarjana bahasa Melayu dan sejarawan, menulis sebuah nota dengan judul “The Incident of Malay Life”. Dalam kalangan pengkaji pengajian Melayu, Wilkinson, dikenali sebagai residen pemangku Negeri Sembilan pada 1910 dan setiausaha koloni antara 1911 dan 1916. Beliau diketahui adalah pencinta budaya dan adat Melayu. Salah satu tradisi lama yang beliau sempat rekodkan adalah “Dondang Siti Fatimah” yang menurut Wilkinson digunakan untuk menidurkan anak (sejenis kidung). Tradisi ini dikatakan amat berpengaruh di negeri Perak.

“Dondang Siti Fatimah” yang didokumentasikan pada 1908 ini terdapat 10 rangkap:

Barang siapa berpadi emping,
Padi emping huma ditengah;
Barang siapa berhati mukmin,
Hati yang mukmin istana Allah.

Padi emping huma di tengah,
Geliga di punca kain;
Hati yang mukmin istana Allah,
Masuk syurga jannatu’n-naim.

Geliga di punca kain,
Orang bertanak di bawah sentul;
Masuk syurga jannatu’n-naim,
Inilah anak baginda Rasul.

Orang bertanak di bawah sentul,
Cherana berisi timah;
Inilah anak baginda Rasul,
Yang bernama Siti Fatimah.

Cherana berisi timah,
Timah ditempa si Undang;
Yang bernama Siti Fatimah,
Dia yang pandai mengarang.

Timah ditempa si Undang
Pucuk kundur asamnya kandis;
Dia yang pandai mengarang ,
Budak yang tidur, jangan menangis.

Pucuk kundur asamnya kandis
Pina-pina jalan ke huma;
Budak yang tidur jangan menangis,
Fatimah tengah mengarang bunga.

Pina-pina jalan ke huma
Orang bergolok di-dalam padi;
Fatimah tengah mengarang bunga,
Mengisi tengkolok baginda Ali.

Orang bergolok di dalam padi
Pisau penyadap di hujung galah;
Isi tengkolok baginda Ali,
Hendak mengadap Rasul Allah.

Pisau penyadap di hujung galah,
Minta sadapkan umbi akar;
Hendak mengadap rasul Allah,
Hendak meminta akan Dzu’l-fikar.

Oleh kerana “Dondang Siti Fatimah” ini adalah kidung anak-anak, maka kita dapat menghujahkan ia bertujuan untuk memperkenalkan ahli keluarga Rasulullah iaitu Saidatina Fatimah dan suaminya, Saidina Ali kepada anak-anak. Itulah sebabnya kita mendapati kata yang terdapat dalam dondang ini antara lain mengaitkan Siti Fatimah dan suaminya dengan “berhati mukmin”, “geliga”, “masuk syurga jannatu’n-naim”, “pandai mengarang (bunga)”, “menghadap Rasulullah” dan pokoknya, anak itu “jangan menangis”.

Sebetulnya, kidung ini menghantar satu mesej jelas mengenai kedudukan Fatimah. Ini kerana agak mustahil untuk satu dodoi anak diakhiri dengan kata “Dzu’l-fikar” iaitu pedang milik Saidina Ali. Mengapa lambang peperangan iaitu pedang disebut-sebut dalam dodoi atau kidung untuk bayi? Tidakkah itu keterlaluan?

Di sinilah menurut saya, datangnya tafsiran untuk “Dondang Siti Fatimah” ini yang harus dibaca dengan pantun serangkap di atas.

Umat Melayu zaman lampau meletakkan kedudukan Siti Fatimah di tempat yang istimewa. Jika kita menguliti gagasan Nur Muhammad, kita mendapati intisarinya adalah seluruh ciptaan Allah langit dan bumi itu dijadikan kerana Muhammad saw. Kalau tidak kerana Saidina Ali tiada diciptakan Muhamad. Kalau tiada kerana Fatimah pula tidak Allah ciptakan Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidina Ali tersebut.

Justeru dondang itu mengaitkan Fatimah dengan Nabi, dan juga Saidina Ali. Maka disebutkan;

Geliga di punca kain,
Orang bertanak di bawah sentul;
Masuk syurga jannatu’n-naim,
Inilah anak baginda Rasul.

Sesungguhnya sumber alam ini adalah Ummu Abiha (ibu kepada ayahnya iaitu Zahra). Fatimah adalah Ibu atau Akar (sumber) kewujudan Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam itu sendiri. Itulah sebab dalam riwayat hadis dan seumpamanya kita menemukan baginda Rasul mencium tangan Fatimah, atau memberi salam kepada Fatimah setiap kali sebelum bermusafir. Sesungguhnya sebab musabab itu bukan kerana Fatimah itu puteri baginda. Sebetulnya adalah kerana Fatimah itu sesungguhnya adalah sumber. Yakni punca kekuatan Nabi itu pada Fatimah. ‘Masuk syurga jannatu’n-naim, Inilah anak baginda Rasul’ yang meletakkan Fatimah sebagai Ibu di syurga. Kita umum mengetahui kita tidak dapat wujud tanpa seorang wanita, atau ibu kita. Maka secara lojisnya, Fatimah adalah utama di syurgawi.

Ikatan Fatimah dengan Nabi Muhammad itu ditali-temalikan pula dengan Saidina Ali dalam “Dondang Siti Fatimah”:

Orang bergolok di dalam padi
Pisau penyadap di hujung galah;
Isi tengkolok baginda Ali,
Hendak mengadap Rasul Allah.

Pisau penyadap di hujung galah,
Minta sadapkan umbi akar;
Hendak mengadap rasul Allah,
Hendak meminta akan Dzu’l-fikar.

Ungkapan ‘tengkolok’ Saidina Ali, dan Fatimah selaku ‘umbi akar’ demi dapat ‘mengadap Rasul Allah’ (disebutkan dua kali) hadir secara sedar dan sengaja dalam minda separuh sedar orang Melayu. Sesungguhnya kedudukan dan ketinggian Fatimah itu bukan kerana ia sekadar puteri Rasulullah. Tetapi kerana kecemerlangan baginda sendiri. Fatimah telah teruji sebelum diciptakan lagi semua makhluk. Di alam sebelum ini, Fatimah sudah diuji. Seperti itulah para Nabi telah melalui ujian yang menyebabkan mereka mendapat kedudukan mulia di dunia ini. Fatimah adalah ‘Ummu Abiha” dan kerana bapanya adalah penghulu dan penutup segala Nabi, maka wujud Fatimah bukan calang.

Fatimah seperti yang dijelaskan oleh para sarjana yang saya petik dalam pembukaan rencana ini bertugas untuk menghubungkan Saidina Ali dan ayahnya Rasulullah. Sesungguhnya “Dondang Siti Fatimah” ini menyingkap satu rahsia penciptaan umat iaitu tugas Fatimah di muka bumi ini adalah ‘Hijab Nubuwah’ atau ‘tirai kenabian’. Itulah tugas Fatimah. Puteri Nabi, Fatimah ini adalah orang tengah antara Rasulullah saw dan Saidina Ali. Sebagai ‘tirai kenabian’, tentu baginda Zahra mengetahui dan memahami hakikat nubuwah dan wilayah.

Terdapat sebab yang sangat jitu dan terselindung apabila “Dondang Siti Fatimah” mengakhiri kidung itu dengan pedang Saidina Ali:

Pisau penyadap di hujung galah,
Minta sadapkan umbi akar;
Hendak mengadap rasul Allah,
Hendak meminta akan Dzu’l-fikar.

Hayat Fatimah berakhir dengan tragedi. Ketika rumah Fatimah Zahra diserang dengan mengharapkan suaminya menyerah diri agar memberikan undi, apa yang berlaku ialah  Fatimah yang keluar berdepan. Bukan Saidina Ali. Fatimah yang membuka pintu rumahnya, atau dalam sesetengah riwayat berada di sebalik pintu. Misi untuk mencekam Ali gagal kerana Fatimah menggagalkannya. Pun untuk menggagalkan misi politik itu pintu rumah Fatimah dibakar, dan Fatimah terkorban. Di sinilah duduk letaknya pesan awal “Dondang Siti Fatimah” iaitu ‘Barang siapa berhati mukmin, Hati yang mukmin istana Allah’.

Ini juga penjelasan paling tepat dan mendalam untuk rangkap pantun:

Ada berempat sahabat Nabi,
Ada seorang jadi khalifah,
Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.

Al-fatihah dihadiahkan untuk Saidatina Fatimah Zahra, moga-moga dengan mengenal baginda kita akan mendapat kebaikan daripada ayahnya, iaitu sanjungan kita, Rasulullah saw.

Saat kita di Madinah, kita pun sedar Fatimah dipusarakan secara rahsia dan makamnya tiada kita ketahui. Kesendirian Fatimah itulah yang cuba dikenang dalam “Dondang Siti Fatimah”.

Hari ini, dengan pupusnya kidung anak-anak itu, umat Melayu terputus terus dari kebajikan dan kebijakan az-Zahra. Itulah sebab-musababnya dalam kehidupan berbudaya dan berpolitik orang Melayu tidak reti dan tahu siapa harus disanjung. Melayu gagal dan terus gagal memahami dan menghayati Fatimah sebagai pemimpin rohani dan pemain politik yang hebat.

Komen