Demokrasi Mati Moral Pun Mati

Rakyat menjadi raja” harus diwujudkan dalam kehidupan nyata. Ungkapan politikus hanya abdi bagi rakyat tidak boleh berhenti pada ungkapan semata.

Mohamad Sobary

MANIFESTO UNESCO 1949 menyatakan;

“Mungkin untuk kali pertama dalam sejarah, demokrasi dinyatakan paling baik dan wajar untuk semua sistem organisasi politik dan sosial yang berpengaruh. Demokrasi adalah capaian tertinggi peradaban manusia. Kerana itu alternatif terbaik untuk berdampingan dalam dunia adalah menyuburkan demokrasi.”

Demokrasi sendiri berasal dari bahasa Yunani, yang bererti “kekuasaan atau kedaulatan rakyat.” Demos membawa maksud rakyat dan Kratos bererti kuasa.

Konsep demokrasi sebagai sebuah sistem pemerintahan, sudah mula dikenali sejak zaman Yunani kuno. Manakala pemakaian terma demokrasi  ini di zaman moden, baru mulai diterapkan pada sekitar akhir abad ke-18.

Joseph A Schumpter dalam The Capitalism, Socialism and Democracy mendefinisikan demokrasi sebagai “the will of the people” (kehendak rakyat) dan “the common good” (kebaikan bersama).

Sistem demokrasi adalah  sebuah jalan yang amat bersesuaian dengan kudrat manusia merdeka terutama sekali dalam mencapai cita-cita masyarakat yang adil dan makmur.

Melalui demokrasi, kehidupan kelompok marginal dan rakyat miskin akan lebih terbela. Mereka dengan mudah bisa mendapat  akses ke dunia ekonomi yang baik dan menjadi lebih sejahtera.

Ini kerana dalam sistem demokrasi ada enam teras yang patut dipatuhi iaitu 1) partisipasi politik yang luas; 2) kompetisi politik yang sihat, 3) sirkulasi kekuasaan yang terjaga; 4) pengawasan yang efektif terhadap kekuasaan; 5) diakui kehendak majoriti dan 6) adanya set nilai politik baik yang dipersetujui dan disepakati oleh masyarat.

Walaupun begitu, keenam prinsip ini saja tidak cukup untuk menggambarkan sebuah negara itu sudah cukup demokratis. Sebuah negara yang demokratis harus juga bergerak dengan tiga asas prinsip yang mendasar iaitu:

Pertama, tertegaknya  etika dan moral politik sebagai landasan kerja sistem politik, ekonomi dan sosial.

Kedua, tegaknya prinsip konstitusionalisme iaitu menegakan kedaulatan undang-undang juga adanya kepatuhan terhadap hukum di dalam masyarakat tak kira kedudukan.

Ketiga, digunakannya etika akauntabiliti (kepertanggungjawaban) publik, dimana memposisikan kesemua yang memegang jawatan institusi awam sebagai pemegang mandat (amanah) dari rakyat.

Oleh itu, harus diingat, bahawa  demokrasi juga tidak akan automatik mensejahterakan rakyat. Demokrasi boleh menjadi bencana dan malapetaka yang dahsyat apabila ia dikawal oleh kekuasaan yang jahat. Jika pemegang kekuasaan itu sifatnya busuk  maka polisi-polisi yang dibina pula adalah polisi yang busuk. Seperti ungkapan Syed Hussein Alatas;

“Apabila parlimen dikuasai orang bebal, tak seorang pun akan mempertikaikan dasar, mutu perbahasan dan estetiknya.”

Malah, jika majoriti massa memilih untuk berfikiran semberono, maka pemimpin yang dipilih pula akan berfikiran semberono. Tetapi ada juga yang terjadi dimana kekuasaan demokrasi itu dilacurkan sesuka hati oleh mereka yang berkuasa tanpa memikirkan persetujuan rakyat.

Demokrasi akan menjadi efektif apabila disertai elit dan bangsa keseluruhan dengan sepenuh hati dan bermoral juga beretika dalam membuat keputusan dan penilaian.

Apa erti demokrasi apabila tidak mampu mensejahterakan rakyat? Apa erti demokrasi apabila membuat elit bermewah-mewah di atas kemiskinan bangsa? Apa erti demokrasi yang tidak mampu menegakkan kedaulatan undang-undang? Apa guna demokrasi sekiranya menggunakan rakyat sebagai pelindung kekuasaan ketika menghadapi bencana? Apa guna demokrasi sekiranya rakyat menjadi bahan ketawa, senda gurau mereka yang berkuasa?

Demokrasi boleh gagal bukan kerana isinya  tetapi lemahnya tanggungjawab pemimpin kepada rakyat! Ini sememangnya krisis Dunia Ketiga di mana peperangan itu bukan bermula dari luar tetapi dari dalam. Tahap kepimpinan dalam Dunia Ketiga begitu lemah rakus, haloba dan tenat. Sejak tahun 1970-an lagi telah dikritik dalam tulisan Syed Hussien Alatas.

Demokrasi tanpa adanya kesedaran moral dalam diri aktor politik, sama saja dengan bohong dan omong kosong. Seperti kata Hatta;

“Pemerintah yang diktaktor sekalipun bisa jauh lebih baik jika bermoral, ketimbang  pemerintah yang demokratis tetapi tanpa moralitas.”

Jadi soalnya kemana mahu dibawa fikiran demokrasi seperti ini? Kalau ia tidak bertahan mengapa perlu diyakinkan? Kalau tidak mahu dilakukan mengapa perlu disungguhkan? Sedangkan dalam masa yang sama permainan kuasa, ketamakan kekayaan bermain dalam kalangan raksasa-raksasa besar di awan, tak ubah seperti kisah kanak-kanak Jack and the Beanstalk.

Tanpa moralitas yang kukuh maka sistem ini dan penyelengaraan pemerintahan  akan berlangsung dalam  keadaan keserakahan, kebuasan, pengkhianatan dan peminggiran hak-hak masyarakat.

Jadi  bagaimana praktik politik dan pemerintahan di negeri kita? Apakah penyelenggaran  negara telah berpihak kepada kepentinggan massa rakyat? Saya tidak perlu menjawab kerana saya yakin anda punyai jawapan yang tersemat di hati. Ah! Sekali lagi saya terganggu dengan kisah dongeng Jack and the Beanstalk yang diceritakan oleh ibu saya sewaktu kecil.

Mungkin hari ini kita sudah harus menanamkan benih-benih kacang kecil supaya apabila ia tumbuh menjalar jauh ke atas awan dapat kita panjat sehinggalah bertemu dengan raksasa-raksasa itu sambil mengatakan keserakahan mereka sudah berakhir. Dan mungkin saya percaya bahawa benih kacang itu adalah hikmah yang perlu kita semua cari. Kerana kata hikmah Howard Zinn menyatakan;

“Small acts, when multiplied by millions of people, can transform the world.”

Komen