Darihal Pelarian

Baru-baru ini, di sebalik kecoh kemelut COVID-19 yang melanda negara, kita dikejutkan pula dengan isu pelarian Rohingya. Asal sebab ceritanya adalah tentang sebuah bot sarat dengan pelarian Rohingya yang diusir keluar dari perairan negara oleh pasukan keselamatan.

Tetapi isu yang mungkin asalnya menjadi tajuk kecil berita, tidak semena-mena meletup menjadi persoalan nasional. Ibarat api kecil disimbah minyak, isu pelarian Rohingya marak menyala ketika masih ramai yang lebih suka bercakap tentang COVID-19.

Ia seakan-akan disengajakan. Diratib berulang kali di media sosial untuk mewujudkan satu naratif bahawa pelarian Rohingya kini besar kepala, sudah berani menuntut yang bukan-bukan lantaran satu tindakan tegas perlu dilakukan. Dan seperti mana-mana naratif yang bersifat kebencian, api yang marak tadi merebak luas membakar hati kebanyakan rakyat Malaysia. Dari benci, sudah mula muncil bibit-bibit ugutan bunuh dan sebagainya.

Maka rata-rata rakyat mula berpendapat, Rohingya jadi pelarian kerana mereka mahu merampas hak kita. Sebab sebenar kenapa Rohingya jadi pelarian sudah kabur dan dilupakan begitu sahaja. Meski tidak sampai berapa tahun dahulu Perdana Menteri ketika itu bersama pemimpin parti politik Islam terbesar Malaysia pernah sepentas kononnya membela nasib Rohingya.

Bercakap darihal pelarian, saya akan teringat pada kisah saya pernah ditakdirkan duduk bersebelahan seorang lelaki Arab yang bising dan tidak terurus dalam satu penerbangan selama tujuh jam. Tidak cukup dengan dia seorang, barisan kerusi hadapan dan belakang kami juga dipenuhi oleh ahli keluarganya yang lain, tiga generasi semuanya dari nenek, ibu dan ayah kemudian menurun kepada anak-anak. Mereka tujuh sekeluarga, dan saya menyumpah dalam diri kerana ditakdirkan perlu menghadap keriuhan dan bau yang kurang selesa selama berjam-jam dalam penerbangan.

Dari Kuala Lumpur kami diam tidak berkata apa. Tetapi saat pesawat terbang di atas Teluk Parsi, lelaki Arab tadi memulakan bual bicara. Dia bertanya kalau saya orang Malaysia. Dari pertanyaan pemula bicara tadi, kami akhirnya berbual panjang.

Ini kisah lelaki Arab itu. Dia sudah berumur, sudah lebih separuh abad. Dia juga seorang jurutera dan pernah bekerja dalam sektor minyak dan gas. Asalnya dari Yemen, tapi dia dan keluarganya lari dari negara kelahiran mereka akibat perang. Destinasi pertama mereka setelah lari adalah Malaysia, tetapi selepas enam bulan di Malaysia, kos sara hidup yang tinggi dan faktor bahasa membuatkan mereka terpaksa lari sekali lagi.

Ke mana selepas ini, soal saya. UAE? Saya meneka kerana kapal terbang kami akan mendarat di Abu Dhabi beberapa minit lagi.

Jordan, jawabnya. UAE terlalu mahal untuk mereka menetap di sana. Jordan menawarkan kos hidup yang lebih rendah, tiada masalah bahasa seperti di Malaysia dan juga kemungkinan untuk lelaki Arab itu mendapatkan pekerjaan baru kerana wang simpanan mereka sekeluarga sudah semakin susut.

Saya terdiam. Dalam hati, sedih dan kasihan mengenangkan nasib beliau dan keluarganya. Menjadi pelarian kerana perang di negara sendiri. Segala perasaan jelek dan tidak selesa yang timbul semasa menaiki kapal terbang di Kuala Lumpur awal tadi hilang setelah mendengar kisah lelaki Arab itu.

Pelarian, baik Rohingya atau lelaki Arab itu, berlari dari negara asal mereka ke tempat asing bukan kerana mereka mahu merampas hak orang lain. Pelarian lari kerana hak mereka telah dirampas di rumah sendiri.

Ini perkara yang kita terlepas pandang bila membicarakan isu pelarian dengan segumpal rasa benci atau tidak senang hati. Kita selalu fikir, pelarian itu lari kerana mereka mengejar sesuatu. Yang kita abaikan ialah mereka lagi kerana dihambat dari negara mereka.

Yang membezakan lelaki Arab asal Yemen tadi dan segerombolan Rohingya dalam bot di tengah lautan ialah siapa mereka sebelum bergelar pelarian. Lelaki Arab itu saya kira lebih bernasib baik. Dia terpelajar dan ada wang simpanan. Dia mampu menjadi pelarian dengan menaiki kapal terbang serta menetap di negara asing dengan menyewa kediaman sendiri.

Tapi pelarian Rohingya, mereka datang dari hidup yang sedia dhaif tanpa pelajaran atau harta. Menaiki bot atau tongkang dan hanyut di lautan adalah pilihan yang mereka ada. Bila tiba, mereka juga tidak mampu menyewa kediaman sendiri sebaliknya mengharapkan khemah di kem pelarian.

Tetapi antara lelaki Arab itu dan Rohingya, mereka masih ada persamaan selaku pelarian. Pertama, menjadi pelarian bukan pilihan yang mereka mahukan. Kedua, mereka biar pun bergelar pelarian masih tetap manusia.

Dan inilah darihal pelarian perlu kita fahami dengan simpati juga empati.

Komen