COVID-19 Dan Pengurusan Krisis Berkesan

Walaupun kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan wabak COVID-19 terus menjadi ancaman, satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah pengurusan dan pengendalian krisis ini di negara kita dilihat cukup baik dan berkesan. Ianya diakui oleh pelbagai pihak termasuk negara luar sehingga ada yang menamakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai antara tiga orang doktor yang terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak COVID-19.

Penularan wabak COVID-19 di negara kita menyerlahkan betapa pentingnya aspek keberkesanan pengurusan dan pengendalian sesuatu krisis yang berskala besar yang mempunyai impak langsung kepada pelbagai aspek kehidupan rakyat dan pembangunan negara. Secara umumnya krisis bermaksud satu masalah besar yang muncul secara tiba-tiba yang tidak dijangkakan dan boleh memberi kesan negatif kepada semua pihak yang berkepentingan. Manakala pengurusan krisis bermakna, satu kaedah yang sistematik dan tersusun bagi menangani sesuatu krisis yang berlaku.

Aspek pengurusan krisis COVID-19 di negara kita mula dilihat mustahak apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pihak berkuasa yang paling tinggi mula mengambil alih aspek pengurusan dan pengendalian krisis ini. Secara prinsipnya MKN bertanggungjawab menyelaraskan dasar yang berkaitan untuk keselamatan negara dan arahan mengenai langkah-langkah keselamatan termasuk gerakan-gerakan keselamatan, ketenteraman awam dan perkara lain melibatkan aspek keselamatan rakyat dan negara. Dalam konteks ini, MKN pula mendapat bantuan penuh dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pihak yang terlibat langsung dalam krisis ini, di samping agensi lain seperti polis, bomba, angkatan tentera, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi di peringkat negeri.

Antara komponen penting pengurusan krisis ialah aspek komunikasi krisis. Komunikasi yang berkesan ketika krisis amat penting untuk mengurangkan konflik sekali gus membantu memupuk sokongan dan kepercayaan. Dalam konteks wabak COVID-19 ini aspek komunikasi krisis yang berkesan dilihat cukup mustahak kerana pihak kerajaan perlu meyakinkan rakyat bahawa wabak ini sedang diuruskan dan dikendalikan dengan baik. Maka kita dapat lihat betapa lancarnya urusan komunikasi krisis ini apabila MKN berjaya menyelaraskan pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kenyataan dan membuat hebahan kepada media supaya sesuatu maklumat itu tepat dan sahih serta sampai ke pengetahuan rakyat. Misalnya, laporan harian status kes COVID-19 hanya dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan di bawah penyelarasan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC). Setiap hari media akan mendapatkan laporan beliau dan menghebahkannya kepada rakyat, maka tidak timbul sebarang pertindihan laporan atau kekeliruan dalam fakta yang dilaporkan.

Begitu juga halnya dalam aspek pengurusan PKP dan keputusan-keputusan lain yang berkaitan di mana ianya hanya dibentangkan dan dihebahkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hampir setiap hari Ismail membuat sidang media (Non Health) untuk memaklumkan kepada rakyat keputusan terkini membabitkan PKP dan urusan yang berkaitan dengannya. Sementara itu, keputusan sama ada meneruskan PKP atau tidak pula hanya dibuat oleh Perdana Menteri sahaja. Aliran rantaian arahan dan komunikasi ini dilihat cukup berkesan kerana berjalan dengan sangat lancar, teratur dan bersistematik.

Di samping itu pihak MKN juga telah mewujudkan medium komunikasi rasmi seperti aplikasi telegram serta media sosial seperti facebook untuk menyebarluaskan segala informasi dan keputusan terkini untuk makluman dan pengetahuan rakyat. Malah kenyataan berkaitan penafian sesuatu berita palsu juga sering dibuat secara efisien supaya rakyat tidak tertipu dan terkeliru dengan berita palsu yang disebarkan. Manakala sebagai pusat informasi sehenti, rakyat juga boleh mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan menghubungi Pusat Operasi Negara di talian hotline 03-8888 2010 (pertanyaan berkaitan PKP) serta boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) untuk sebarang maklum balas berkaitan COVID-19. Jadi tuntasnya, aspek pengurusan komunikasi krisis sedang berjalan dengan begitu lancar, teratur, efisien dan berkesan. Penulis percaya rakyat cukup yakin dan percaya dengan pengurusan krisis komunikasi yang sedang dizahirkan oleh pihak kerajaan.

Satu lagi komponen penting pengurusan krisis ialah aspek penyelarasan agihan bantuan kepada golongan yang memerlukannya di mana JKM menjadi agensi pusat yang mengawalselia proses pengumpulan dan pengagihan bantuan ini. JKM telah mewujudkan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam untuk melaksanakan proses ini dan bantuan yang diterima pula diagihkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA. Dengan penyelarasan ini kita dapat mengenalpasti dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang benar-benar terkesan dan memerlukan bantuan secara teratur dan sistematik.

Manakala dalam aspek keselamatan secara keseluruhan terutamanya dalam penguatkuasaan arahan PKP pula, kita dapat lihat penyelarasan yang baik antara pihak polis yang bekerjasama rapat dengan angkatan tentera bagi mengawal pergerakan anggota masyarakat sekali gus mengurangkan risiko penularan wabak ini. Kolaborasi strategik antara polis dengan angkatan tentera ini memantapkan lagi proses keseluruhan aspek pengurusan krisis pada ketika ini.

Jadi secara keseluruhannya kita dapat lihat ekosistem pengurusan krisis di negara kita sedang berada pada landasan yang betul, berjalan dengan baik dan lancar serta amat berkesan apabila pihak kerajaan berjaya membuat penyelarasan yang efisien. Tahniah dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat. Semoga pada akhirnya keberkesanan aspek pengurusan dan pengendalian krisis ini akan membantu kita mengurus, mengendali dan mengawal sepenuhnya ancaman wabak COVID-19.

Komen