“PEREMPUAN kalau belajar tinggi-tinggi sekali pun, masuk dapur juga,” dan “perempuan tidak sesuailah untuk kerja ini”, adalah kata-kata yang kita sering dengar daripada orang ramai khususnya masyarakat di Malaysia. Melalui kata-kata inilah, menyebabkan ramai wanita di luar sana merasakan diri mereka tiada harapan untuk menjawat jawatan pekerjaan yang tinggi ataupun memperoleh pekerjaan yang sering dipelopori oleh golongan lelaki.
Menurut laporan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2021, jumlah bagi rakyat Malaysia adalah dianggarkan seramai 32.7 juta penduduk, dan melalui jumlah tersebut, sekitar 44.7 peratus jumlah populasi wanita iaitu hampir separuh daripada jumlah penduduk di Malaysia. Namun hanya sekitar 55.5 peratus penyertaan wanita di dalam sektor tenaga buruh negara. Nilai tersebut telah meletakkan Malaysia berada di tangga yang kelapan daripada 10 negara ASEAN akibat daripada pengurangan penyertaan buruh wanita dalam negara.
Selain itu laporan Global Gender Gap Report, 2020 (GGGP) yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), iaitu merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa, menyatakan Malaysia berada di kedudukan ke-117 iaitu sekitar 11 peratus penyertaan wanita dalam arena politik. Ranking kedudukan ini adalah berdasarkan pencapaian 153 negara yang berada dalam dunia ini. Jelas, melalui kedua-dua laporan ini dapat disimpulkan bahawa pembabitan wanita di dalam sektor buruh dan juga sektor pentadbiran negara masih lagi rendah di dalam negara.
Faktor-faktor Kekurangan Pembabitan Wanita Di Dalam Sektor Pekerjaan
Tidak dinafikan bahawa, wanita yang berkelulusan tinggi lebih ramai berbanding dengan lelaki sehinggakan menjadi isu yang sering menjadi tajuk utama di akhbar-akhbar tempatan di Malaysia di dalam kebimbangan trend pelajar wanita yang memasuki IPTA dan IPTS berbanding lelaki sehinggakan nisbah menunjukkan nilai 70:30, iaitu 70 peratus bagi pelajar perempuan dan lagi 30 peratus adalah bagi pelajar lelaki. Namun melalui jumlah tersebut, kenapa masih ada lagi pengurangan golongan wanita di dalam sektor pekerjaan?
Antara faktor kekurangan pembabitan wanita di dalam sektor pekerjaan adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh wanita di dalam institusi keluarga. Ramai wanita di luar sana memilih untuk menjadi suri rumah, dalam membesarkan anak-anak dan juga melaksanakan tanggungjawab seharian mereka di rumah, Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup dan juga menjadi beban kepada mereka dalam melaksanakan pekerjaan mereka di samping melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga ibu di dalam sesebuah keluarga.
Diskriminasi upah antara pekerja lelaki dan pekerja wanita, menyebabkan berlaku kukurangan pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan. Menurut Laporan Guna Tenaga Kebangsaan (Kementerian Sumber Manusia, 2008), secara keseluruhannya purata upah pekerja wanita adalah lebih rendah iaitu RM1,239 berbanding dengan upah pekerja lelaki iaitu RM1,473. Perkara ini berlaku akibat daripada majikan sering membeza-bezakan kualiti pekerja lelaki dan wanita yang menyebabkan pekerja lelaki lebih layak untuk mendapat gaji yang lebih tinggi. Jelas, ketidakadilan di dalam isu ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada pengurangan pekerja wanita di dalam negara sahaja bahkan ia juga memberi kesan yang buruk kepada wanita dalam melangsungkan kehidupan seharian mereka.
Gangguan seksual berlaku di dalam tempat kerja sering menjadi permasalahan yang dihadapi oleh wanita. Antara gangguan yang berlaku adalah gangguan secara lisan, isyarat, visual, psikologi dan fizikal. Perkara ini secara tidak langsung meninggalkan kesan trauma kepada wanita dalam melaksanakan pekerjaan mereka lantas membuat keputusan untuk berhenti dari bekerja. Dalam pada itu, perkara ini menjadi kebimbangan yang besar terutama kepada wanita-wanita yang baru sahaja mendapat tawaran pekerjaan ataupun di dalam proses mencari pekerjaan.
Wanita Adalah Tonggak Utama Pembangunan Negara
Dalam hal yang sedemikian, pihak berkuasa dan juga seluruh lapisan masyarakat perlu memainkan peranan yang penting dalam membasmi pengurangan wanita di dalam sektor pekerjaan dan juga membanteras dengan segera isu-isu yang sering dihadapi oleh pekerja wanita di dalam negara.
Persepsi masyarakat terhadap wanita yang tidak boleh menjawat jawatan yang tinggi khususnya dalam pelbagai bidang yang dipelopori oleh golongan lelaki sudah tidak relevan untuk ditanam pada minda masyarakat pada masa kini. Terdapat ramai ikon wanita yang berjaya dari pelbagai sudut bidang yang boleh menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana dalam meningkatkan motivasi bagi mencapai cita-cita mereka yang diimpikan pada suatu hari nanti.
Antara ikon wanita di dalam bidang politik adalah YB Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), YB Dato’ Sri Hajah Nancy Binti Haji Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia) YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak) dan ramai lagi.
Selain itu, ikon wanita di dalam bidang keusahawanan ialah Datin Vivy Yusof (Fashion Valet), Dato’ Seri Vida (Vida Beauty Sdn Bhd), Neelofa (Naelofar Hijab), Faiza Bawumi Sayed Ahmad (Faiza Sdn Bhd) dan beberapa lagi.
Semua ikon di atas merupakan antara contoh yang boleh menjadi ikutan kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada para wanita di luar sana dalam mencapai wawasan yang diimpikan serta mendepani cabaran dan halangan di dalam kehidupan.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Muhammad Afiq Adnan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.