SAYA telah menghabiskan masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu di DUN Bemban. Kawasan ini terletak di bawah parlimen P139 Jasin, berdekatan dengan sempadan negeri Johor, dengan komposisi 60 peratus pengundi Melayu. Meskipun pengundi Melayu ramai, Bemban merupakan kerusi tradisi MCA sejak 2004.
Berbaki empat hari lagi sebelum hari mengundi pada 20 November, kempen di Bemban masih sendu. Ini sesuatu yang aneh. Saya perlukan jawaban dan kepastian tentang situasi semasa di Bemban dan keseluruhan Melaka.
Pada satu pagi, saya dan seorang rakan singgah di salah sebuah gerai berdekatan Bemban. Kami berdua menikmati Nasi Lemak dan Teh Tarik. Mungkin kerana kami nampak seperti bukan orang Jasin yang selalu singgah di gerainya, Mak Cik Timah (pemilik gerai) datang ke meja kami seperti ingin berborak-borak.
Pada awalnya kami hanya berbual kosong. Saya cuma nak tahu kenapa pagi-pagi lagi, gerai Mak Cik Timah ini sudah bersusun lauk-lauk masakan Melayu, khususnya asam pedas. “Orang sini suka makan nasi berlauk waktu pagi. Tengah hari takut tidak sempat nak makan sebab banyak kerja,” kata Mak Cik Timah.
“Menakjubkan orang Jasin ini, bekerja sampai tidak sempat makan nasi,” seloroh saya kepada Mak Cik Timah yang disambut dengan ketawa kecil. Disebabkan sifat peramah Mak Cik Timah, saya pesan sekeping roti canai sebagai alasan untuk ambil masa berborak dengan dia. Mana tahu, kekusutan saya mengenai Bemban dan PRN Melaka beliau boleh jawab.
Mak Cik Timah Dan Sentimen Rakyat
Rakan saya membuka perbualan dengan bertanya “Mak Cik, PRN Melaka setakat ini ok?”. Mulanya, Mak Cik Timah dan pekerja yang duduk di sekelilingnya seperti malu-malu kucing untuk jawab soalan. Tetapi, lepas dua tiga soalan, Mak Cik Timah jawab “Pilihan Raya Melaka ini susahlah. Asyik berebut kuasa.”
“Dekat sini, orang Melaka tidak suka UMNO sebab rasuah dan makan keliling, tak mahu kongsi,” satu jawaban spontan Mak Cik Timah. “Pakatan Harapan pun okeylah juga, tapi tak sempat nak duduk lama,” tambah Mak Cik Timah.
Nampaknya, beliau ini mendekati rapat perkembangan politik semasa. Kami cuba bertanya lagi, siapa Ketua Menteri terbaik Melaka pernah ada. “Rakyat sayang Tok Ali (Tun Ali Rustam) jadi Ketua Menteri. Kalau Idris Harun tu, macam ramai orang Melaka tak suka pasal dia main duit untuk bagi puak dia. Adly paling rendah diri dan baik juga,” kata Mak Cik Timah.
“Rasanya, kalau boleh pilih, mana yang Mak Cik nak pangkah?” tanya kawan saya.
“Adly tu bagus, cuma dia PH, susah nak pilih sebab DAP dan PKR bergaduh. Tapi, Perikatan Nasional (PN) pun okey sebab ‘Abah’ banyak bagi bantuan masa PKP. Mungkin pilih PN.” Jawab Mak Cik Timah.
“Lagipun calon BN dan PH kitorang tak berapa kenal dan tak nampak. Tapi, calon PN dekat Bemban ada datang gerai ini, nama dia Dr. Yadzil,” salah seorang pekerja Mak Cik Timah menambah.
Perbualan ini agak panjang dan sarat dengan cerita lapangan. Tanpa saya sedar, perbincangan ini berlarutan sehingga saya menambah dua keping roti canai yang membuatkan saya bertambah kenyang.
Maka benarlah mereka yang berpengalaman dalam politik kata, kalau nak tahu situasi politik, gerai dan kedai kopi tempatnya. Sembang kami dengan Mak Cik Timah sebahagian daripadanya.
Selepas beredar dari gerai Mak Cik Timah, saya boleh rumuskan dua perkara. Pertama, pengundi masih ada simpati kepada Abah yang boleh diterjemahkan dengan undi sebagai alternatif kepada BN. Kedua, DUN Bemban akan dimenangi calon PN dengan undi simpati, khususnya orang Melayu. Keputusan 20 November membuktikan DUN Bemban menjadi milik PN.
Tapi rumusan saya ini tidak lengkap. Saya cuba menghubungi kawan-kawan di sekitar Melaka dan Jasin tentang pergerakan kempen PRN Melaka bagi memahami sentimen pengundi di masa-masa kritikal ini.
Rata-ratanya mereka akui mesej BN lebih mudah difahami orang Melaka, yakni ingin membentuk kerajaan yang stabil. BN juga mengoptimumkan jentera dan ahli di kawasan untuk keluar mengundi.
Tetapi, ada khabar angin yang mendakwa terdapat jentera parti meminta ibu bapa di kawasan supaya bagitahu anak-anak mereka di bandar atau luar kawasan tidak balik mengundi akibat Covid-19.
Meskipun ramai yang mendakwa PN akan bungkus awal, tetapi ia tidak berlaku. PN, khususnya BERSATU, mendapat manfaat daripada sokongan penuh pengundi PAS di Melaka. Undi simpati orang Melayu ke atas Muhyiddin Yassin juga menjadi kelebihan PN sebagai strategi sulit mereka untuk bersaing dengan BN dan PH.
Mesej PH Tidak Sampai
PH sebenarnya dilihat lebih bersedia menempuhi PRN Melaka. Cuma, kecuaian strategi menerima ‘katak berprinsip’ akhirnya makan diri. Kalau ikut cerita Mak Cik Timah, Idris Harun lebih tidak digemari orang Melaka melebihi UMNO itu sendiri.
Dan, ini menyebabkan undi orang Melaka, baik pengundi Melayu atau bukan Melayu, berkurangan buat PH kerana menerima individu yang paling tidak digemari kebanyakan orang Melaka.
Mesej PH dalam PRN Melaka tidak sampai dan kurang menangkap imaginasi pengundi. Slogan PH berserabut, lebih dua slogan kempen pilihan raya digunakan. Ada yang “Maju Bersama Harapan”, “Ini Rumah Kita” dan ada pula slogan “Kembalikan Mandat Rakyat” yang amat klise kerana PRN Melaka itu adalah simbol mandat itu telah diserahkan kepada rakyat Melaka untuk menentukan masa depan mereka.
PH juga nampak ketinggalan dalam menyusun strategi kempen. Tindakan PH menghentam Najib Razak dan Rosmah Mansor bertubi-tubi hanya menimbulkan simpati pengundi, khususnya orang Melayu, yang melihat sang Kleptokrat itu menjadi mangsa penindasan PH. Dalam erti kata lain, bahan kempen PH sudah tidak mempunyai faktor penarik di Melaka.
Perdebatan mengenai logo PH dalam PRN Melaka tidak masuk akal. Mudahnya, logo PN yang baru ditubuhkan setahun jagung mudah dikenali orang kampung sehingga PAS pun dapat berkompromi pakai biru cetak rompak.
Apa yang membuat PH tersadung ialah strategi untuk mengumpulkan gerak kerja di kawasan tidak memberi impak yang besar di kerusi-kerusi marginal. Ia bermaksud, selama 22 bulan PH mentadbir, pembudayaan kerja lapangan parti-parti PH tidak berlaku sehingga mengharapkan pengundi luar kawasan turun mengundi.
Sebab itu, rangkaian PH terhad dan jentera-jentera parti terpaksa mula dari awal untuk melakukan gerak kerja meraih undi di lapangan. Sedangkan, ia perlu dilakukan bertahun-tahun untuk membina keyakinan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Strategi ‘perfect storm’ BN yang mahu menurunkan peratusan keluar mengundi PRN Melaka dan mengoptimumkan kekuatan kawasan telah berjaya menjadi ramuan menang dua pertiga. Tapi, adakah ramuan ini laris jika ramai keluar mengundi dalam pilihan raya akan datang? Mungkin tidak.
PN dapat dua kerusi di Melaka dan boleh mencabar BN dan PH. Soalnya, sejauh manakah BERSATU yakin PAS akan membantu mereka memandangkan ada akar umbi PAS bermimpikan Muafakat Nasional?
PH sudah lakukan yang terbaik mempertahankan kerusi tradisi mereka dalam PRN Melaka. Sepatutnya, mereka sudah mula membincangkan perkara yang lebih penting dan besar untuk mengubah pendekatan selepas PRN Melaka.
Tetapi, apa yang mahu diubah hanyalah logo PH? Amat mendukacitakan.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.