CITF: Antara RM70 Juta Yang Dipersoalkan Rakyat Dan 2.5 Juta Dos Vaksin Yang Tersalah Kira

Ada seorang rakyat Malaysia merangkap pembayar cukai telah ditangkap polis pada waktu malam kerana satu ciapan Twitter beliau yang kalau kita renung-renungkan, tidaklah semerbahaya ciapan anti vaksin yang jauh besar mudaratnya dalam usaha kita memerangi pandemik Covid-19.

Bukan sahaja tuan badan yang ditangkap, turut dirampas selain telefon bimbit adalah router dan modem miliknya. Sukar juga untuk kita fahami kenapa router dan modem boleh dikira sebagai bahan bukti penting untuk siasatan ini. Dan nasib baiklah pihak polis tidak angkut sekali port Unifi kawasan taman perumahan tersebut.

Ciapan beliau di Twitter yang menjadi isu tersebut berbunyi:

“Betul. MySejahtera tak dapat funding RM70 juta tu. MySejahtera and current portal are exclusive of the budget. The one yang dapat funding RM70 juta tu adalah team yang manage AstraZeneca. From the booking sampailah cucuk vaksin. Dan main con dia adalah.. jeng jeng jeng..” (@ChairmanGLC)

Isu yang dibangkitkan ialah tentang peruntukan RM70 juta yang katanya digunakan untuk membangunkan laman sesawang atau sistem vaksin. Selepas melihat kepada huru-hara, kelembapan dan kelemahan agihan vaksin Covid-19, maka rakyat mempunyai sebab yang kukuh untuk merasa resah dan bertanya pada kerajaan. Nilai RM70 juta bukanlah jumlah wang yang sedikit. Apatah lagi ia adalah duit rakyat hasil kutipan cukai dan sebagainya. Ketika kerajaan asyik menyebut negara dibebani hutang yang tinggi dan ekonomi merudum akibat pandemik lalu menjejaskan pendapatan negara, penting untuk kita pastikan setiap sen dilaburkan dengan berfaedah, bukannya masuk ke tong sampah.

Namun keresahan dan pertanyaan rakyat akhirnya dibalas dengan laporan polis oleh pihak yang sepatutnya menjawab persoalan tadi. Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) telah dikenal pasti sebagai pihak yang membuat aduan laporan polis berkenaan ciapan Twitter tersebut yang kononnya boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai. Mungkin ada benarnya, kerana tidak dinafikan siapalah yang tidak gusar dan bimbang bila dapat tahu RM70 juta mungkin sudah dihabiskan untuk satu sistem yang langsung tidak berguna.

Akan tetapi jika itulah kerisauan CITF dan pihak kerajaan, maka rasanya kita semua juga berhak merasa risau dan terus sahaja hilang keyakinan bila CITF sendiri tersilap memberi data berkenaan agihan vaksin mengikut negeri.

Kesilapan ini berlaku pada 31 Mei apabila CITF mengumumkan bahawa sejumlah 2,909,670 dos vaksin Covid-19 telah diagihkan ke Selangor tetapi pada masa yang sama hanya 398,029 dos vaksin telah disuntik kepada penerima, sekaligus bermaksud ada lebih 2.5 juta dos vaksin yang belum diberikan sedangkan Selangor menjadi negeri dengan kes Covid-19 paling tinggi di Malaysia.

Dengan tidak semena-mena, kerajaan negeri Selangor dilihat seperti gagal menjalankan tugas apabila masih ada lebihan 2,511,641 dos vaksin yang belum disuntik kepada rakyat, walaupun hakikat sebenarnya proses vaksinasi adalah diurus sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Sebagai tindak balas, Selangor mendakwa jumlah dos vaksin yang mereka terima sebenarnya hanyalah 615,210 dos bukannya hampir 3 juta dos seperti yang didakwa CITF.

Pada 5 Jun, barulah CITF akhirnya mengakui kesilapan mereka dalam mengemukakan data dan bersetuju dengan angka yang diberikan oleh kerajaan negeri, iaitu hanya 615,210 dos yang telah diagihkan ke Selangor. Dalam erti kata lain, data CITF telah tersasar sebanyak 2,294,460 dos vaksin. Kesilapan CITF dalam mengemukakan data dos vaksin di negeri Selangor ini hampir sama dengan satu lagi kes yang pernah berlaku sebelum ini iaitu menyalahkan sistem SELangkah milik Selangor sebagai punca berlakunya pertindihan janji temu vaksin di bawah program PICK dan opt-in AstraZeneca.

Memang lucu rasanya bila CITF sendiri meroyan hingga buat laporan polis bila ada rakyat yang mempersoalkan peruntukan RM70 juta yang tidak padan dengan sistem yang dibangunkan; tetapi pada masa yang sama mereka boleh tersasar sebanyak 2,294,460 dos vaksin bila diminta mengemukakan data agihan vaksin mengikut negeri. Nasib mereka baik kerana tidak ada sesiapa yang tampil membuat laporan polis tentang kemungkinan ada salahguna atau manipulasi stok dos vaksin yang diagihkan mengikut negeri. Bagi menutup kesilapan mereka sendiri, CITF sekadar menyatakan rasa kesal bagaimana mereka boleh tersasar kiraan lebih 2 juta dos vaksin.

Kesimpulannya buat CITF, janganlah mudah koyak bila masyarakat menyatakan rasa tidak yakin kepada program vaksinasi Covid-19 kerajaan bila hal-hal seperti peruntukan RM70 juta tidak boleh dijawab mereka dan kiraan stok dos vaksin pula boleh tersasar berjuta-juta jauhnya.

Dan nyata tidak salah untuk kita terus merujuk kerajaan ini sebagai #KerajaanGagal.

Komen