Confirmation Bias: Aku Betul, Orang Lain Salah

Pernahkah anda terfikir kenapa golongan anti-vaksin menolak kepentingan penggunaan vaksin meskipun sudah banyak kajian yang membuktikan penggunaan vaksin itu sangat penting? Ataupun kenapa golongan flat-earther meyakini bumi ini rata walaupun ahli sains mengatakan sebaliknya?

Segelintitr individu ini dilihat berpegang teguh dengan suatu perkara berpandukan hanya satu sumber walaupun segunung sumber lain yang sahih menyatakan sebaliknya.

Salah satu sebab perkara ini terjadi ialah kerana sejenis bias kognitif yang digelar ‘confirmation bias’ iaitu kecenderungan manusia untuk mencari bukti-bukti untuk menyokong kepercayaannya dan mengabaikan bukti-bukti yang menyatakan sebaliknya.

Sebagai contoh, bayangkan seseorang memegang kepercayaan bahawa orang kidal lebih kreatif daripada orang yang bukan kidal. Setiap kali orang ini bertemu dengan orang yang kidal dan kreatif, mereka akan memproses ciri tersebut dan menjadikannya sebagai bukti yang meyokong apa yang sudah mereka yakini iaitu “orang kidal, kreatif”.

Perkara ini terjadi hasil daripada pengaruh keinginan manusia itu sendiri terhadap suatu kepercayaan atau pendapat. Apabila seseorang menginginkan suatu kepercayaan itu betul atau pada awalnya mereka sudahpun cenderung dengan kepercayaan itu, mereka akhirnya akan meyakini kepercayaan tersebut. Semua orang yakin bahawa kepercayaan mereka berpaksikan pertimbangan fakta dan maklumat yang betul dan bersifat rasional namun hakikatnya ia selalu disebabkan oleh dorongan untuk fokus kepada maklumat yang hanya mengesahkan perkara tersebut dan menolak atau tidak mencari maklumat yang menimbulkan keraguan padanya. Jadi, mereka hanya berputar dengan maklumat-maklumat yang mensahihkan kepercayaan itu.

‘Confirmation bias’ memberi kesan terhadap bagaimana cara kita mengumpul, memproses, menafsir dan mengingat maklumat yang ada. Misalnya, orang yang menyokong atau menentang suatu perkara tertentu tidak hanya akan mencari maklumat untuk menyokongnya, mereka juga akan menafsirkan maklumat supaya selaras dengan pendapat mereka. Mereka juga akan mengingat suatu maklumat yang hanya berkaitan untuk mempertahankan pendapat tersebut. Beberapa eksperimen telah dijalankan untuk membuktikan perkara ini.

Pada tahun 1960, seorang ahli psikologi kognitif, Peter Cathcart Wason melakukan eksperimen yang dikenali sebagai ‘Wason’s Rule Discovery Task’. satu set urutan nombor, contohnya 2-4-6, diberikan kepada subjek dan mereka perlu meneka apakah kaedah yang digunakan untuk membina urutan nombor tersebut dengan memberikan set urutan nombor yang lain. Berdasarkan set urutan nombor yang diberikan subjek membentuk hipotesis ia dibina menggunakan kaedah nombor genap lalu mereka menguji hipotesis tersebut dengan mencadangkan beberapa set nombor seperti 8-10-12 dan 18-20-22. Maklum balas untuk setiap set nombor yang mereka berikan sentiasa positif jadi dengan beberapa kali ujian, mereka berpuas hati dengan hipotesis mereka. Namun, kaedah yang mereka sangkakan itu salah kerana set urutan nombor itu dibina dengan hanya menambahkan nombor, tidak spesifik kepada nombor genap sahaja. Kesilapan subjek ialah gagal untuk menguji kesalahan hipotesis mereka dengan nombor yang tidak selaras dengan kaedah yang mereka sangkakan seperti menguji menggunakan set nombor 7-8-9.

Eksperimen tersebut menunjukkan bahawa manusia mempunyai kecenderungan untuk mencari maklumat yang mengesahkan kepercayaan mereka yang ada dan apabila sudah rasa berpuas hati mereka berhenti mencari maklumat tambahan yang lain.

Dalam kajian lain yang dijalankan University of Minnesota pada tahun 1979 oleh Mark Snyder dan Nancy Cantor, dalam masa seminggu subjek membaca sebuah buku tentang jane, seorang digambarkan dengan kedua-dua ciri introvert dan ekstrovert dalam beberapa situasi. Kemudian, subjek akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan diminta untuk memutuskan adakah pekerjaan yang dicadangkan untuk jane merupakan cadangan yang baik. Satu kumpulan ditanya adakah jane sesuai untuk menjadi seorang pustakawan dan kumpulan yang lain ditanya adakah dia sesuai menjadi seorang ejen hartanah. Dalam kumpulan pustakawan, subjek dengan mudah mengingati semua saat-saat yang membuatkan jane tampak seperti seorang introvert, mengabaikan saat-saat dia kelihatan lebih ekstrovert. Manakala, kumpulan ejen hartanah melakukan perkara yang bertentangan, mereka mengingat semula perwatakan ekstrovert jane dan mengabaikan perwatakan introvertnya. Selepas itu, kumpulan-kumpulan itu ditanya sama adakah jane sesuai untuk pekerjaan lain, kebanyakan mereka berpegang pada penilaian asalnya, mengatakan bahawa dia sama sekali tidak sesuai untuk pekerjaan lain, bahawa dia terlalu introvert atau terlalu ekstrovert, bergantung pada soalan.

Kajian ini menunjukkan bahawa memori mempengaruhi pendapat kita dan menjadikan kita mangsa confirmation bias, mengingat perkara-perkara yang menyokong pendapat kita, melupakan perkara-perkara yang menyatakan sebaiknya.

Ya, perbezaan pendapat di antara masyarakat adalah sesuatu yang semula jadi dan tidak dapat dielakkan, malah kita juga patut meraikan perbezaan tetapi membenarkan pendapat berdasarkan fakta yang tidak benar adalah satu kebaculan terhadap ilmu, kadang-kadang boleh juga menjadi sesuatu yang berbahaya untuk kesejahteraan masyarakat sejagat. Antara contoh yang jelas bagi kes ini ialah berpendapat bahawa vaksin memberi kesan yang buruk. Padahal sudah ada peristiwa dahulu yang menunjukkan kesan dunia tanpa vaksin, contohnya penyakit batuk kokol di jepun menjelang tahun 1979 yang mencanak naik akibat ramai rakyatnya tidak mengambil vaksin.

Jadi, macam mana kita nak yakin dengan kepercayaan atau pendapat kita? Atau lebih tepatnnya cara untuk mengelakkan ‘confirmation bias’ ini?

Pertamanya, sudah tentulah kita perlu tahu dan faham tentang confirmation bias

Realitinya, kita semua mempunyai ‘confirmation bias’ (bahkan, tulisan ini pun bersifat bias). Walaupun kita sangat yakin bahawa kita adalah seorang yang logik dan rasional, besar kemungkinannya kita tetap akan ‘bias’ dalam membentuk kepercayaan atau pendapat kita dipenghujungnya. Jadi, di samping menggunakan suatu maklumat semata-mata untuk mempertahankan kepercayaan yang dipegang, sebaliknnya kita juga perlu mencari maklumat yang mencabar kepercayaan tersebut. Dalam konteks ini, kita perlu bersikap skeptik dan sentiasa mempersoalkan atau membahaskan suatu kepercayaan atau pendapat. Dengan itu, bukalah kotak intelek seluasnya dan cari rujukan melalui segenap perspektif supaya kita dapat melihat suatu perkara dengan jelas.

Tentang Penulis

Ahmad Basri adalah siswa Universiti Sains Islam Malaysia dalam jurusan Undang-undang dan Syariah. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen