Darah Muda

“Apa nak jadi biar jadi, janji jangan lupa diri. Ini cerita hey orang muda, hanya mahu bernyawa. Ini cerita darah muda, selamanya”.

Petikan lagu Darah Muda nyanyian kumpulan Bunkface yang popular sekitar tahun 2014. Dulu, biduanita negara kita, Saloma juga pernah menyanyikan lagu yang mempunyai tajuk yang sama. Ya, masa muda memang indah. Masa muda segalanya bergelora.

Jiwa. Darah. Nafsu.

Sehinggakan kadang-kadang kita seakan-akan juga hilang pertimbangan dek kerana mengikut perasaan dan darah muda. Menjadi muda juga seakan-akan memberi lesen untuk melakukan sesuatu yang lain daripada yang lain. “Biasalah, orang muda”, antara alasan yang selalu digunakan untuk merujuk kepada setiap tindakan yang dilakukan oleh orang muda, tidak kira tindakan itu baik ataupun membawa mudarat.

Zaman muda setiap orang juga berbeza-beza. Zaman muda ibu saya tidak sama dengan zaman muda saya. Ibu saya cenderung mendengar pop yeah yeah sewaktu muda, saya pula cenderung dengan lagu-lagu dari kumpulan ‘boyband’ antarabangsa. Zaman muda ibu saya agak ‘daring’ pemakaian beliau walaupun sewaktu bersantai, saya pula selesa dengan jeans dan t shirt. Hanya apabila malam minggu sahaja barulah ada sedikit kelainan kerana lumrah manjadi muda, malam minggu pastinya pergi bersuka-ria.

Zaman muda saya juga berbeza dengan zaman muda anak muda sekarang. Bukanlah saya hendak mengatakan saya sudah tua – saya masih muda ya! Namun sudah mula meniti usia dewasa dan sudah mula matang. Anak muda sekarang kebanyakannya lebih intelektual dan mula mempunyai kesedaran terhadap perkara-perkara yang lebih serius, yang sewaktu saya muda, saya dan rakan sebaya saya kebanyakannya tidak memberikan perhatian sangat. Sebagai contohnya perkara seperti perubahan iklim global, perkara-perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia seperti isu imigran dan hak kesamarataan dan juga tidak ketinggalan juga anak muda kini lebih mempunyai kesedaran politik.

Kalau diamati di laman sosial, semua anak muda fasih berborak mengenai politik. Banyak inisiatif dan kelab-kelab serta persatuan yang ditubuhkan oleh anak muda masa kini untuk menjuarai dan memberikan kesedaran politik kepada orang ramai. Saya juga banyak belajar mengenai selok belok politik dari adik-adik muda kerana, iya, saya akui walaupun saya lebih berusia, tidak semestinya saya lebih mengetahui. Itu adalah kenyataan yang sukar untuk diterima oleh ramai pihak, terutamanya “boomers”. Ramai yang mengatakan orang muda ini naif. Lurus. Tidak mempunyai banyak pengalaman hidup. Bagi saya pengalaman hidup setiap orang itu berbeza-beza dan pengalaman hidup itu sendiri adalah sesuatu yang subjektif. Kita tidak boleh menghukum seseorang kurang mempunyai pengalaman kerana mereka masih muda.

Malaysian United Democratic Alliance atau nama singkatannya MUDA adalah satu parti politik yang baru ditubuhkan dan diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Beliau bersama beberapa orang ikon muda dari pelbagai latar belakang mengambil inisiatif menubuhkan parti politik yang berjiwa muda, sama seperti nama panggilan parti tersebut kerana sudah muak dengan permainan politik tua di dalam negara kita ini.

Pendapat peribadi saya, saya menyokong dan mengalu-alukan penubuhan parti ini. Parti ini nampak segar dengan membawa idea orang muda yang lebih terbuka dan baru sejajar dengan peredaran zaman. Sewaktu awal pengumuman penubuhan parti ini, walaupun ramai yang ragu-ragu dengan hayat dan hala tuju parti ini, saya yakin dan berharap agar parti ini akan berjaya. Saya harapkan satu nafas baru dalam dunia politik Malaysia. Ya, saya punya harapan dengan mereka. Mereka mampu memberikan kejutan dan pembaharuan. Ini dapat dilihat dalam usaha mereka membantu mahasiswa terkandas akibat dari keputusan minit terakhir Kementerian Pendidikan Tinggi baru-baru ini. MUDA bersama-sama Solidaritas telah berjaya mengutip dana sebanyak RM51 ribu dalam masa 3 jam untuk membolehkan mereka membantu para mahasiswa yang terjejas dan terkandas. Mereka ternyata lebih efektif dan efisyen dalam mengendalikan krisis berbanding pihak kementerian. Inilah semangat muda yang kita mahu – progresif, cekap dan prihatin.

Namun baru-baru ini parti MUDA juga telah menggegarkan dunia politik negara kita. Di dalam kekecohan dan kemeriahan tanda pagar #MuhyiddinOut menjadi trending di laman sosial, MUDA tampil membuat kenyataan menyarankan agar semua parti politik berdamai dan duduk semeja dan membina kerjasama melebihi kepartian dalam meletak kebajikan rakyat sebagai keutamaan nombor satu. Hal ini telah menimbulkan pelbagai reaksi antara semua pihak terutama yang dari penyokong parti politik pembangkang yang menuntut agar kerajaan menjadi lebih kompetan dan efektif serta tidak berat sebelah dalam perlaksanaan undang-undang di mana terdapat banyak yang culas dalam kecuaian melaksanakan undang-undang dan tindakan terhadap menteri yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Secara peribadi saya amat terkejut dengan keputusan ini. Terlintas di fikiran saya mengapa MUDA mengambil keputusan untuk mengeluarkan kenyataan sebegini, di kala kemarahan rakyat terhadap kerajaan semakin meluap-luap. Adakah MUDA cuba menjadi hero? Adakah muda cuba menjadi sebuah parti oportunis? Apa sebenarnya objektif MUDA bila mereka menyarankan #PauseMalaysia di saat rakyat merasakan sangat tertindas dengan kerajaan sekarang?

Tindakan MUDA ini sedikit sebanyak telah memberikan kelegaan kepada pihak kerajaan, kerana naratif kemarahan rakyat sudah mula reda. Kenyataan yang dikeluarkan MUDA telah sedikit sebanyak membantu kerajaan membendung kemarahan rakyat. Jadi siapa yang mendapat keuntungan di sini, apabila situasi mendesak kerajaaan sudah mula mengendur? Rakyat tetap akan berada pada takuk yang sama, kerajaan semakin bermaharajalela. Setidak-tidaknya kemarahan rakyat yang terzahir melalui tanda pagar #MuhyiddinOut itu adalah satu simbol dan juga desakan kepada pihak kerajaan untuk bertindak segera dan efisyen. Namun apabila MUDA mula melontarkan saranan dan keperluan untuk #PauseMalaysia, semua itu semakin terpadam.

Ini bukan MUDA. Ini bukan darah muda. Ini bukan aspirasi anak muda. Anak muda seharusnya berani melawan kebatilan dan penganiayaan. Masihkah anda semua ingat lagi kepada Adam Adli, seorang anak muda yang melawan dengan agresif segala kebatilan kerajaan lalu. Keberanian Adam Adli ternyata tiada tandingannya kini di kalangan anak muda. Adam Adli sudah tentu meninggalkan legasi beliau dan legasi -legasi juga bersama-sama menyertai dan menjadi orang kuat kepada parti MUDA. Namun legasi Adam Adli hanya gah pada nama, tidak pada semangat. Ini pendapat peribadi saya kerana satu masa dahulu Adam Adli adalah seorang anak muda yang dilihat sebagai seorang “pembuat kacau”. Saya juga tidak pasti apakah pendirian Adam Adli terhadap #PauseMalaysia, namun yang saya ingin ceritakan di sini ialah sifat berani melawan Adam Adli yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhan regim kerajaan Barisan Nasional. Setidak-tidaknya pada masa itu Adam Adli tidak “pause”. Dia terus mara dengan semangat membara. Dengan darah muda yang menggelegak di setiap salur urat badan beliau.

Mungkin MUDA merasakan kita semua tidak perlu bertindak agresif kerana pandemik yang melanda dunia ini. MUDA, kalau tak kerana pandemik ini, rakyat mungkin sudah turun ke jalanan. Oleh kerana pandemik ini semakin mengganas maka rakyat memilih untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka secara online di laman sosial. Kenapa kamu pula bertindak seperti “party pooper”? MUDA seharusnya menjadi semangat kepada suatu kondisi. Saya cuba sedaya upaya melihat kenyataan MUDA ini dengan rasional dan adil, namun maafkan saya apa yang saya lihat ini adalah kenyataan dari sekumpulan anak muda yang naif, yang merasakan berbuat baik dan mengalah akan membawa hasil yang memberikan kemenangan.

Saya melibatkan diri di dalam dunia politik seawal usia 18 tahun. Saya tidaklah hebat akan tetapi pengalaman berada dalam bidang politik ini mengajar saya satu perkara yang saya betul-betul akui benar iaitu “to kill, or to be kill”. Ini politik. Tidak ada di antara. Yang ada hanya sesuatu yang jelas, ya atau tidak.

Anak muda tidak seharusnnya “pause”! Anak muda mesti mara. Anak muda mesti memanfaatkan semangat darah muda untuk membawa kebaikan kepada negara dan juga masyarakat. “Beri aku 10 pemuda, niscaya akan ku goncangkan dunia!”. Ini adalah frasa yang selalu digunakan oleh anak muda termasuk pengasas MUDA, Syed Saddiq.

Namun adakah #PauseMalaysia memberi naratif yang sama kepada frasa ini?

Saya faham niat baik MUDA yang ingin meletakan kepentingan rakyat melebihi dari apa jua di dalam negara ini. Kerana saya juga rakyat yang ingin diutamakan oleh MUDA. Akan tetapi bagi saya, mempunyai kerajaan yang efektif, kompetan, cekap , telus dan prihatin adalah keperluan setiap rakyat dalam negara ini. Maaf MUDA, kita tidak seirama dalam hal ini.

Saya memetik ciapan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Kerk Chee Yee;

“Good politics doesn’t come by when good people pause pursuing it. Continue pushing for reforms, accountability, good governance etc – that’s what good opposition must do now, especially in the context of Malaysian politics. That’s what Malaysia needs and deserves”.

Ciapan pendek ini cukup lengkap menggambarkan keadaan yang sepatutnya berlaku kini. Keadaan di mana anak muda perlu bangkit dan terus menekan kerajaan agar menjadi kerajaan yang lebih baik kepada semua rakyatnya.

Coretan ini bukan untuk menghentam MUDA. Bahkan saya pernah menulis mengenai MUDA dan tulisan saya disiarkan di sebuah akhbar portal. Saya sangat mengalu-alukan penubuhan parti MUDA yang saya gambarkan sebagai satu nafas baru kepada dunia politik Malaysia. Namun MUDA perlu menghapuskan stereotaip yang dilontarkan kepada mereka, kepada orang muda. Orang muda tidak naif. Orang muda bukan pengecut. Orang muda tidak mudah diperkecilkan. Orang muda tidak boleh diketepikan kerana “kurang pengalaman”. Ini antara stereotaipnya. MUDA kena buktikan mereka lebih dari ini dan bukan seperti ini. Mereka orang muda yang mempunyai visi. Yang melawan bila ditekan. Yang membantu bila diperlukan. Yang mengepalai bila keadaan kelam.

Bukan yang menyuruh berhenti ketika “peperangan” sedang rancak.

Komen