STANISLAV ANDRESKI ahli sosiologi dari Poland pernah menuliskan bahawa elit parasit yang membenarkan kemiskinan dalam masyarakat secara tidak langsung membenarkan juga kemusnahan pada negara. Ini bermakna sesebuah negara yang terkandung elit yang semberono, tamak dan korup tanpa mempedulikan mereka yang susah akan secara perlahan membinasakan dan menghancurkan kehidupan masyarakat juga tatanan negara. Fenomena ini saya namakan sebagai elit yang merompak.
Fenomena elit perompak dapat disaksikan dengan jelas ketika pandemik mula melanda, di mana banyak prasarana yang tidak terbangun malah ada yang terlebih dibangunkan sehingga tidak berguna hasil saranan elit yang culas. Kedua-dua ini merugikan masyarakat kerana ia tidak memberikan manfaat terhadap kehidupan masyarakat kerana mereka tidak langsung boleh menikmatinya. Malah memburukkan lagi apabila yang dimangsakan itu alam. Bencana merangkak perlahan-lahan tahun demi tahun menyengsarakan kehidupan.
Ciri-ciri Elit Perompak
Jadi sebenarnya apakah ciri-ciri bagi mengenal pasti elit terutama elit pemerintah itu seorang yang suka merompak? Pertama elit itu mengidamkan projek mega (besar-besar) dengan bersembunyi di bawah kekata untuk masyarakat. Tak kira dalam dunia kesihatan, pendidikan ataupun ketenteraan. Terlampau banyak manipulasi yang boleh dilakukan antaranya dengan menawarkan projek solar sekolah yang berskala besar tetapi bersekongkol dengan pemodal untuk mengaut keuntungan dengan mengaut duit negara, akhirnya gagal dan runtuh. Ini juga termanifestasi pada pembinaan universiti yang sepatutnya menelan belanja yang kecil bertukar besar akibat kerakusan meratah wang-wang yang bertebaran. Akhirnya pelajarlah yang menanggung kos pendidikan luar biasa besar dan masyarakatlah yang terpaksa membayar hutang bilion ringgit walaupun mereka sendiri tidak punya beras di rumah.
Elit yang merompak cirinya adalah tak tahu malu. Tak malu pada kerosakan jalan raya yang berleluasa. Tak malu pada katil hospital yang tidak cukup menampung pesakit. Tak malu pada doktor yang terpaksa mengemis untuk mendapatkan kerja dan tak malu kepada kapal perang yang dibayar puluhan juta tetapi tidak siap. Juga tak malu pada susahnya kehidupan rakyat miskin yang serba-serbi kekurangan termasuklah hak untuk memiliki tempat tinggal, untuk makan makanan yang sihat dan untuk hidup sebagai manusia yang bermaruah. Jurang kekayaan yang semakin melebar tidak pernah dicarikan antidot untuk merapatkannya. Malah segala propaganda yang dicanang, di hamburkan penuh dengan hanya untuk kepentingan status quo. Di tengah-tengah wabak pula merekalah yang paling mahu diselamatkan. Bagi mereka untuk menyelamatkan ekonomi dunia, pertama sekali yang perlu diselamatkan itu adalah orang-orang kaya. Itulah sifat tak tahu malu, malah yang paling ngeri paling tak tahu malu apabila bercakap soal jenayah yang dilakukannya.
Seterusnya, elit yang merompak itu suka menawarkan gagasan idea yang songsang dan buruk. Chandra Muzaffar pernah menjelaskan bahawa idea untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum hanyalah retorik semata terutama untuk kaum elit. Kerana ekonomi yang makmur itu hanya pada sebilangan kelompok elit sahaja. Kelompok miskin dalam bangsa yang sama dibiarkan kekurangan, dibiarkan kelaparan dan dibiarkan tidur dengan kesengsaraan kerana fenomena merompak yang berleluasa. Apabila ini terjadi yang menjadi sasaran akhirnya bukanlah kepada sistem ekonomi yang mereka bolot, sebaliknya dikiaskan kepada kaum lain kononya kaum lainlah semata-mata yang membolot kekayaan, yang menyebabkan kemiskinan akhirnya membentuk prejudis, curiga dan dendam yang langsung membunuh solidariti dalam demokrasi juga dalam memusnahkan hegemoni yang mereka cuba tawarkan. Pada hujungnya, kelompok elit ini senang merompak seperti filem P. Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok.
Elit Yang Perlu Diwujudkan
Di dalam susunan masyarakat terdapat dua kelompok secara umum iaitu kelompok yang mempunyai sumber dan satu lagi kelompok yang tidak mempunyai sumber. Kelompok yang mempunyai sumber ini boleh meraih pelbagai keistimewaan terutama dalam pendidikan dan ekonomi. Melalui kelebihan ini mereka boleh mencipta keunggulan diri lalu digolongkan kepada satu kumpulan dan digelarkan sebagai elit. Mengapa kajian elit penting? Sudah tentu untuk memastikan sumber yang mereka peroleh dan rencanakan dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Kerana pada asasnya kebanyakan sumber yang mereka kuasai seperti tanah, air, tenaga buruh, politik dan dana rakyat adalah hak bersama.
Masyarakat semestinya memerlukan pemimpin atau elit. Namun elit yang seperti mana yang perlu wujud? Pertama sekali elit yang perlu wujud itu harus ada sifat kepedulian. Sifat kepedulian di sini bermaksud elit itu sedar dan dapat melihat segala kecacatan, ketidakselesaan dan kerosakan yang berlaku dihadapi oleh masyarakatnya terutama sekali terkait dengan pembangunan. Kemudian sedaya upaya untuk mengubah segala yang tidak betul untuk kehidupan yang lebih baik. Misalnya kelompok inilah yang menyuarakan tentang buruknya keadaan jalan raya, rendahnya kualiti hospital untuk orang-orang miskin yang sakit atau harga rumah yang melambung tinggi sehingga tidak mampu dimiliki. Nasib ibu tunggal dan anak-anak yatim yang telah diperkotak-katikkan atas nama korupsi juga kartel yang menyembunyikan bahan makanan. Semua ini sepatutnya mendorong mereka untuk bersuara lalu menentang kerana mereka ada segalanya. Mereka mempunyai cukup kapasiti untuk membetulkannya.
Kemudian yang perlu wujud itu juga adalah kelompok elit yang mencerahkan. Seperti mana Kartini kelompok bangsawan yang membangunkan pemikiran. Sama juga dengan Tjokroaminoto yang menggunakan segala kelebihannya buat pembebasan terutama pemikiran dalam masyarakat. Elit tidak boleh hanya bersifat reaksioner iaitu bertindak atau melakukan aksi selepas sesuatu isu itu menjadi tular diperkatakan tanpa henti. Elit harus memimpin masyarakat untuk melihat segala idea yang tidak beres, merosakkan, menghancurkan dan menindas masyarakatnya dengan lebih kerap. Misalnya ketika berlaku rompakan dari kalangan elit, elit yang lainnya harus bangun dan mencerca tindakan itu bukan mendiamkan atau menyokong sahaja apa yang telah berlaku. Jika itu yang berlaku, maka itulah pengkhianatan dalam masyarakat. Elit itu mengatur kehidupan masyarakat maka yang perlu diatur itu adalah pemikiran yang rasional, menyedarkan hak masyarakat, dan meninggikan maruah manusia dalam kehidupan.
Terakhir, elit yang perlu terwujud itu ialah elit yang mengajarkan. Ajarkan pada siapa? Pada pemodal yang sering menindas masyarakat. Secara semberono menaikkan harga barang tanpa memikirkan ekonomi masyarakat, mempromosikan produk-produk seperti dadah yang memusnahkan, menyimpan bekalan-bekalan makanan untuk kepentingan diri, merasuah menteri-menteri untuk projek-projek yang langsung tidak memberi manfaat malah menjejaskan alam hingga terbitnya bencana. Semua ini harus ditegur dan diajarkan. Juga harus diajarkan pada pemuka agama yang menunggang agama untuk meraih kapitalisme, menjadi ekstremis sehingga kafir-mengkafirkan orang lain, meliwat, merogol anak-anak yang belajar dengan mereka itu semua harus diperhati dan ditegah supaya masyarakat berasa selamat dan aman tinggal dalam kejiranannya. Tidak lupa juga pada birokrat yang menentukan dasar tanpa memikirkan apa yang dialami masyarakat bawah. Kadangkala birokrat yang bekerja di jabatan awam ini lebih sudu dari kuah. Suka menggunakan kuasa mereka untuk mengugut dan menidakkan yang akhirnya menambahkan karenah birokrasi dan melambatkan proses.
Akhirnya
Elit yang merompak harus segera disuarakan. Dituntut supaya moral mereka diperbetulkan. Mempersoalkan setiap kesalahan tanpa berdiam diri tanpa sedikit rasa takut dalam hati. Kerana jika ia terus-terusan terjadi yang boleh kita harapkan hanya debu dan api di masa hadapan. Yang kaya akan mendominasi, yang miskin akan menangisi semua yang dirampas dari tubuhnya yang tak berisi.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.