Di Mana Quran Saat Pandemik?

ADA seorang budak. Dalam tekaan saya, umurnya sekitar 10 tahun. Berteduh di bumbung kaunter pandu lalu McDonald’s. Di tangannya ada bakul berisi bungkusan satey untuk dijual. Saya tanya dia, datang dari mana?

‘Damansara Damai’, jawabnya pendek.

Umur 10 tahun. Berniaga. Dalam hujan. Tolong mak di rumah. Agak-agaknya, cucu ketua agama seusia budak itu tengah buat apa sekarang?

Ada seorang pengawal keselamatan. Mukanya resah. Tak begitu ramah seperti hari-hari sebelum. Saya tanya dia, ‘okay ke?’. Dia jawab duit dua puluh ringgit tercicir. Cari tak jumpa. Nak guna, habuan beli susu anak.

Lapan hari lagi baru hari gaji. Dalam poket cuma berbaki dua puluh ringgit. Itu pun dah ghaib. Macam mana nak jawab kalau anak tanya mana susu? Yang Berhormat yang baru terima kenaikan gaji lima ribu ringgit, boleh tolong jawabkan?

Di rumah, saya duduk termangu. Sambil melihat hujan meliar di luar, otak saya merusuh.

Di mana agaknya Quran saat pandemik?

Tuan-puan yang saya hormati,

Bukanlah sesuatu yang asing mendengar ayat sebegini;

“Demi kehidupan yang sejahtera, dunia dan akhirat, kita wajib kembali kepada Quran dan sunnah.”

Ayat begitu cukup laris di kalangan para agamawan mahupun ahli politik.

Maka amatlah jarang sekiranya mulut agamawan dari kalangan ustaz-ustazah, tok mufti, imam masjid, ahli politik, para menteri hatta Perdana Menteri sekalipun terlepas darinya dalam syarah-syarah mereka.

Saya secara peribadi menemukan satu persamaan mengapa dua kumpulan ini gemar menggunakan ayat yang sama. Ianya kerana;

Tidakkah ayat ‘kembali kepada Quran’ menguntungkan mereka dari segi tujuan dakwah dan politik mereka semata-mata?

Tuan-puan yang dirahmati Tuhan semesta alam,

Kembali kepada Quran ini apa sebenar maksudnya?

Kembali membaca, kah? Kembali bertaranum, kah? Kembali menghafal, kah? Atau sekadar kembali menghayati kisah-kisah Nabi yang terdapat di dalamnya?

Di mana kembali kepada Quran saat anak kecil itu berbasah-basahan dalam hujan menjual satey demi membantu kewangan keluarga? Di mana kembali kepada Quran ketika peratusan pengangguran menyaksikan peratusan tertinggi sejak krisis ekonomi tahun 1997/98? Di mana kembali kepada Quran apabila ramai orang di Sabah tidak punya apa-apa di dalam pinggan mangkuk mereka selain debu?

Dan di mana kembali kepada Quran apabila perkara melibatkan kemiskinan, kepayahan hidup, jurang miskin-kaya menjadi sesuatu yang normal?

Barangkali, ayat-ayat Quran yang dijamin kekal sampai bila-bila itu hanya berkisar tentang terpelihara dari segi cetakan dan kulit bukunya. Terpelihara kemas bersama habuk di atas rak buku di rumah saya, di rumah tuan-puan, di surau-masjid, di perpustakaan universiti, di pusat tahfiz, pejabat agama dan juga di istana.

Kalam-kalam Tuhan bahkan tidak terpelihara dalam menyampaikan mesej-mesej revolusionernya.

Tuan-puan,

Saya berniat mempersoalkan kedudukan Quran bukan atas tujuan membikin kontroversi. Ini bukan polemik lapuk mencari perhatian dengan mempersoal kitab suci.

Tetapi atas keberantakan yang dialami kita semua. Ketika ada yang memenangi kategori mendiami pondok terburuk dalam dunia di ceruk kampung, YB-YB dan para Exco senyum nipis menerima jumlah kenaikan gaji yang diluluskan tanpa debat, tanpa ‘ini semua salah Najib’ , tanpa apa-apa. Ketika ratusan ribu kehilangan kerja, yang miskin bertambah parah, ada pula cadangan untuk memperuntukkan puluhan juta untuk tujuan penyebaran maklumat pemerintah.

Dunia sudah lama tersakiti. Pandemik hadir bagi membuktikan bahawa sistem hidup manusia selama ini berdasarkan kepada kelas sosial yang tidak adil. Kelas agamawan, kelas pemerintah ternyata gagal mempertahankan kita semua.

Jika benar keyakinan kita terhadap Quran, ia bukan sekadar pengulangan ‘kembali kepada Quran dan sunnah’ atau ayat-ayat lazim yang membosankan.

Ia adalah tentang mewujudkan keadilan. Menegak kebenaran. Menyebar kasih sayang. Membantah feudalisme. Mempertahankan golongan tertindas. Membenci kemiskinan. Mencabar kekayaan yang melampau. Keras melawan tirani. Tidak berkompromi dengan korupsi. Memanjang umur revolusi.

Tuan-puan yang disayangi,

Di mana Quran ketika pandemik akan kekal menjadi persoalan selagi mana kita tidak mengupayakan usaha-usaha mewujudkan dunia yang lebih adil.

Tinggalkanlah sikap-sikap yang ditonjolkan kebanyakan agamawan dan ahli politik sebagai penunggang Quran yang berjaya.

Berubahlah kepada keyakinan di mana setiap kebaikan yang kita lakukan, meski detail-nya tidak terperinci dalam kita suci, yakinilah bahawasanya ia sentiasa dipayungi rahmat Tuhan yang maha esa.

Selamanya, kita jaga kita.

Komen