Masyarakat kita semakin lumpuh tertimbus timbunan kumbahan toksik konservatif agama yang kolot, jumud dan sempit. Ianya melimpah menjadi banjir kilat, bertakung menjadi rumah pembiakan agas. Tiada yang mampu melepaskan diri – atau sekurang-kurangnya – melerai belenggu pemikiran tabu ini lebih-lebih lagi ketika ia membuat hubungan intim bersama kuasa – bersenggama di atas ranjang daulah. Melahirkan zuriat hegemoni menyamai algojoh yang memenggal kepala korbannya.
Perlawanan mu’akkad – yang dituntut – adalah membasmi rigiditi konservatif agama yang memasung kepala rakyat dan umatnya menjadi banduan sambil menggigit kepercayaan agama dengan gigi gerahamnya.
Bahkan “nahi mungkar” ini telah ditampilkan dengan kemas, rapi dan tersusun dalam La Luna – filem tukangan M. Raihan Halim. Mula ditayangkan pada November 2023 dan naratif yang termuat dalam filem ini telah merumuskan kekerasan konservatif agama yang telah berlangsung dulu dan kini. Ianya menggambarkan hegemoni yang sahih dalam pengamalan agama para konservatif kolot dalam negara – bahkan di setiap inci planet ini.
Penampilan Hanie sebagai watak mujaddid (pembaharu) dalam filem ini telah menghuru-harakan segala hukum kanun yang terkandung dalam kitab hegemoni Kampung Bras Basah. Hanie dengan cemerlangnya berjaya mengetuk kepala para penguasa konservatif agama dan polis moral hanya dengan berbekal coli dan seluar dalam g-string.
Walaupun usahanya terlihat sebagai paradoks yang melanggar pantang larang Kampung Bras Basah – kampung paling religus – dan ditentang oleh angkatan polis moral yang membolot tafsir agama mengikuti nafsu konservatif mereka yang batil, Hanie tetap berani menengking kebejatan-kebejatan yang telah menjadi dogma dalam kepercayaan bermasyarakat di kampung itu.
Melawan Tok Hassan – karakter yang menampilkan hegemoni agama dengan pemikiran konservatif yang totok – agamawan korup yang memanipulasi institusi agama seperti masjid untuk kepentingan dan kedudukannya. Menampilkan agama dalam imej yang keras, prejudis dan tidak manusiawi. Turut menggambarkan agamawan literal yang menanggalkan teks daripada maknawi agama yang manusiawi. Anti perubahan dan dinamika seperti Tok Hassan ini sering menggunakan pengaruhnya untuk memancung ideologi yang berseberangan dengan kepentingannya tanpa pertimbangan rasional.
Maka kemudian keputusan mereka ini diterima sebagai dogma dan dibalut dengan gamis yang diadun dengan matan hadis dan nas agama yang difahami secara harfiah – bahkan mereka juga menendang jauh pertimbangan ‘urf dalam pengamalan agama dalam masyarakat. Islam bengis, benci dan kaki bodek ini telah menjadi jersi paling wahid para agamawan konservatif yang gagal menyampaikan rahmat sekalian agama dalam Islam. Ketika orang ramai mula menjauhi dan menjeling kepada agama, mereka akan menggunakan instrumen agama yang paling ampuh untuk menujah muka para manusia fasad di mata mereka iaitu “Allah murka kalian”, “Allah tak redha kepada kalian”. Ketika ini, kita turut bersoal tanya, apakah keupayaan para hegemoni batil ini untuk mengetahui keputusan Tuhan untuk murka atau redha? Siapakah yang mereka jadikan sumber untuk mengetahui keputusan yang diambil oleh Tuhan?
Akhirnya, penampilan agama tercemar dan kelihatan sebagai ajaran pembuli, selektif dan anti dinamika. Bahkan beberapa kemungkaran ditanggapi sebagai tanggungjawab dan amanah daripada Tuhan dan Rasul.
Ini kenampakan jelas apabila filem ini berjaya menelanjangkan sisi batil pemikiran konservatif agama apabila ianya bukan sekadar membentuk masyarakat beragama yang bengis dan kaki intai, tetapi turut menanamkan benih keganasan dan kekerasan pada seketul daging mereka – yang kata Nabi jika ianya baik, maka baiklah seluruhnya, jika ianya buruk, maka buruklah seluruhnya – iaitu hati mereka.
Yam, perempuan yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga dalam filem ini akibat dikasari oleh lelaki partriarki keparat dengan kepercayaan konservatif agama yang batil iaitu suaminya sendiri. Agamawan dan masyarakat menjadi tuli, bisu dan pekak apabila diskriminasi dan keganasan semisal ini berlegar dalam sfera publis. Para keparat patriarki agama masih meluruskan tajwid dan makhraj mereka sehingga tidak sempat menemukan nas agama yang menyuruh kepada emansipasi perempuan. Tiada ibrah sosial yang tertangkap daripada sirah nabawiyah dan perempuan hanya menjadi perbincangan sebatas tudung dan aurat sahaja di dalam pengamalan agama kefekah-fekahan. Akhirnya agama terpapar sebagai kepercayaan yang hadir untuk melunaskan ego lelaki partriarki-konservatif untuk terus rasa berkuasa ke atas perempuan dengan sokongan tafsiran agama yang cenderung melihat lelaki-perempuan dalam kaca mata kasta.
La Luna Yang Tajam
Filem ini telah merumuskan naratif dan segala sepak terajang pemikiran konservatif agama yang mengakar dan tumbuh mendiktat pemikiran masyarakat kita dengan cemerlang. Kita menjadi kebulur menantikan para pembaharu agama yang gencar menaakul persoalan agama – dan tidak terperangkap dalam polemik Mahkamah Syariah vs Syariah Islam – serta tampil mewakili masyarakat atas tiap-tiap fatwa hegemoni agama yang menyanggahi nilai sejagat yang dibawa oleh para Rasul dalam kitab dan khitab Tuhan.
La Luna telah membawa persoalan serius dengan jalan cerita yang humor apabila para polis moral yang tidak dilantik oleh mana-mana malaikat daripada langit ketujuh telah menghambat dan membuli umat yang melakukan kesalahan sedangkan mereka berlagak sakral dan tidak memikul sebarang dosa. Polis moral kita yang sanggup bersengkang mata mengetuk pintu-pintu hotel pada tengah malam sambutan tahun baru semata-mata untuk menyelidik samaada zakar yang dimasukkan ke dalam faraj dalam kamar itu sudah didaftarkan atau belum.
Semoga lebih banyak filem tempatan menyerupai La Luna – mengkritisi keputusan hegemoni dan keputusan masyarakat yang prejudis – serta mengangkat banyak lagi naratif terpencil seperti keganasan rumahtangga, kebebasan berekspresi, agama yang rahmah dan persoalan-persoalan manusiawi yang menginspirasikan agar masyarakat kita dapat mengamalkan agama dengan esensinya yang asli, dinamik dan sejagat.
Memetik Ben Bayyah- ulama’ sufistik yang manusiawi dalam kalam-kalamnya;
“We don’t want a place where Muslims feel safe and other people don’t feel safe. We want a land where everyone feels safe”
Rien SD adalah seorang anak Negeri Di Bawah Bayu yang juga merupakan Koordinator di Cahaya Society dan penulis buku berjudul Muda & Derhaka.