Baru-baru ini dunia kecoh membincangkan berkenaan sebuah aplikasi bernama ChatGPT. Sebagai sebuah aplikasi chatbot yang berasaskan keupayaan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), ChatGPT membolehkan pengguna mencari maklumat di Internet dengan pantas dan spesifik. Bukan itu sahaja, ChatGPT juga berupaya untuk menulis puisi, lirik lagu, dan kod pengaturcaraan (programming code).
Berbanding dengan enjin carian sedia ada seperti Google Search dan Microsoft Bing, ChatGPT yang dibangunkan oleh syarikat AI terkemuka dunia, OpenAI, mampu memberi jawapan dalam bentuk yang sangat ringkas dan padat menyerupai perbualan sesama manusia. Jawapan juga diberikan sangat spesifik dan direct tanpa pengguna perlu memilih mana satukah maklumat yang mahu digunapakai. Apabila menggunakan AI, ia seolah-olah kita sedang bertanya kepada kawan kita sendiri.
Teknologi ini sudah pasti memendekkan proses mencari maklumat bagi pengguna kerana kita akan dihidangkan dengan hanya SATU JAWAPAN sahaja. ChatGPT membantu dalam memudahkan proses mencari jawapan kepada persoalan-persoalan kurang penting yang tidak memerlukan kita untuk membuat analisis yang mendalam. Ia seterusnya menyumbang kepada tahap kecekapan kita bekerja dan kepantasan dalam membuat keputusan berkenaan sesuatu perkara.
ChatGPT memudahkan para pekerja menyiapkan tugasan harian khususnya yang melibatkan aktiviti mencari maklumat dan penulisan. Golongan copywriter dan content writer misalnya meraih manfaat menerusi penggunaan ChatGPT. Mereka boleh menggunakan bantuan ChatGPT bagi menghasilkan penulisan yang mudah difahami dan disebarkan kepada pembaca.
Begitu juga dalam bidang customer services. Teknologi ChatGPT boleh dimanfaatkan sebagai chatbot bagi menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh pengguna atau pelanggan menerusi mana-mana platform online khususnya media sosial dan laman web.
Bagaimanapun, disebalik impak positif yang dibawa oleh ChatGPT kepada masyarakat khususnya di dalam bidang pekerjaan profesional, saya bimbang sekiranya ChatGPT membawa impak negatif yang melebihi impak positif sekiranya tidak ditangani dengan betul. Pada hemat saya, ChatGPT berisiko untuk menyebabkan kebergantungan yang keterlaluan manusia yang akhirnya mengancam jati diri dan daya fikir manusia itu sendiri.
Seperti yang diutarakan oleh oleh Enrique Dans, seorang pensyarah bidang inovasi dari University IE, Sepanyol dalam tulisannya yang bertajuk ChatGPT and The Decline of Critical Thinking, penggunaan ChatGPT yang berlebihan berisiko mengancam keberkesanan sistem pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berfikiran kreatif dan kritis.
Oleh kerana ChatGPT mampu menjawab soalan-soalan kritikal bagi pihak pelajar, ini akan menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah dengan “menyerahkan” tanggungjawab menyelesaikan tugasan pelajaran kepada ChatGPT sepenuhnya. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, universiti kita akan melahirkan generasi pelajar yang tinggi markah peperiksaannya tetapi jumud dalam pemikirannya.
Sama seperti media sosial yang mengurangkan kemampuan kita untuk membaca dan belajar sesuatu perkara dengan tekun, ChatGPT akan menyebabkan manusia menjadi semakin malas untuk berfikir. Apabila kita seringkali memohon bantuan ChatGPT untuk berfikir bagi pihak kita, lama kelamaan otak kita akan menjadi tepu dan seterusnya tidak lagi mampu berfikir secara kritis. Pada masa itu nanti, manusia tidak akan dapat membuat analisa dan menilai sesuatu maklumat secara berdikari tanpa bantuan alatan AI seperti ChatGPT.
Di peringkat peribadi, kebergantungan terhadap ChatGPT dalam berfikir dan membuat keputusan dalam sesuatu perkara berisiko untuk menjerumuskan kita ke dalam kancah kejahilan yang melampau. Apabila kita bergantung kepada satu sumber sahaja bagi membuat keputusan tanpa mengakses pandangan-pandangan dari sumber alternatif seperti mana yang berlaku di dalam enjin carian Google dan Bing, kita akan cenderung untuk membuat keputusan separuh masak dan tidak tepat. Ini seterusnya akan mengakibatkan kerugian kepada kita baik dari segi kewangan ataupun peluang.
Dari sudut kenegaraan, apabila rakyat sudah tidak mampu lagi berfikir secara kritikal, mereka sudah tidak lagi mampu untuk menilai sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Keadaan di mana masyarakat bergantung kepada hanya satu sumber informasi sahaja akan memudahkan proses pembasuhan minda atau brainwashing dilakukan. Apabila rakyat semakin mudah dibodohkan, maka semakin banyaklah berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan.
Kejumudan ini sudah pasti akan diekploitasi oleh pihak pemerintah menerusi penggubalan akta dan pelancaran polisi yang memberi kelebihan kepada ahli politik dan kroni mereka. Meminjam kata-kata yang diungkapkan oleh Enrique Dans sekali lagi, “The steady erosion of critical thinking exposes us to reliance on a tool that can easily be used to manipulate us”. Pada akhirnya, kita akan kembali kepada zaman yang dipenuhi oleh golongan penyokong politik yang taksub dan jahil yang menyokong parti politik secara membabi buta serta mudah dibuai dengan retorik besifat fear-mongering.
Dalam masa sama, jika jawapan yang diberikan oleh ChatGPT ini tidak dipantau sebaiknya, ada kemungkinan ianya akan digunakan oleh pihak yang membangunkan teknologi ini sebagai platform bagi menyebarkan propaganda. Oleh kerana ChatGPT tidak menyediakan pilihan jawapan yang banyak seperti enjin carian Google dan Bing atau sumber maklumat yang pelbagai kepada pengguna, jawapan yang diberikan besar kemungkinan akan terus menjadi pegangan pengguna tersebut untuk satu jangka masa yang lama.
Kebergantungan yang berlebihan ini kemudiannya akan menyebabkan manusia menjadi semakin jumud dan tiada kemampuan untuk melihat sesuatu dari pelbagai sudut. Tidak hairan sekiranya polarisasi antara masyarakat menjadi lebih meruncing kerana ketidakmampuan kita untuk merasa perasaan empati dan melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza.
Polarisasi dari sudut pemikiran ini berisiko menyebabkan sesuatu kelompok menjadi semakin terpisah dari kelompok yang lain, bukan sahaja dari segi mental dan fizikal tetapi bahkan juga sosial dan budaya. Ditambah lagi dengan perangai “Anti-social” generasi masa kini, maka tidak hairan sekiranya segala stereotaip dan prejudis yang mereka ada terhadap sesuatu kaum atau bangsa lain akan terus melekat dari generasi sekarang ke generasi yang seterusnya. Malahan, ada risiko yang stereotaip dan prejudis itu berlaku lebih dahsyat apabila diratib setiap hari kepada pengguna oleh orang-orang yang berkepentingan.
Keadaan ini sudah semestinya akan diburukkan lagi oleh media sosial yang mana kontennya disebarkan berdasarkan minat dan kecenderungan pengguna. Misalnya, jika pengguna minat – like, follow atau share – untuk menonton parti politik yang memperjuangkan agenda konservatif, media sosial akan memberikan pengguna berkenaan lebih banyak akses kepada konten yang serupa.
Pengguna tidak akan berpeluang melihat konten yang berideologi bertentangan seperti konten yang memaparkan agenda progresif. Malangnya perkara ini tidak hanya berlaku sekali dua, tetapi bertahun-tahun. Semakin banyak pengguna melihat konten yang sedemikian, semakin “ignorance” lah dia dengan perkara yang berbeza tidak kira berapa mustahak konten tersebut dalam membantu mereka menghadapi kehidupan seharian. .
Justeru, bagi berhadapan “musuh” kepada pemikiran kritikal dan kebijaksanaan manusia ini, beberapa perkara wajib dilakukan oleh kita semua, baik kerajaan mahupun masyarakat awam. Usaha tidak wajar berhenti setakat membangunkan aplikasi yang pengesan AI seperti GPTZero sahaja. Begitu juga, mengharamkan pengguna ChatGPT dalam kehidupan seharian adalah bukan tindakan yang tepat.
Sebaliknya, kita perlu mendidik masyarakat tentang kebaikan dan keburukan teknologi seperti ChatGPT. Pihak berwajib juga harus mencari jalan untuk menanam pemikiran kritikal masyarakat seawal usia agar tidak mudah menerima maklumat tanpa menilai kesahihan dan ketepatan maklumat berkenaan dengan sebaiknya. Dalam masa sama, masyarakat harus mempertingkatkan kemahiran mengkaji atau research skill agar tidak mudah diperbodohkan oleh jawapan-jawapan chatbot yang bersifat retorik dan propaganda.
Pihak pentadbir teknologi Internet dan komunikasi dalam satu-satu negara juga harus memantau jawapan yang diberikan oleh ChatGPT agar tidak cenderung kepada maklumat palsu dan kurang tepat khususnya yang melibatkan informasi-informasi kritikal seperti fakta politk, ekonomi, dan sejarah. Dalam masa sama, sejauh mana pengaruh pihak pembangun teknologi harus dihadkan agar mereka tidak menyalahgunakan teknologi sebagai platform untuk menyebarkan propaganda-propaganda halus berdasarkan kepentingan mereka.
Archigós Nikólas berasal dari Sarawak dan minat menulis mengenai topik kepimpinan, keadilan dan kebebasan. Beliau percaya setiap rakyat berhak untuk mendapat akses yang lebih baik kepada informasi kritikal yang selama ini hanya berlegar di kalangan elit sahaja.