Kadar MDR Serantau Untuk Kod QR

Baru-baru hangat diperkatakan tentang pengumuman PayNet untuk mengenakan kembali caj Merchant Discount Rate (MDR) ke atas para peniaga untuk pembayaran menggunakan DuitNow QR. Caj tersebut dikatakan pada kadar sekitar 0.25% dan akan ditanggung sepenuhnya oleh peniaga termasuklah peniaga kecil dan sederhana juga penjaja.

Apa yang menjadi pertikaian adalah langkah tersebut dilihat sebagai bersifat regresif dan akan menyukarkan peralihan ke arah masyarakat nir tunai yang tidak lagi menggunakan wang fizikal. Para peniaga juga dilihat akan terbeban dengan caj MDR tersebut dan berkemungkinan besar memilih untuk memindahkan beban kewangan tersebut kepada pengguna akhir.

PayNet sebenarnya adalah sebuah konsortium yang bertanggungjawab menyediakan rangkaian pembayaran bersepadu nasional dan infrastruktur pusat bersama untuk pasaran kewangan Malaysia. Ia dimiliki oleh Bank Negara Malaysia sebagai pemegang syer utama dan disertai oleh 11 institusi kewangan tempatan lain.

DuitNow QR adalam sistem pembayaran menggunakan kod QR yang dibangunkan bagi membolehkan satu kod QR standard digunakan untuk pembayaran melibatkan akaun bank yang berlainan. Caj MDR adalah perlu bagi menanggung kos sistem pembayaran ini selain dari memastikan keselamatan dan keutuhan sistem dapat dikekalkan.

Sebenarnya, adalah satu amalan biasa dalam industri untuk mengenakan caj MDR bagi pembayaran menggunakan kod QR sama seperti penggunaan kad debit atau kredit.

Di kalangan negara serantau seperti Singapura, Indonesia dan Thailand caj MDR dikenakan untuk setiap pembayaran menggunakan kod QR dan ia ditanggung sepenuhnya oleh peniaga.

Sistem SGQR di Singapura menetapkan caj antara 0.5% untuk penjaja dan operator kantin dan 0.8% untuk peniaga runcit lain. Di Indonesia pula, caj MDR yang dikenakan adalah 0.3% untuk pengusaha mikro dan 0.7% untuk pengusaha kecil, menengah dan besar untuk sistem QRIS mereka. Manakala Thailand mengenakan caj 0.35% untuk semua peniaga bagi pembayaran sistem Thai QR.

Kesemua caj-caj MDR ini adalah kadar standard yang ditetapkan oleh bank pusat negara masing-masing. Namun bergantung kepada penyedia perkhidmatan kewangan, kadar istimewa mungkin dikenakan atau caj MDR dikecualikan terus sebagai usaha bank untuk menarik pelanggan menggunakan sistem nir tunai ini.

Justeru, bukanlah sesuatu yang luar biasa jika caj MDR dikenakan di Malaysia untuk pembayaran menggunakan kod QR seperti DuitNow QR. Caj tersebut adalah perlu bagi menampung kos penyediaan sistem pembayaran bersepadu nasional tersebut selain menjamin keselamatan dan keutuhan sistem.

Caj MDR yang dikenakan sebenarnya adalah jauh lebih rendah dari kos yang perlu ditanggung peniaga dalam menguruskan wang tunai fizikal. Untuk kadar 0.25%, ia bersamaan 0.025 sen untuk setiap RM10 atau 25 sen untuk setiap RM100.

Adalah tidak masuk akal jika peniaga makanan contohnya untuk mendakwa kos tambahan 0.025 sen itu boleh menjejaskan keuntungan sepinggan nasi goreng berharga RM10 dan mahu ianya dikenakan ke atas pembeli. Sedangkan kemudahan yang dinikmati dalam menguruskan perniagaan secara nir tunai jauh mengatasi kos dan kesukaran menguruskan wang tunai fizikal.

Walaupun majoriti dari institusi kewangan telah menyatakan bahawa caj MDR akan ditanggung mereka buat masa ini, kita semua perlulah berpijak di bumi nyata bahawa lambat laun bayaran atau fi akan tetap dikenakan bagi pembayaran menggunakan kod QR.

Apa yang penting adalah kesedaran di kalangan rakyat bahawa faedah adaptasi menjadi masyarakat nir tunai jauh lebih baik dari terus kekal pada cara lama dengan bergantung pada tunai fizikal.

Komen