PELUNCURAN Ekonomi Madani telah pun berlangsung pada Khamis 27 Julai yang lalu. Sepintas lalu, kita mungkin beranggapan ianya adalah pengumuman mini belanjawan dengan beberapa saguhati diberikan kepada rakyat antaranya pemberian khas RM100 secara e-tunai kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan di bawah RM100,000 setahun, ataupun bantuan penghargaan khas kepada penjawat awam sebanyak RM300 dan RM200 untuk pesara kerajaan.
Tidak keterlaluan juga jika ianya dilabelkan sebagai gula-gula Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti dakwaan beberapa seteru politik walaupun jelas saguhati yang diberikan adalah meliputi semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada 6 negeri yang dilanda PRN.
Tetapi melihat lebih dalam dari sekadar saguhati yang diberikan, kita perlu akui bahawa Ekonomi Madani yang diperkenalkan dengan slogan ‘Memperkasa Rakyat’ sebenarnya adalah satu gagasan yang akan memacu ekonomi negara ke kedudukan yang lebih baik. Ia tidak jauh berbeza dengan gagasan lain yang pernah ada sebelum ini seperti Wawasan 2020, Transformasi Nasional 2050 ataupun Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Namun Ekonomi Madani yang diilhamkan oleh Kerajaan Perpaduan menampilkan satu kelainan yang tidak terkandung dalam gagasan-gagasan lain sebelum ini.
Buat pertama kalinya ada kayu pengukur yang digunakan dalam menanda aras pencapaian yang menjadi matlamat Ekonomi Madani.
Perdana Menteri dalam ucapan peluncurannya telah menggariskan tujuh pasak dalam Ekonomi Madani iaitu pertumbuhan ekonomi, daya saing global, pekerjaan dengan gaji setimpal, pertumbuhan inklusif, pembangunan manusia, tatakelola yang baik dan kemampanan fiskal.
Kesemua tujuh pasak ini mempunyai sasaran jelas yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Untuk pertumbuhan ekonomi, sasaran yang ditetapkan adalah untuk meletakkan ekonomi Malaysia dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia. Malaysia pada masa kini berada pada kedudukan ke-35 dunia dari saiz ekonomi berdasarkan laporan IMF tahun 2023.
Kerajaan Perpaduan juga menetapkan untuk negara ini berada pada kedudukan 12 teratas dari segi daya saing global, dengan kedudukan Malaysia masa kini adalah pada tangga ke-27 daya saing dunia.
Kadar gaji dan upah buruh dari keseluruhan KDNK pada masa kini ialah 32.4% berdasarkan sumber dari Jabataan Perangkaan Malaysia. Selaras dengan kadar upah dari keseluruhan KDNK negara-negara maju, Ekonomi Madani mahu meletakkan kadar pendapatan pada angka 45% dari keseluruhan KDNK.
Dari segi pertumbuhan inklusif, sasaran yang ditetapkan adalah untuk memastikan kadar penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan mencecah 60%, berbanding kadar sedia ada iaitu hanya 55.5% wanita yang bekerja mengikut sumber dari Jabataan Perangkaan Malaysia.
Ekonomi Madani juga mensasarkan pembangunan manusia di negara ini melonjak ke tangga ke-25 teratas dari kedudukan ke-62 dalam Indeks Pembangunan Manusia keluaran UNDP pada tahun 2022.
Dari segi tatakelola yang baik, sasaran kita adalah untuk meletakkan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah berbanding kedudukan ke-61 dunia pada masa kini. Umum mengetahui Perdana Menteri amat menekankan tatakelola yang baik sebagai pemangkin kepada pembangunan negara yang seimbang.
Selain tatakelola yang baik, disiplin fiskal juga adalah penting. Oleh itu Ekonomi Madani menetapkan sasaran untuk mencatatkan defisit fiskal 3% atau lebih baik dalam tempoh 10 tahun berbanding kadar purata 5.5% defisit fiskal sejak lima tahun kebelakangan.
Kesemua pasak dan sasaran ini boleh diukur dan dinilai pencapaiannya. Ini adalah satu petanda positif kerana berbeza dengan gagasan lain sebelum ini, rakyat boleh menilai sejauh mana agenda Ekonomi Madani akan berjaya mencapai matlamatnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Pun begitu, kerjasama kita semua sebagai rakyat yang cintakan negara adalah penting dalam memastikan agenda Ekonomi Madani ini dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun tersebut.
Bersediakah kita?
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.