COVID-19: Sebuah Rahmat Tuhan Pada Kita Semua

Agak lucu melihat perkembangan zaman kini, 20 hingga 30 tahun dahulu rakyat menyangka tahun 2020 akan dilimpahi rahmat kemakmuran, kekayaan nan kesejahteraan sejagat. Satu saat dalam masa yang maha terbentang luas untuk kita akhirnya berdiri bangga menyorak “kami bangsa Malaysia, bangsa manusia, telah berjaya!”

Secelik sepejam, akhirnya kita tiba juga pada tahun 2020. Malangnya sangkaan kita meleset, segalanya bukanlah apa yang dicita. Pada bulan pertama 2020, kita terdedah dengan ancaman perang nuklear Iran dan Amerika Syarikat dan kemudian bagai badai besar melanda, bulan seterusnya tiba satu wabak yang maha dahsyat. Mengakibatkan kematian pada jumlah yang tidak terkira, mengurung diri di rumah merupakan satu-satunya usaha yang boleh digiatkan untuk mengurangkan nyawa melayang.

Namun aku rasa wabak ini bukanlah satu kecelakaan yang besar malahan penyakit yang dibawa bukanlah penyakit sebenar yang kita alami. Bagi aku wabak ini adalah rahmat besar Tuhan yang maha pengasih. Menjawab doa-doa rakyat yang teraniaya. Wabak ini merupakan cara Tuhan mendedahkan pekung tangan-tangan jahat yang berselindung disebalik kemanusiaan palsu. Menyerlahkan betapa tenatnya masyarakat ini menghidap penyakit yang dicipta oleh hartawan, yakni penyakit yang sebenarnya kita hadapi adalah betapa hodoh dan buruknya sistem kebajikan kita dalam sistem ekonomi kapitalis dan politik perkronian. Sistem yang menjulang mereka yang kaya dan berkuasa, memuaskan hawa nafsu sendiri di atas keringat tulang empat kerat buruh rakyat.

Mereka yang kaya dan berkuasa ini tidaklah layak dipanggil rakyat, mereka patut dipisahkan daripada kita yang tertindas, kitalah rakyat yang sebenar dan mereka hanyalah bangsawan yang memeras hasil usaha jiwa kita. Selama ini mereka mengambil kesempatan atas kelemahan dan ketakutan kita. Disuap janji-janji kekayaan sekiranya kita berkerja tidak berhenti, kita akan menjadi setaraf dengan mereka. Disuap juga benih-benih kebencian dan perpecahan antara kita, mengalihkan perhatian kita dari raksasa sebenar yang bersembunyi sebalik parti-parti kebangsaan perkauman Melayu, Cina mahupun India. Kemudian mereka bersorak-surai melihat kita bercakaran antara kita, rakyat Melayu, Cina, dan India padahal kita sama susah, sama dahaga, sama lapar.

Akar umbi kesenjangan politik kita sebenarnya adalah antara rakyat dan hartawan. Dalam negara ini, jurang kekayaan diluaskan untuk mengekalkan penguasaan mereka dan jarang ada antara kita yang bertukar kaya tanpa menindas. Tatkala wabak ini melanda, apabila rakyat terpaksa berhenti membanting tulang, usaha kita yang selama ini mereka rampas untuk bermewah-mewah pun terhenti. Wabak ini menterbalikkan segala keadaan sedia ada. Sang hartawan kini menggelupur kelaparan untuk menampung kos kemewahan mereka. Menangis berlapkan sutera, tidur keresahan beralaskan permaidani, terduduk runsing berteduhkan bumbung empat tingkat. Pada waktu kita menanggalkan tali leher kita, kita juga menanggalkan tali gembala mereka.

Bukalah mata, capangkan telinga dan dengar betapa hinanya kita pada mata mereka. Semasa kerajaan dan dermawan ingin menghulurkan bantuan kewangan, mereka mencemuh seakan-akan kita tidak layak untuk menerima secebis wang itu walhal wang itulah untuk kita gunakan membeli bekalan susu anak, sekampit nasi supaya diri dan keluarga tidak menanggung kebuluran. Mereka mencemuh dalam keadaan perut kekenyangan sedang ada di antara kita tidur kelaparan di tepi longkang.

Kelak kemudian kita sudah mulai bebas untuk keluar membanting tulang mengais rezeki tanpa memakan harta bantuan, usahlah sudah memuji dan menyanjung hartawan yang iri hati pada rakyat kebanyakan. Sedarlah yakni ini adalah pergelutan dan pertarungan antara rakyat dan hartawan, pergelutan yang tak akan dimenangi andai kita masih lagi dibuai penipuan hartawan keji ini. Kita tiada pilihan lain untuk bersatu dan berhenti memberikan hasil keringat kita. Kita buktikan kepada bapa perkronian dan hartawan negara, Mahathir Mohamad, kita tidak mudah lupa!

Kita jaga kita.

Komen