Umum mengetahui manifesto adalah janji dan komitmen parti politik kepada rakyat ketika bertanding dalam sesuatu pilihan raya baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil. Kebiasaanya pengundi akan menilai manifesto atau janji yang ditawarkan oleh setiap parti yang bertanding sebelum membuat pilihan atau pangkah di kertas undi. Oleh kerana kerajaan hari ini terpaksa dibentuk tanpa melalui proses pilihan raya maka timbul cakap-cakap bahawa, mudahlah kerja kerajaan ini kerana tidak terikat dengan sebarang janji kepada rakyat. Persoalannya adakah persepsi ini betul?
Secara zahirnya memang betul bila tiada manifesto maka kerajaan tidaklah terikat untuk melakukan sesuatu, tetapi harus diingat manifesto yang dibentangkan ketika pilihan raya juga boleh jadi dilaksana atau tidak selepas pilihan raya kerana banyak bergantung kepada pelbagai faktor pada ketika itu misalnya kemampuan kewangan negara. Tetapi kerajaan hari ini walaupun tiada manifesto tetapi sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kejadian realiti yang perlu ditangani, atau dalam erti kata lain cabaran menyelesaikan masalah yang ada wajar diangkat sebagai manifesto dan janji kepada rakyat. Ironinya, bertambah besarlah cabarannya apabila kerajaan tidak boleh tidak melakukan sesuatu untuk menangani isu yang sedang melanda rakyat dan negara. Dalam konteks ini penulis boleh menyenaraikan beberapa masalah besar yang menjadi cabaran atau manifesto dan janji wajib tunai kerajaan ini iaitu, masalah kestabilan politik, ancaman wabak Covid-19, ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi, kesempitan hidup rakyat dan perpaduan kaum.
Cabaran utama yang sedang dihadapi oleh kerajaan ini sudah semestinya isu meraih keyakinan rakyat sekali gus mewujudkan kestabilan politik. Hakikatnya kita perlu akui betapa kerajaan yang baru dibentuk hasil gabungan mengejut beberapa parti politik yang sebelum ini tidak bersefahaman ini masih dilihat belum kukuh atau masih rapuh. Hakikatnya parti-parti yang membentuk kerajaan ini masih terlalu baru dalam konteks pembinaaan keyakinan, kepercayaan dan juga kerjasama. Maka timbul banyak persoalan dalam kalangan rakyat misalnya, apakah gabungan ini benar-benar kuat, boleh berfungsi dengan baik sebagai sebuah kerajaan serta boleh bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak. Malah rakyat juga ternanti-nanti sidang Parlimen yang akan datang kerana sudah ada ura-ura akan berlaku undi tidak percaya terhadap perdana menteri, dan jika ianya benar-benar berlaku apakah kedudukan perdana menteri akan selamat? Jadi rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan ini mampu bertahan, boleh berfungsi dengan baik serta mengembalikan kestabilan politik dalam negara. Ringkasnya, mewujudkan pemerintahan yang kukuh serta kerajaan yang stabil wajar menjadi antara manifesto dan tawaran utama kerajaan ini.
Cabaran berikutnya sudah tentu akan terarah kepada isu semasa iaitu ancaman wabak Covid-19 yang semakin menular dan membimbangkan termasuk sudah mencatatkan dua kematian pertama di negara kita. Jadi kita mahu kerajaan memastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan benar-benar memberikan kesan positif bagi menangani wabak berbahaya ini. Pada masa yang sama kita juga mahu melihat apa kerajaan boleh buat untuk mengatasi kesan besar wabak ini kepada kehidupan seharian rakyat merangkumi aspek kesihatan, pendapatan, keselamatan dan sosial. Jelas sekali ini bukan manifesto yang ditawarkan oleh kerajaan tetapi isu yang wajib ditangani oleh kerajaan. Rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan mampu mengawal dan mencegah penularan wabak ini di negara kita. Tunjuk dan buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan sangat serius dalam hal ini melalui tindakan dan langkah-langkah yang drastik serta proaktif. Bagi rakyat apa yang penting ialah mereka hanya mahu melihat tindakan dan hasilnya sahaja.
Boleh dikatakan keadaan dan masa tidak begitu memihak kepada kerajaan baru ini apabila terpaksa membentuk kerajaan pada ketika berlakunya ketidaktentuan dalam pertumbuhan ekonomi negara dan juga dunia. Ketidaktentuan harga komoditi, kejatuhan pasaran saham serta mata wang negara memberikan kesan langsung yang cukup besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Keadaan makin teruk apabila ekonomi turut terjejas akibat penularan wabak Covid-19. Jadi apa inisiatif yang kerajaan ini boleh lakukan untuk menangani cabaran ekonomi ini? Adakah pakej rangsangan ekonomi sudah mula memberikan kesan positif? Harus diingat jika ekonomi lembap kita akan menghadapi masalah kewangan yang cukup serius sekaligus merencatkan segala perancangan pembangunan negara. Justeru walaupun tidak disebut, satu lagi manifesto wajib kerajaan ini ialah mencari jalan untuk memulih dan memperkukuh ekonomi negara secepat yang mungkin.
Satu lagi isu besar sekarang ialah, berlakunya peningkatan kos sara hidup rakyat yang tidak seimbang dengan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Situasi ini semakin menyukarkan kehidupan harian rakyat. Tidak keterlaluan untuk dikatakan pada hari ini majoriti terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ironinya, ini melibatkan soal perut rakyat dan rakyat cukup terhimpit untuk meneruskan kehidupan dalam suasana seperti sekarang. Justeru inisiatif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya melalui mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi sewajarnya menjadi satu lagi manifesto dan tawaran penting kerajaan baru ini.
Perbalahan antara kaum terus menjadi duri dalam daging di negara kita. Walaupun kita berbangga rakyat majmuk negara ini dapat hidup aman dan damai namun hakikatnya kesatuan dan perpaduan yang diperagakan itu hanyalah bersifat kosmetik atau luaran semata-mata dan lebih tepat lagi umpama senipis kulit bawang sahaja. Ini cukup membimbangkan kita semua. Harus diingat kita mencapai kemerdekaan serta membina dan membangunkan semula negara hasil kerjasama dan perpaduan antara kaum yang ada. Justeru berbagai insiden yang berlaku mutakhir ini menjadi saksi betapa jambatan perpaduan yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu mula menampakkan keretakan. Kita khuatir jika keadaan ini dibiarkan berterusan, api kemarahan kaum itu akan terus membara dan akhirnya boleh membakar dan meruntuhkan jambatan tersebut. Adakah ini yang kita mahu banggakan setelah 63 tahun mencapai kemerdekaan? Justeru ini satu lagi manifesto yang merupakan tanggungjawab berat kerajaan baru ini. Kerajaan perlu kawal dan tangani provokasi perkauman yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggunjawab sebelum nasi menjadi bubur.
Setelah meneliti isu dan cabaran yang diperincikan ini apakah kita masih boleh mengatakan ini merupakan kerajaan tanpa manifesto? Bagi penulis kenyataan itu tidak tepat kerana tanggungjawab yang perlu dipikul setelah mengambil alih kerajaan juga wajar dikira sebagai manifesto yang tersedia ada dan wajib dilaksanakan tanpa gagal. Justeru cakap-cakap bahawa ini adalah kerajaan tanpa manifesto perlu dihentikan dengan segera dan kita berharap kerajaan akan menggalas tanggungjawab untuk melaksanakan manifesto yang tersedia ada ini sebaik mungkin demi membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).