COVID-19: Harta, Pangkat, Darjat Atau Bangsa Tidak Mampu Menyelesaikan Masalah

Penularan wabak novel Koronavirus atau nama rasminya COVID-19 telah membimbangkan masyarakat dunia. Bermula dari sebuah bandar di China iaitu Wuhan, wabak itu menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat, kasta, darjat atau nama.

Seagung-agung Putera Charles hinggalah sebawah-bawah darjat manusia, COVID-19 akan menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal warna kulit, agama, bangsa dan budaya. Sehingga hari ini juga, dunia menyaksikan bagaimana negara berstatus hegemony dunia menjuarai carta kes positif COVID-19.

Hari ini kita dapat melihat, sehebat mana kereta kebal di darat, seangkuh mana pun pesawat pejuang di udara, segagah mana pun kapal perang di laut, tiada satu pun yang dapat melawan dengan musuh yang satu ini. Bagaimanapun, dunia dapat menghentikan penularan wabak COVID-19 ini hanya dengan bersikap jangan sombong dan berkasih sayang sesama manusia.

Jika kita fahami akan jangka hayat dan bagaimana virus COVID-19 ini boleh tular, pasti sahaja kemenangan akan milik kita semua. Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus COVID-19 boleh tersebar melalui titisan cecair daripada hidung dan mulut. Penyebaran itu berlaku apabila seseorang yang dijangkiti virus tersebut terbatuk ataupun sekadar menghembuskan nafas.

Kemudian, titisan cecair ini akan bertebaran pada pelbagai objek dan permukaan. Setelah itu, orang lain yang menyentuh permukaan yang tercemar tadi pula akan menerima virus tersebut. Dengan semudah itu, wabak ini mencemar dari segenap tempat di seluruh dunia dan hinggap kepada sesiapa sahaja.

Bagi mengekang permasalahan ini, WHO turut mencadangkan agar seluruh umat manusia mengamalkan penjarakan sosial. Berdasarkan nasihat WHO, jarak sosial paling ideal adalah sejauh satu meter atau tiga kaki. Penjarakan sosial ini seharusnya dipraktikan oleh seluruh golongan tanpa mengenal kelas. Sama ada anda dari kumpulan B40, M40 mahupun T20, sewajibnya penjarakan sosial ini diamalkan. Pada detik ini kita sedar bahawa hanya penjarakan sosial sejauh satu meter mampu menyelesaikan masalah besar.

Selain itu, amalan berada di dalam rumah juga dapat menghentikan penularan wabak COVID-19 ini. Secara tradisionalnya konsep berperang adalah dengan turun ke medan perang bagi memerangi musuh. Namun, pada waktu ini kita harus tahu bahawa musuh kita adalah spesis yang tidak nampak dek mata kasar. Hanya rumah sahaja yang mampu menjadi benteng pertahanan dan dengan cara itu sahaja kita akan menjuarai perang ini.

Kendatipun seluruh manusia yang mempunyai rumah berada di dalam rumah masing-masing, jangan dilupakan kepada mereka yang berada di jalanan. Kita tidak akan sesekali menang dalam peperangan ini seandainya kita lupa kepada rakan-rakan dan saudara kita yang berlantaikan kaki lima dan berbumbungkan langit dunia.

Dalam ketakutan untuk menjuarai peperangan ini, hulurkan sedikit bantuan buat rakan-rakan kita yang tidak senasib seperti kita semua. Jika tidak berani mahu turun ke lapangan, sudi-sudikanlah menghulur sedikit bantuan. Tiada jumlah yang boleh menentukan kemampuan kita. Tiada paksaan dalam memberi bantuan. Berilah dengan seikhlas hati seiring doa kepada Allah swt agar rakan-rakan kita dijalanan ini mampu melawan virus ini dengan cara mereka sendiri.

Bagaimanapun, sedikit pesanan yang harus diambil dan disedari oleh seluruh manusia. Dalam keghairahan kita menghulurkan bantuan, campakkan sedikit kerisauan di dalam hati. Jangan salurkan bantuan anda kepada akaun perseorangan. Jika mahu memberi bantuan, salurkan kepada mereka yang mempunyai lesen dan berdaftar atas nama persatuan. Lebih hebat dan bagus seandainya anda semua menyalurkan bantuan kepada akaun bank penerima bantuan. Percayalah, dengan sejumlah bantuan yang kita berikan, sebenarnya, kita sedang membantu dunia menjadi lebih baik. Sekecil-kecil pemberian mampu menukar sebesar-besar landskap keadaan.

Semenjak penularan wabak COVID-19 ini, kita dapat lihat bahawa kita semua sama. Tatkala seseorang itu didapati positif, mereka akan ditempatkan di tempat yang sama dan melalui proses yang sama. Sekayangan atau setanah mana pun status pesakit itu, apabila terlalu serius akan ditempatkan di ICU dan sekiranya perlu akan diberi bantuan alat pernafasan.

Jadi, sedarlah kita pada waktu ini bahawa setiap yang kaya pasti akan sakit seperti yang miskin. Setiap yang miskin pasti akan mati seperti yang kaya. Ketika ini sedarlah kita akan sebanyak mana figura angka di dalam akaun simpanan bank tidak dapat dibeli akan kesihatan. Maka, seandainya disahkan positif, hormatilah mereka yang merawat anda. Berkawanlah dengan mereka yang berkuarantin dengan anda. Saling mengenalilah kalian di antara satu sama lain. Gunakan masa ini untuk kita kenal dan tahu mengapa dia kaya dan mengapa dia kurang berkemampuan. Belajarlah untuk tidak sombong dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Secara kesimpulannya, dalam waktu pandemik ini tiada siapa yang lebih hebat melainkan diri kita sendiri. Seharusnya kita tanam di dalam diri bahawa, sebenarnya, kita lah barisan hadapan dalam peperangan ini. Segala-galanya akan berubah hanya dengan tindakan dan kelakukan kita sahaja.

Bukan itu sahaja, runtuhkan segala tembok ego yang pernah kita bina. Jika selama ini kita berbangga dengan bangsa, ketahuilah bangsa bukanlah vaksin kepada virus ini. Jika selama ini kita menjungjung kekayaan, ketahuilah sebanyak mana pun angka pada nota bank tidak mampu melawan pandemik ini.

Sementara para pakar mencari solusi yang terbaik, hanya penjarakan sosial, kuarantin dan rawatan di hospital sahaja ubat terbaik untuk menyelesaikan segala permasalahan melanda. Ayuh, kita melawan musuh ini bersama-sama tanpa sebarang ego dan disimpulkan rasa kasih dan sayang.

Komen