Daripada Parasite (2019) Kepada Parasit Banjir 2021

Dalam filem Parasite (2019) arahan Bong Joon-ho, cuba perhatikan perbezaan demografi kawasan yang didiami oleh keluarga Kim Ki-taek yang miskin dan keluarga Park Dong-ik yang kaya. Keluarga Kim Ki-taek tinggal di kawasan pangsapuri separuh bawah tanah, manakala keluarga Park Dong-ik tinggal di kawasan tanah tinggi. Sewaktu hujan lebat pada malam tersebut, setelah Kim Ki-taek bersama dua orang anaknya berjaya keluar daripada rumah Park Dong-ik untuk pulang ke pangsapurinya, Kim Ki-taek sampai dalam keadaan kawasan tersebut huru-hara apabila semua orang di kawasan tersebut berhempas pulas untuk mengeluarkan air daripada kawasan perumahan masing-masing dan berusaha menyelematkan barang-barang mereka. Kawasan penempatan rumahnya mula dinaiki air dan banjir mula menunjukkan tanda-tanda akan menenggelamkan rumah mereka. Banjir tersebut semakin parah menyebabkan seluruh penghuni di kawasan tersebut terpaksa berpindah ke dewan penempatan mangsa banjir.

Jikalau anda perasan lagi, sewaktu Kim Ki-taek dan kedua-dua orang anaknya berlari keluar dari rumah Park Dong-ik dan menuruni tangga yang tinggi untuk ke kawasan bawah, shot kamera dalam filem tersebut menunjukkan air hujan daripada kawasan tinggi menuruni tebing tersebut ke bawah. Jadi, tidak salah kalau kita andaikan, antara limpahan air yang memenuhi kawasan perumahan separuh bawah tanah keluarga Kim Ki-taek tersebut juga adalah datang daripada kawasan tanah tinggi keluarga Park Dong-ik. Tetapi sudah tentulah, di dalam filem tersebut – dan realiti yang sentiasa kita hadap juga – tidak ditampilkan bagaimana orang-orang kaya yang tinggal di kawasan tinggi itu memikul tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu orang-orang miskin yang menerima kesan buruk daripada limpahan air dari kawasan mereka itu.

Kemuncak kepada ketidakpedulian itu tampil pada dialog Choi Yeon-gyo, isteri kepada Park Dong-ik, sewaktu menaiki kereta yang dipandu oleh Park Dong-ik, “Today the sky’s so blue, and no pollution! Thanks to all rain yesterday.” Untuk Kim Ki-taek yang merupakan mangsa kepada banjir yang terhasil daripada limpahan rumah Choi Yeon-gyo dan Park Dong-ik itu, apa perasaannya pada ketika itu apabila mendengar kata-kata tersebut? Jadi, apa perasaan ribuan mangsa banjir di Malaysia pada Disember 2021 yang lalu, andai kata-kata seumpama itu keluar terutamanya daripada orang yang ada keistimewaan dari sudut harta mahupun kedudukan? Terima kasih kepada hujan semalam?

Banjir besar yang melanda Malaysia pada Disember 2021 yang lalu, terutamanya di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan telah melondehkan banyak perkara yang selama ini sering diabai dan tidak dipedulikan – tentang korupsi dalam perancangan bandar, ketidaksetaraan kelas sosial, pembangunan bandar yang tidak strategik, ketiadaan pelan yang teratur dan jelas daripada pihak berkuasa untuk menghadapi bencana alam, pihak kapitalis yang berlepas tangan daripada pertanggungjawab, dan sebagainya – di mana semua permasalahan itu telah disimpulkan oleh Bong Joon-ho dalam babak konflik bencana banjir dalam filem Parasite tersebut. Dan, ternyata, ketika banjir Disember 2021 itu, orang seperti Choi Yeon-gyo itu memang wujud; orang daripada atas perbukitan yang terputus rasa kepeduliannya terhadap nasib rakyat di bawah perbukitan dan masih sempat menikmati kepuitisan hujan di Instagram sedangkan telah terang lagi bersuluh bahawa hujan pada malam itu adalah bencana untuk ramai orang di Malaysia. Tidakkah itu menyakitkan perasaan?

Banjir Disember 2021 banyak membuka mata kita semua bahawa slogan-slogan muluk daripada penguasa atau orang-orang berkepentingan seperti #KeluargaMalaysia dan seertinya itu hanyalah sekadar wayang-wayang politikal yang langsung tidak berfungsi apabila tiba waktunya. Pada akhirnya, #KitaJagaKita itu adalah bermaksud kita saling menjaga sesama kita sendiri yang saling merasai kesusahan dan bersama-sama hulurkan bantuanp; dan Banjir Disember 2021 membuatkan kita merasakan bahawa kita seolah-olah tidak pernah mempunyai kerajaan dan kita semua adalah anarki! Sepedih mana kenyataan itu, itulah hakikat yang kita telah rasai pada Disember 2021 itu.

Kita dapat lihat, betapa lambatnya bantuan daripada pihak berkuasa untuk sampai kepada mangsa banjir yang terperangkap di rumah masing-masing, tetapi yang lebih dahulu datang adalah daripada kalangan kita sendiri yang bersegera menghulurkan bantuan setelah menerima informasi-informasi di Twitter. Twitter pada Disember 2021 seperti telah berlaku ledakan besar-besaran sebagai medium utama untuk penyaluran maklumat banjir, dan mangsa-mangsa banjir menggunakan Twitter untuk berkomunikasi dengan masyarakat tentang keadaan mereka dan meminta pertolongan untuk mengeluarkan mereka daripada perangkap banjir itu. Segala usaha pengumpulan dana awam dan penyusunan gerak kerja sukarelawan berlaku di Twitter.  Sewaktu pihak berkuasa masih dengan kerenah birokrasi, mesyuarat, dan penubuhan jawatankuasa, rakyat telah mendahului semua dengan terus menggerakkan segala usaha untuk membantu mangsa banjir yang sedang berada dalam detik-detik terdesak.

Kita pun tertanya-tanya: Apakah orang-orang seperti Park Dong-ik yang punya kekayaan, kedudukan dan pengaruh hanya lebih sekadar memikirkan apa yang boleh mengekalkan keselesaan dirinya sendiri dan menggembirakan keluarganya sendiri, ketimbang menjenguk ke luar pintu pagar rumah dan memerhati nasib masyarakat Kim Ki-taek di bawah sana yang telah menerima bahana air hujan daripada rumahnya sendiri? Tetapi Banjir Disember 2021 telah memperlihatkan, bahawa orang-orang seperti Park Dong-ik memang akan turun juga daripada perbukitan; tetapi turunnya dengan segala iringan dan protokol kebesaran melawat tempat-tempat mangsa banjir yang telah dibersihkan oleh para pegawai demi memastikan keselesaannya untuk melawat tempat yang sepatutnya bergelumang dengan kekotoran.

Orang seperti Park Dong-ik yang memiliki segala kemegahan dan rumah di perbukitan datang dan berpuas hati dengan kawasan banjir yang telah dibersihkan, lalu cukup sekadar datang dengan menghulur beberapa not ringgit, kampit-kampit beras dan keperluan masakan, serta barang-barang kelengkapan diri sebelum pulang semula ke singgahsana setelah merasa selesai melunaskan tanggungjawabnya. Mereka ada kedudukan dan pengaruh untuk mentadbir negara, dan punya kuasa untuk membangunkan polisi kecemasan dan mengeluarkan perbendaharaan negara secara bijaksana (meskipun perihal kebijaksanaan golongan mereka seringkali diragukan, apatah lagi sebilangan menteri masih hendak menunjukkan lagak sarkasnya sewaktu bencana banjir yang sedang getir). Tetapi tindakan mereka itu tidak jauh beza pun dengan para NGO dan sukarelawan yang membanting tulang dengan ihsan derma orang ramai yang mampu menjalankan kerja-kerja penyelamatan mangsa banjir yang jauh lebih baik daripada kemunculan seimbas mereka yang lebih menyukarkan kerja-kerja orang lain kerana terpaksa melayani mereka dengan segala protokol yang tidak munasabah. Jadi, kita ini punya kerajaan untuk apa jika dalam saat-saat diperlukan ini mereka tidak pun membantu secara berkesan tidak seperti mana berkesannya mereka dalam hal percaturan politik kekuasaan?

Tidak sangka realiti Parasite (2019) itu dapat menjadi gambaran kepada realiti di Malaysia pada tahun 2021. Banjir Disember 2021 benar-benar melondehkan sikap pentingkan diri sendiri dan ketidakmampuan golongan Park Dong-ik untuk menguruskan negara dengan bijaksana. Orang-orang seperti Park Dong-ik adalah realiti yang kita terpaksa hadapi; orang sepertinya barangkali kelihatan baik dan bermurah hati, tetapi sebetulnya orang sepertinya menggunakan kelebihan harta dan kedudukannya untuk bersifat manipulatif untuk meminta orang lain memenuhi kehendak-kehendaknya. Sedangkan, di belakang, orang seperti Park Dong-ik akan membanding-bandingkan soal bau keluarganya (bau golongan elitis) dan bau keluarga Kim Ki-taek (bau golongan marhaen) seperti yang ditampilkan dalam babak filem Parasite tersebut yang menunjukkan sikap dan cara fikir sebenar mereka dalam kehidupan. Golongan Park Dong-ik tidak akan pernah merefleksi sebab-musabab banjir di kawasan golongan Kim Ki-taek itu adalah berpunca daripada diri mereka sendiri. Sebaliknya, dia akan datang tampilkan wajah empati dan menghulurkan wang ringgit tanpa bermuhasabah untuk melihat apa sebenarnya punca masalah banjir teruk yang telah berlaku itu. Walhal di tangan mereka, ada kuasa dan kedudukan untuk merubah keadaan dan membetulkan semula sistem yang rosak. Mereka tidak mahu melakukan itu, kerana Park Dong-ik lebih rela mati sebagai seorang hartawan dan dalam kekuasaan berbanding mati dalam keadaan papa kedana dan tidak berkedudukan.

Komen