Catatan 13 Mei: Rasiskah Kita?

Dalam kita bangga-bangga orang Malaysia ini terkenal dengan sifat yang berbudi dan bersopan santun, ramai antara kita yang masih gagal hendak menghormati bangsa lain.

Tidak perlu bandingkan dengan negara lain. Ya, aku tahu Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan banyak negara maju; kebanyakan rakyatnya pun bersifat rasis. Itu lantak pi dia lah. Fokus pada negara sendiri.

Di Malaysia, jangankan dengan bangsa negara lain, dengan bangsa warganegara sendiri pun kita masih boleh jadi rasis.

Kita dengan selamba memanggil bangsa India dengan perkataan ‘Keling’, walaupun kita tahu panggilan itu tidak disukai mereka.

Kita juga panggil Cina dengan ‘Cina’. Walaupun betul dia bangsa Cina, tetapi memanggil mereka dengan nama bangsa, itu satu tindakan biadab. Contoh: “Woi Cina, sini kejap.”

India Muslim pun tidak terkecuali. Dipanggil Mamak, Baiya, atau Bangla sedangkan panggilan itu berniat dan bersifat kebencian dan mencaci.

Apatah lagilah dengan bangsa Afrika. Kita sesuka hati panggil mereka dengan panggilan ‘Negro’.

Dahulu, selebriti Jihan dan Syuk pernah dimarahi Yuna kerana Syuk membuat parodi muka hitam yang merujuk kepada Usher.

Ramai orang kecam Yuna yang mengatakan Yuna beria-ia backup Usher.

Padahal, kalaulah orang Malaysia tahu, mewarnakan kulit menjadi hitam untuk menganjing orang kulit hitam ini, merupakan satu isu yang amat-amat serius di Amerika Syarikat. Teramat serius, sehingga kau akan dicaci masyarakat sana seumur hidup.

Presiden Kanada, Justin Trudeau hampir-hampir berkecai karier politiknya kerana orang menjumpai satu gambar semasa dia muda, mewarnakan mukanya menjadi hitam untuk satu acara berpakaian.

Walaupun acara berpakaian itu hanya satu acara kasual, dan bukan untuk membuat jenaka mana-mana bangsa, Trudeau dikecam amat hebat oleh bangsa kulit hitam di sana.

Ada pula antara kita yang sesuka hati memanggil Melayu sebagai pemalas, berfikiran sempit dan menuduh pula Melayu sebagai pendatang.

Gelaran-gelaran dan stereotaip sebegini, perlu dihentikan sebab ianya langsung tidak mengharmonikan. Senang sahaja tuduh orang pemalas. Senang sahaja tuduh orang narrow minded.

Semua mahu dikait dengan bangsa, padahal itu semua berkait dengan individu.

Kenapa perkara ini terjadi? Kenapa isu rasis ini berlaku?

Kerana kita tidak peduli pasal perasaan orang lain. Sensitiviti untuk menjaga hati orang lain itu tidak ada. Kerana itulah, kita sesuka hati panggil bangsa lain dengan panggilan yang mereka tidak suka.

Selama lapan tahun aku bergelumang dengan ceramah bersama pelajar sekolah, hampir setiap sekolah berbilang kaum yang aku pergi, mesti ada isu rasis macam ini.

Aku pernah hampir menampar sorang budak lelaki Darjah 6 sebab dia menjerit kuat-kuat panggil kawan Indianya dengan panggilan ‘keling hitam’.

Paling teruk, budak India itu merupakan satu-satunya budak India dalam batch tersebut. Kau bayangkan, aku yang baru 2 jam di situ pun sudah boleh dengar panggilan sebegitu, apalah yang budak India ini lalui selama 6 tahun di sekolah itu? Sudahlah berseorangan, tidak ada kuasa pula untuk pertahankan diri.

Aku betul-betul marah pada budak lelaki itu kerana dia sebut benda ini depan aku. Tangan aku memang dah naik dah, tapi memikirkan satu penampar itu bakal menghancurkan hidup aku, aku tahan.

Aku juga pernah leraikan pergaduhan seorang budak India dengan Cina, yang hampir-hampir menikam antara satu sama lain. Macam mana entah mereka boleh bawa pisau pergi sekolah, aku tak tahu. Tapi kes itu agak seriau bila aku fikirkan semula.

Kisahnya, aku beri ceramah dan minta mereka buat aktiviti. Entah macam mana, dengar bunyi kecoh-kecoh di belakang dewan, dan tengok salah seorangnya sudah pegang pisau. Nasib baikk aku datang dan tarik budak berpisau itu.

Apabila ditanya kenapa bergaduh, salah seorang saksi yang hanya menonton pergaduhan itu dengan mudahnya menjawab,

“Cina dengan India kat sini memang selalu gaduh. Melayu pun selalu gaduh bang. Masing-masing tak suka antara satu sama lain.”

Gila. Baru Tingkatan 3.

Habis ceramah, aku duduk makan bersama cikgu, dan cikgu itu menceritakan tahap rasis di sekolah itu amat-amat meruncing. Serius sangat, sampaikan hampir setiap bulan, mesti ada kes polis.

Dengarnya, kawasan itu ada gangster pelbagai kaum. Dan sekolah itu merupakan ‘lubuk’ tempat pelapis-pelapis organisasi kongsi gelap mereka.

Cikgu itu juga bercerita lagi, pada beberapa minggu sebelum itu, ada ‘peperangan 3 kaum’ yang berlaku depan sekolah mereka, dan disertai oleh geng-geng organisasi kongsi gelap kawasan itu.

Puncanya? Sebab geng ini, usik geng itu. Yang satu lagi geng tu pula, saja tambah nasi. Maka, mereka pun berperang. Ingatkan hebat sangat. Baru datang satu kereta polis, masing-masing lari macam lipas kudung.

Walaupun kes ini tidak jelas puncanya rasis atau tidak, tetapi mengenangkan mereka pelajar sekolah menengah, dan sudah ada puak-puak antara kaum serta pergaduhan berteraskan perkauman, ia menguatkan lagi bahawa sifat rasis dalam rakyat Malaysia masih tebal.

Aku pernah pergi satu sekolah, dalam sekolah itu terdapat murid berbangsa Afrika. Tapi dia ni lancar bertutur Melayu.

Bila aku tanya cikgu, diceritakan murid ini anak luar nikah yang dibuang dalam longkang masa kecil dulu. Jabatan Kebajikan jaga dia, sekolahkan dia di situ dan tinggal di pusat JKM. Budaknya baik dan boleh tahan pandainya.

Cuma yang tidak sedapnya, dia memang selalu kena ejek dengan kawan-kawan. Dipanggil Negro itu biasa. Dipanggil hitam, bibir tebal dan dipanggil Afrika itu juga sudah jadi makanan harian. Paling perit, orang ungkit cerita anak luar nikah dia ini, di hadapan dia. Padahal, dia baru Darjah 5 sewaktu itu.

Simpati aku dengar cerita dia.

Nampak tak, rasis yang ada pada diri kita ini, sebab kita tidak jaga sensitiviti. Tidak jaga sensitiviti ini, bukan setakat rasis sahaja, tetapi orang yang lama kahwin tapi tak dapat anak pun kita sindir-perli, sebagai contoh.

Bukan mudah hidup menjadi minoriti yang berbeza dengan orang sekeliling.

Apabila mengetahui kisah rasis begini, aku rasa panas hati dan dalam masa yang sama, sedih.

Panas hati, sebab ramai antara kita tidak mahu jaga sensitiviti. Sedih, sebab mengenangkan bagaimana mereka yang dihina lalui hidup sengsara selama itu.

Apalah salahnya, nampak muka macam warga Afrika, kita biarkan saja dan mind our own business, dari kita nak bercakap buruk sambil bisik-bisik ketawa depan dia?

Apa salahnya, kawan kita yang bangsa lain, kita panggil dia dengan panggilan yang menyenangkan? Dari kita panggil dengan ‘racial-slur’ yang mereka tidak suka?

Apa salahnya, kita hormat orang lain tanpa mengejek rupa luaran dia? Perlukah kita panggil orang lain dengan ejekan warna kulit, bau badan dan pemakaian dia yang luar kebiasaan budaya kita?

Kita dakwa yang kita bangsa yang bersopan-santun dan mempunyai luhur pekerti yang baik. Kita buktikanlah dengan mendepani bangsa lain dengan penuh penghormatan. Bukan yang sebaliknya.

Nak orang hormat kita, kita pun kena hormat orang lain.

Nampak tak, disebabkan sifat bodoh kita yang tidak jaga sensitiviti, seorang anak muda membesar dengan keadaan yang cukup menyakitkan: dipanggil dengan gelaran rasis serta dibuli hanya disebabkan dia ‘berbeza’.

Padahal dia hidup dan membesar sama macam kita, di tanah yang sama. Dia cakap sama dengan kita, makan benda sama yang kita makan, dan buat benda yang kita buat. Hanya sebab keturunan dia, habis kita buang penghormatan ke atas dia.

Kita ada lima prinsip Rukun Negara. Yang kelima itu, biasanya kita hanya buat dengan orang yang kita suka sahaja. Orang yang kita tidak suka, kita tinggalkan Rukun Negara yang kelima ini.

Kalaulah setiap orang bersopan dan bertatasusila dengan semua orang, alangkah indahnya Malaysia ini.

Komen