Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) untuk pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula tahun hadapan.
Kenaikan kadar ESH ini adalah terpakai kepada semua pelajar tajaan KPT sedia ada dan yang baharu di dalam dan juga luar negara.
Untuk pelajar tajaan KPT dalam negara, kenaikan kadar ESH sebanyak RM100 sebulan diberikan kepada penerima biasiswa dan dermasiswa.
Kenaikan RM100 sebulan ini juga turut diperluaskan kepada pelajar B40 dan dari kelompok Orang Kurang Upaya (OKU).
Kadar ESH juga turut diseragamkan kepada satu kadar sahaja mengikut peringkat pengajian iaitu Diploma (RM730), Ijazah Sarjana Muda (RM800) dan Sarjana atau PhD (RM1,000).
Untuk pelajar tajaan KPT di luar negara, kenaikan kadar ESH 15% diberikan kepada pelajar Sarjana atau PhD di bawah Program MyBrainScience.
KPT juga menyeragamkan kadar ESH untuk pelajar di UK kepada satu kadar tanpa mengikut kawasan manakala untuk pelajar di AS ia diseragamkan daripada tiga kepada dua kadar mengikut kawasan.
Kenaikan kadar ESH ini akan memberi manfaat kepada 24,279 pelajar tajaan KPT bermula tahun hadapan.
Kenaikan kadar ESH ini juga akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM30.78 juta setahun kepada kerajaan.
Namun apa yang lebih utama ialah kebajikan pelajar tajaan yang perlukan sokongan Kerajaan Perpaduan dalam menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang mereka hadapi.