Skrin telefon ditatal. Dari bawah ke atas. Atas ke bawah. Sewaktu laman Twitter muntah dengan segala macam berita, saya ialah Badang. Semuanya saya telan tak terluah kembali. Hujan menggila dan dengan sekelip mata, hujan menjadi bah. Bah menjadi bala. Orang-orang resah menanti titisan hujan yang terakhir. Di atas bumbung kereta, bumbung rumah dan katil besi – semuanya menanti bantuan. Seorang datuk kesejukan dimaki hujan. Dan seorang dato’ kesejukan disantuni pendingin hawa.
Membesar di rumah nenek (yang sekarang sudah pun menjadi rumah kami sekeluarga – tanpa nenek), saya punya hubungan cinta-benci dengan hujan. Hujan macam Jazz yang ironi tapi menenangkan. Tapi saya sukakan Punk Rock. Selepas terik yang menggigit dan menyakitkan, hujan pasti buat selimut berasa punya fungsi. Malang – rumah dengan atap zink dan binaan asal jadi, tak ada satu pun bahagian yang tidak disiram hujan. Dari bilik saya ke bilik ibu. Kemudian ke dapur – ruang tamu – bilik setor dan tandas. Semuanya dizalimi hujan. Ia bukan rahmat dan berkat melainkan celaka dan musibat. Saya tak dapat tidur, tilam saya pasti basah. Dan kalau saya tidur, saat terjaga, saya sudah di pulau. Ketika saya jejakkan kaki ke lantai, kulit saya mengecut. Sejuk dan dingin.
Ia cuma kisah sederhana tentang rumah dengan atap serba koyak dan dinding yang berparut luka. Tidaklah dapat saya samakan dengan tempat melepas lelah yang dimakan banjir. Tidaklah dapat saya samakan dengan tidur berlantai bumbung beratap langit. Namun hujan sering kali meresahkan. Meja kerja yang kembang dan terkopak-kopak ialah meja menulis anak-anak kecil bertatih menulis ABC. Mesin basuh yang bersalut lumpur ialah mesin mengitar baju kerja untuk kemudian disarung kembali. Patung-patung Frozen, Power Rangers dan Boboiboy semuanya tidak terselamat meskipun kuasa mereka tak tertanding lagi. Tatkala semuanya dilepaskan pergi ada letupan demi letupan bunga api mencalar langit. Mengejar KLCC dan Merdeka 118.
Sri Muda tidak lagi tegak. Ia membongkok tua. Lewat jendela media sosial, deretan #daruratbanjir memaksa jaga. Dia atas bumbung kereta, masing-masing memanggil, menjerit mahukan bantuan. Anak-anak belum makan dan bapa sarat terlantar. Di Johor, guruh tidak bersahutan dari langit melainkan petir sambar menyambar di dada saya. Dosa siapakah kali ini yang memaksa amuk Tuhan? Dosa siapa? Perdana Menteri atau Sultan? Perdana Menteri (kata mereka) bukan LGBT. Dan Sultan (katanya) bukan pemaksiat. Jadi, saat kalian merenung banjir, dosa siapakah yang kalian fikirkan?
Ia menikam seluruh tubuh saya – dari jauh tiada apa yang dapat saya hulurkan melainkan belas dan kasihan. Doa dan harapan. Keresahan dan kebimbangan ialah bunga api di siling kamar. Meruak di dada bilik sehingga ia akhirnya menjadi sebuah kemarahan. Tangan-tangan yang membayar cukai, mencelup dakwat di hari mengundi sedang terkapai-kapai. Dan Ismail Sabri bertepuk tangan kagum melihat persembahan langit. Dalam sebuah Keluarga Malaysia, orang-orang Sri Muda ialah anak tiri.
Banjir kali ini, bot serba tiada. Liputan sepi. Menteri semuanya tidur. Yang tinggal cuma kita ; berkejaran memanjangkan tangan. Butang ulangciap dipicit berkali-kali dan tanda pagar daruratbanjir berlari-lari di padang media sosial. Sri Muda resah menanti bantuan sedang negeri-negeri lain ikut sama berdebar menanti skuad bencana tiba. Ketika elektrik terpadam dan anak kecil tenggelam dalam tangisan, di sudut-sudut kecil setiap rumah ada tangan ditadah memohon kepada Tuhan. Titis-titis keresahan menjadi bah kemarahan. Kalau ditimbang nyawa setiap seorang daripada kita, tidaklah dapat dicagarkan dengan apa-apa.
Tanah ini ialah tanah yang berpelukan dengan air dan lautan. Sungai masih mengalir meski perutnya sering senak kekenyangan. Kuala Krai sering menangis. Temerloh kadang-kadang merintih. Hulu Langat saban tahun murka. Lalu, apakah lagi yang boleh menjentik nurani penguasa? Dari Johor, amukan Kim Kim masih lagi kedengaran. Suaranya halus namun tetap jelas berbisik. Sayang, bisikannya jelas kepada kita semua namun tidak kepada penguasa. Tanah yang sudah pasti dihenyak hujan, setiap tahun, dibiarkan tenggelam. Tanah yang sudah pasti dipukul bah, setiap Disember, diserahkan kepada bencana. Tanah yang diyakini dikotori muntah awan, setiap hujung tahun, dibiarkan mati dibunuh “banjir yang tak disangka-sangka”.
Ketika jeritan dipadamkan bunga api UMNO dan laungan semangat BERSATU, tangan-tangan kecil keluar beramai-ramai. Bermula dari Viva sehingga Hilux – orang-orang kecil yang tak punya apa-apa datang kembalikan semangat Sri Muda yang menua. Dari kegigihan Azwan Omar hingga semangat mereka di Gudhwara, tak seorang pun merintih mahukan undi di Hulu Langat. Anak-anak muda baik dari institut dengan kuota mahupun mereka yang bergantung kepada nasib dan keputusan Tuhan, tak seorang pun marah-marah saat menghulurkan paket gula dan tin susu. Semua hadir berpimpinan kerana ini semua common sense kan Tan Sri?
Dari Johor, saya merenung banjir. Memaut resah kerana yang saya ada cuma beberapa keping wang untuk saya salurkan. Ia mengingatkan saya kepada jeritan aktivis-aktivis kalau tanah ini mesti dipelihara. Kalau balak tak boleh terus-terusan ditebang. Kalau alam mesti disayang-sayang. Kepada yang perdana dan yang agong, siapakah antara kalian yang mahu menumpulkan kapak dan mematikan jentolak?
Dari Johor, saya merenung bencana. Menahan debar dan mengatur nafas kerana yang saya ada cuma harapan kepada Esa. Seperti apakah rasanya tidur malam yang perdana setelah memastikan kerusi dapat diduduki? Bagaimana indahnya beradu setelah darah balik mengalir – meruak – berperca-perca di lantai hutan?
Kita merenung bencana dengan kebimbangan. Tidak nyaman. Resah. Dan tak keruan. Alih alih, kita diejek potongan kek dan teriakan bunga api. Alih-alih, kita mahu dihadiahkan dengan pilihan raya dan pertandingan rebut kerusi. Apa cuma kita yang keresahan?
Menulis bukan untuk nampak bijak, memang bijak orangnya. Penggerak GERAK Malaysia dan Jurnal Sang Pemula.