Hari ini bermula fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan sekatan perjalanan penuh (total lockdown). Tujuan PKP 3.0 dan sekatan perjalanan penuh adalah untuk melandaikan lengkung dan mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin merebak di kalangan orang awam.
Tidak dinafikan, negara kita sekarang sedang berdepan dengan krisis yang kini sedang berubah menjadi satu malapetaka. Walaupun sudah lebih setahun berdepan pandemik, kita kini jauh lebih teruk berbanding hari atau bulan yang sama tahun lalu. Malahan jumlah kes aktif kini sudah mencecah 80,474 kes dimana 872 darinya adalah kes ICU. Jumlah kematian pula adalah sebanyak 2,867 kes dan sebahagian besar darinya berlaku dalam tahun 2021. Bahkan bulan Mei sahaja mencatatkan kes kematian sebanyak 1,290 kes.
Dalam keadaan yang sangat kritikal ini maka keputusan kerajaan melaksanakan PKP 3.0 berserta sekatan perjalanan penuh adalah perlu. Ia merupakan satu-satunya cara untuk mengawal penularan wabak dan melandaikan lengkung sebelum pandemik ini berada di luar kawalan hingga meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan negara. Kita harus sedar bahawa fasiliti kesihatan yang ada kini berada pada kadar penggunaan maksimum.
Kita tidak mahu berdepan situasi apabila tiada lagi ruang di hospital untuk menempatkan pesakit Covid-19 atau tiada petugas kesihatan yang dapat merawat pesakit yang semakin bertambah.
Tetapi bolehkah PKP 3.0 berserta sekatan perjalanan penuh ini dapat melandaikan lengkung dan mengekang penularan?
Ia boleh berlaku tetapi kita juga perlu sedar ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan dilakukan untuk ia benar-benar membuahkan hasil.
Ujian Saringan Massa Secara Menyeluruh
Satu perkara yang kita semua telah pelajari sepanjang pandemik Covid-19 ini adalah, kita tidak akan tahu berapa ramai yang telah dijangkiti melainkan dengan menjalankan ujian saringan. Ujian saringan akan menentukan berapa ramai yang telah dijangkiti Covid-19 dan berapa ramai pula yang tidak. Mereka yang telah dikesan positif, akan menjadi sebahagian dari data kes Covid-19.
Ini juga bermakna sejauh mana tepatnya angka kes Covid-19 bergantung kepada sebanyak mana ujian saringan yang telah dibuat. Dalam hal ini jumlah ujian saringan akan dinilai berbanding populasi negara. Lebih tinggi kadar ujian per populasi, maka lebih tepatlah angka kes Covid-19.
Di Malaysia, pada masa ini kadar ujian saringan adalah pada 370 ujian per 1,000 populasi, atau 37%. Ia adalah lebih rendah berbanding beberapa negara lain di dunia seperti Australia (708 ujian per 1,000 populasi) atau Singapura (1,960 ujian per 1,000 populasi).
Kadar ujian saringan yang rendah tidak mustahil membawa kemungkinan ada lebih ramai individu yang dijangkiti Covid-19 di luar sana tetapi gagal dikesan. Individu ini mungkin tidak bergejala kerana kadar jangkitan tidak serius, atau masih baru dijangkiti. Namun individu yang dijangkiti ini masih boleh menjadi pembawa virus dan menyebarkannya pada individu lain jika mereka tidak diasingkan segera.
Dalam menangani situasi ini, perlu kita melihat pada usaha kerajaan negeri Selangor yang melakukan ujian saringan massa pada skala besar. Ujian saringan massa berskala besar ini dapat kita lihat hasilnya apabila Selangor banyak mengesan dan melaporkan kes positif Covid-19. Walaupun ia seakan memberikan imej yang negatif kepada negeri, usaha ini patut dipuji kerana ia benar-benar membantu dalam mengekang penularan wabak dengan lebih ramai individu positif dapat diasingkan pada kadar segera.
PKP 3.0 akan benar-benar berkesan jika ujian saringan massa secara menyeluruh dibuat. Tidak mustahil di negeri lain juga wujud ramai individu yang telah dijangkiti Covid-19 dan mereka ini perlu dikesan dan diasingkan di pusat kuarantin secepat mungkin sebelum menjangkiti orang lain. Kerajaan perlu memberikan fokus untuk melipat gandakan ujian saringan massa dalam fasa pertama PKP 3.0 ini.
Menyegerakan Pemberian Vaksin Kepada Semua
Selain melakukan ujian saringan massa secara menyeluruh, menyegerakan pemberian vaksin kepada semua yang layak merupakan satu lagi langkah penting bagi menjayakan PKP 3.0. Penularan wabak dan melandaikan lengkung hanya dapat dicapai apabila sebahagian besar dari populasi negara telah divaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19 atau pun mengurangkan impak dari jangkitan yang sama.
Malaysia sehingga kini mencatatkan 2.67% dari populasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin manakala 3.5% lagi telah menerima dos lengkap vaksin. Ia masih terlalu jauh dalam mencapai imuniti kelompok yang ideal bagi mencegah penularan Covid-19., yang diletakkan pada kadar 60% ke 70% oleh beberapa pakar sebelum ini tetapi kini telah dinaikkan ke kadar 80%.
Oleh itu, adalah perlu untuk kerajaan memastikan usaha pemberian vaksin dilipat gandakan bagi memastikan negara dapat mencapai kadar imuniti kelompok yang ideal. Selain dari memastikan bekalan vaksin yang cukup untuk semua, kaedah pemberian vaksin juga perlu dinilai kembali. Pemberian vaksin sepatutnya tidak rumit tetapi mudah.
Tetapi beberapa prosedur yang diguna pakai membuat proses vaksinasi ini rumit. Pendaftaran atas talian walaupun mudah untuk sesetengah individu, tetapi agak rumit bagi mereka dari golongan warga emas atau luar bandar. Pusat pemberian vaksin yang agak terhad dan kebanyakannya hanya wujud di bandar besar juga menyukarkan mereka yang berada di luar bandar, uzur dan tiada pengangkutan untuk menghadirkan diri bagi diberikan suntikan vaksin.
Lantaran itu perlu ada langkah untuk membawa vaksin kepada orang awam, agar lebih banyak vaksin dapat diberikan dengan lebih cepat. Hanya dengan kaedah ini capaian vaksin akan menjadi lebih meluas dan merangkumi sebahagian besar rakyat Malaysia dalam sasaran kita mencapai imuniti kelompok.
Kita Mesti Menang
Dua langkah yang telah saya tekankan di atas adalah penting bagi memastikan PKP 3.0 ini dapat mencapai sasaran yang ditetapkan. Kita perlu ujian saringan massa bagi mengenal pasti individu positif Covid-19 dan mengasingkan mereka untuk dirawat. Kita juga perlu segerakan pemberian vaksin supaya populasi Malaysia mencapai imuniti kelompok yang diperlukan.
Mahu atau tidak, kita harus menerima bahawa pandemik yang berlanjutan lebih setahun lamanya ini telah menjejaskan kehidupan rakyat dari pelbagai aspek, baik kesihatan, sosial, pendidikan atau ekonomi. Kita tidak boleh berlengah lagi dan terus ditekan dengan krisis pandemik begini. Bahkan juga, pelaksanaan PKP 3.0 dan sebelumnya telah membuatkan proses pemulihan sosial dan ekonomi terbantut sekian lama.
Kita tidak mahu berulang-ulang menjalani PKP 4.0, 5.0 atau seterusnya tanpa penghujung yang nyata.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.