Daging Haram, Korupsi Dan Posisi Agama

DALAM sebuah buku berjudul Teologi Korupsi ada menjelaskan mengenai posisi korupsi dalam agama:

“Pada zaman Rasullulah SAW, amanah atau sesuatu yang dipercayakan pada seseorang tidak hanya dihayati sebagai kewajiban antara manusia, melainkan juga kewajiban yang harus dipertanggungjawabkan pada Allah. Pengkhianatan terhadap amanah meskipun dengan nilai yang relatif kecil dibandingkan dengan nilai pengkhianatan pada masa kini, dapat menyulut amarah Rasullulah SAW. Dan hal ini dipandang sebagai pengkhianatan secara langsung pada Allah dan Rasul-Nya.”

Sambung tulisan itu lagi,

“Meskipun kejahatan harta publik pada masa Rasullulah SAW masih belum canggih dan dampaknya pun belum massif, Rasullulah SAW telah memberikan sanksi moral yang cukup berat, yaitu tidak cukup mensolati jenazah seseorang yang pada masa hidupnya terbukti melakukan ghulul atau penggelapan harta rampasan perang sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh Abu Dawud. Berdasarkan Hadis tersebut Nahdatul Ulama sebagai organisasi sosial keagamaan terbesar  di Indonesia tepat kiranya memutuskan untuk mengimbau agar ulama tidak mensolati jenazah koruptor.”

Dalam tulisan berasingan dari buku yang berjudul  Tercelanya Suap Menyuap ditulis oleh  KH. Imron Al-Idrusy menegaskan bahawa:

“Menurut hukum dan ajaran agama Islam, bahawa perbuatan suap-menyuap, baik orang yang menyuap atau orang yang mendapat suap dianggap sebagai orang yang telah melakukan perbuatan tercela. Artinya, pelaku suap menyuap itu akan dilaknat oleh Allah Ta’ala.”

Saya fikir kedua kutipan ini sudah menjelaskan dengan terang mengenai posisi agama Islam terhadap rasuah. Maka kita boleh mempersetujui bahawa rasuah adalah najis jijik yang ditentang habis-habisan dalam Islam. Bagi mereka yang beragama Islam pula sudah tentu mengambil rasuah, mendokong koruptor atau mendiamkan hal rasuah dianggap sebagai orang yang memusuhi agama kerana tidak mengikuti perintahnya.

Kartel Daging Haram Dan Persoalan-persoalannya

 Isu daging haram ini bagi saya amat besar selain halal haramnya di dalam agama ia juga melibatkan kebersihan dan kesihatan. Bagaimana sekiranya daging itu merupakan daging hasil dari produk yang tidak berkualiti? Atau haiwan yang punyai penyakit? Siapa boleh pastikan hal ini dan pihak mana yang harus bertanggungjawab?

Kita tidak perlukan jawapan “dalam sisatan tak elok berspekulasi” sedangkan produk itu sedang berlegar di pasaran. Ya kerosakan sudah berlaku tapi bukannya kita tambahkan kerosakan seharusnya dikurangkan kesan kerosakan itu dengan cara yang paling pantas, berhemah dan bertanggungjawab. Bukannya berselindung di sebalik batu-batu kejahilan.

Ini termasuk menahan penjualan jenama daging yang diragui sehingga dijamin benar-benar halal barulah dijual. Sekarang bukannya masa menuding jari sesama sendiri  antara jabatan agama dan jabatan-jabatan lain, ataupun melindungi kaum pemodal yang mampu memberi hasil pulangan sekiranya melindungi perniagaan mereka. Masyarakat tidak mahu tahu semua itu kerana mereka sedar akibat kelalaian dan masalah integriti dari semua mereka ini merupakan punca korupsi berlaku.

Masyarakat juga tidak mahu isu integriti dan pecah amanah ini dikaliskan kepada isu bangsa dan agama. Kononnya ada syarikat bermata sepet yang memulakan operasi mengedarkan daging haram tersebut tanpa mendedahkan siapa pelaku korupsi yang membenarkan ia masuk ke dalam negara kita. Ingat pokok tidak akan bergoyang sekiranya tiada angin yang meniup. Dalam negara yang majoritinya beragama Islam, apatah lagi berbangsa Melayu dalam institusi awam, reputasinya dalam keadaan yang amat bahaya sekiranya tidak diselesaikan dengan betul. Akhirnya Islam tercalar bangsa Melayu pula dihina.

Banyak sangat teka-teki berbanding jawapan, malah jawapan ini pula melompat-lompat sepertinya mahu melepas tangan. Kita perlukan penjelasan tuntas dan siapa yang benar-benar bertanggungjawab. Halal itu selain terkandung dalam Islam ia juga melibatkan kebersihan, bagaimana sekiranya daging itu tidak halal malah kebersihan dan kesihatan haiwan sembelihan itu diragui. Tidakkah nanti mendatangkan musibah?

Dan harus diingat kebanyakan konsumer daging import ini merupakan dari kelas bawah kerana ia lebih murah berbanding daging segar yang ada di pasar. Siapa yang melindungi mereka? Sudahlah hidup susah, dapat makanan pula yang diragui, bertambah-tambah susah hidup mereka. Ini sepertinya mengikis empati orang-orang yang sepatutnya bertanggungjawab seterusnya melunturkan terus kepercayaan kita pada mereka.

 Dakwah Agama Di Dalam Negara

 Benar di dalam Islam amat memerangi rasuah, tapi bagaimana dengan posisi institusi Islam malah umat Islam di negara kita? Adakah mempunyai pemahaman yang selari?

 Peristiwa korupsi melibatkan daging haram ini merupakan satu pengajaran dari beribu pengajaran lain pada ketika ini terutama yang melibatkan hal korupsi. Jika sebelum ini kita berhadapan dengan kes korupsi dari menteri, peniaga dan institusi awam bukan melibatkan agama, ditinggal diam. Kali ini sepatutnya tidak.

Kerana peristiwa kali ini melibatkan kesucian agama iaitu halal dan haram sesuatu makanan. Soalnya adakah benar-benar orang agama, ulama, ustaz dan lebai, pelajar di dalam negara ini mempelajarinya juga mengambil posisi yang sepatutnya dalam mengutuk isu rasuah ini dan lainnya? Termasuk institusi-institusi agama yang ditubuhkan dari wang orang ramai.

Apakah muslim atau institusi agama bersedia menghabiskan idea-idea buruk rasuah ini secara bersungguh-sungguh dengan mengendangkan isu rasuah ini ke serata negara? Apakah forum-forum keagaamaan di televisyen dan radio mula beralih dari bercerita soal picisan semisal pengucapan hari Natal ke arah bercerita soal rasuah secara total?

Atau adakah parti politik yang menjerit-jerit selama ini mengatakan “Penganut Islam harus memimpin negara” itu demi kekuasaan hari ini menjerit dengan nada yang sama bahawa mereka sama-sama menolak rasuah? Atau semuanya diam membisu tanpa tahu di mana mereka waktu ini? Malah lebih teruk lagi berasosiasi dengan koruptor.

Sedar atau tidak, isu daging kartel ini akan senyap juga pada suatu tempoh, tetapi rasuah tidak. Sebab itu saya fikir mendidik masyarakat terhadap isu rasuah penting. Juga harus diingatkan bahawa masyarakat kita ini bernuansa agama, mereka berpegang kuat pada agama Islam khususnya jadi dakwah yang betul akan menjadi senjata ampuh untuk memupuk kesedaran kritis terhadap rasuah.

Kata Abdulrahman Wahib atau Gus Dur:

“Negara tidak akan hancur akibat bencana atau berbeda, tapi kerana moral bejat dan perilaku korupsi.”

Komen