COVID-19: Perubahan Bukan Lagi Satu Pilihan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Pandemik Covid-19 bukan saja mengancam nyawa dan tahap kesihatan, tetapi turut mengubah sama sekali cara dan gaya hidup manusia di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Walaupun ancaman wabak ini belum berakhir, namun kehidupan harian anggota masyarakat sudahpun mula berubah sedikit demi sedikit dan masing-masing perlu menyesuaikan diri dari segi mental dan fizikal untuk kelangsungan kehidupan seterusnya. Jadi tuntasnya, perubahan dalam cara hidup bukan lagi satu pilihan kepada rakyat kita yang turut terjejas teruk angkara virus berbahaya ini.

Sudah semestinya perubahan yang paling terkesan pada tahun ini ialah perubahan yang berlaku dalam sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Umat Islam cukup terkesan apabila tidak dapat mengimarahkan masjid dan surau seperi biasa termasuklah bersolat terawih berjemaah. Malah buat pertama kali juga kita tidak dapat pulang ke kampung merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga. Kita juga terpaksa mengehadkan aktiviti ziarah dan tidak digalakkan untuk mengadakan rumah terbuka. Ringkasnya Covid-19 telah mengubah tradisi sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Wabak ini menyebabkan kita terpaksa mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan berbanding perkara lain. Walaupun sedih dan perit namun kita perlu terima dan redha dengan perubahan ini.

Di samping itu, wabak ini juga telah “memaksa” dan “mendidik” anggota masyarakat kita untuk mengubah perspektif tentang amalan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Jika selama ini majoriti dari kita tidak begitu mempedulikan keperluan untuk menjaga kebersihan diri, kini ianya bukan lagi satu pilihan. Wabak ini sekali gus menyedarkan kita betapa amalan penjagaan kesihatan dan kebersihan tidak boleh diabaikan. Maka kini amalan mencuci tangan dengan kerap, menggunakan pensanitasi tangan, memakai penutup hidung dan mulut bila bergejala serta amalan penjarakan sosial mula menjadi cara hidup baru kita sekali gus menjadi titik perubahan yang tidak boleh kita tolak.

Budaya dan cara kerja anggota masyarakat kita juga berubah dengan begitu drastik sekali. Kalau sebelum ini bekerja dari rumah dianggap sesuatu yang masih “tidak biasa” dalam kalangan pekerja di negara ini, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wabak ini “memaksa” kita bekerja dari rumah. Kini baik sektor awam mahupun swasta mula menerima budaya bekerja dari rumah sebagai cara kerja masa hadapan yang amat signifikan dan memenuhi keperluan dunia pekerjaan. Jelas perubahan ini bukan lagi satu pilihan kepada majikan dan pekerja di negara kita. Misalnya, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Jalil Rasheed, bekerja dari rumah kini merupakan opsyen kekal, bukan hanya bagi tempoh sepanjang PKP sahaja, di mana PNB mula memperkenalkan cara bekerja dari rumah sebagai pilihan tetap kepada kakitangannya. Justeru majikan dan pekerja perlu berubah dari tidak biasa kepada biasa.

Sektor ekonomi adalah antara segmen yang cukup terjejas bila kerajaan terpaksa melaksanakan PKP angkara serangan wabak Covid-19 ini. Misalnya, peniaga kecil terutamanya dari kalangan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah golongan yang sangat terkesan dan hilang punca pendapatan secara total. Maka para peniaga juga dipaksa untuk berubah dari cara berniaga secara tradisional kepada norma baharu iaitu perniagaan dalam talian. Jelas sekali transaksi perniagaan dalam talian naik berlipat kali ganda ketika PKP termasuk urusan jual beli juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Jadi melangkah ke hadapan, jika para peniaga tidak mahu terus menaggung kerugian atau ketinggalan, mereka sudah tidak ada banyak pilihan selain berubah cara dan corak perniagaan agar boleh terus kekal relevan, selari dengan keperluan dan kehendak pengguna di mana pengguna kelihatan lebih selesa berjual beli dalam talian. Istilah seperti “COD”, “runner” dan “PM” bukan lagi perkara baru dalam kehidupan seharian kita.

Dalam pada itu, wabak ini juga memaksa dan menyedarkan rakyat betapa perlunya kita mengubah corak perbelanjaan supaya tidak berhadapan dengan masalah kewangan yang serius. Misalnya kini kita berbelanja dengan lebih berhemat dan berhati-hati dengan mengutamakan aspek jimat cermat serta berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Malah jika sebelum ini kita tidak memberi perhatian kepada aspek tabungan kecemasan, kini lebih sedar betapa tabungan kecemasan sangat penting untuk survival ketika dilanda krisis seperti ini. Maka perubahan ini juga bukan lagi satu pilihan.

Serangan wabak ini juga menyebabkan sektor pendidikan negara turut menerima kesan langsung. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika PKP misalnya menerima perubahan yang cukup drastik apabila guru dan murid dipaksa berinteraksi secara maya melalui pelbagai platform digital. Konsep e-pembelajaran mula melanda dunia pendidikan negara. Ini termasuklah di peringkat universiti apabila sesi pembelajaran turut dilaksanakan secara maya. Jadi guru dan pensyarah tidak mempunyai pilihan lagi, selain mengadaptasi diri dan menerima serta melaksanakan perubahan yang diperlukan. Tuntasnya, perubahan dalam sektor pendidikan juga bukan lagi satu pilihan.

Jelas sekali wabak ini mula mengubah cara hidup, tingkah laku dan pemikiran anggota masyarakat kita secara total. Justeru hanya yang cekal, tabah dan bersedia serta berani untuk berubah sahaja mampu bertahan dan meneruskan survival kehidupan masing-masing. Ternyata pilihan kita sangat terhad iaitu, sama ada kita berubah atau persekitaran akan mengubah kita. Semoga kita terus diberi kekuatan untuk melazimi segala perubahan yang sedang dan bakal berlaku.

Komen