Bumi Ini Tidak Mengitar Si Tua

THAILAND tidak mahu berganjak. 19 Oktober 2020, hatta akhbar utama negara tersebut – Bangkok Post – menyatakan; ‘Kita Memerlukan Kepimpinan Yang Lebih Baik’. Beribu anak muda, malah kanak-kanak berada di atas jalanraya untuk melakukan sesuatu yang paling nekad. Melawan monarki. Menurut kepercayaan orang tua di negara tersebut, raja adalah maksum. Raja serba betul semua. Keputusan apa pun, adalah di tangan raja.

Mendiang Raja Rama IX mungkin disayangi ramai, dan kerana propaganda pemerintah dan golongan bangsawan, kasih cinta untuknya luar biasa sekali. Akan tetapi dengan cepat, kehormatan dan rasa pengharapan itu merosot dengan begitu mendadak sekali apabila Raja Maha Vajiralongkorn ditabalkan. Baginda jarang kelihatan di publik, masanya banyak di Jerman. Kegemarannya mengenakan pakaian aneh menjelekkan, tatu pada badannya ditertawakan dan ketika wabak Coronavirus, Raja Maha Vajiralongkorn tidak terlihat ada sumbangan. Kisah peribadinya khusus hidup berfoya-foya sering dibincangkan. Kahwin cerainya, dan nafsunya kepada gundik yang gesit menjelmakan rasa jelak.

Anak muda yang bosan, malu, marah, dan rasa terperuk membuat keputusan nekad. Meskipun hukuman menghina Raja boleh membawa kecelakaan (15 tahun penjara), mereka turun beramai-ramai meski terancam polis dan askar. Mereka membawa slogan reformasi. Anak muda menolak Perdana Menteri.

Itu berlaku, sedang terjadi di Thailand.

Aneka laporan dari jalanraya di Bangkok membawa kita kepada satu rumusan, anak muda menolak monarki kerana mereka bosan ditusuk atau terpasung oleh kerangka politik yang sama. Apa kerangka politik yang sama? Cara fikir orang lama. Sistem yang memualkan. Dunia atau bumi yang berputar, mengitar si tua; cukong tertentu, figur politik tua yang sama; dan monarki tua yang tidak membawa pengertian apa-apa. Rasa meluat menyampah kepada Jeneral Prayuth Chan-ocha (merampas kuasa dan menguasai politik) serta Jeneral Apirat Kongsompong yang sebelum ini tertahan-tahan kian meledak.

Akan tetapi ada beberapa pelajaran perlu dimanfaati oleh anak muda di mana jua pun. Untuk anak muda memilih berani dan menabrak orang tua, di Thailand, kuasa anak muda di jalanan juga masih memerlukan dana besar. Itu dimungkinkan oleh hartawan seperti Thanathorn Juangroongruangkit, usianya 41 tahun dan dia pernah memimpin Parti Future Forward. Sayugia diingati parti ini memiliki 81 kerusi dan bukan satu. Seramai 6.2 juta pengundi meletakkan pemimpin parti baru dan muda itu di tengah politik. Pun dengan banyak itu, Future Forward masih diperkotak-katikkan dan dihalang dari menjadi ‘game changer’. Jangan lupa dana besar Thanathorn membolehkan gerakan dan harapan reformasi digerakkan untuk memecahkan kebuntuan.

Kerja ini tidak mudah kerana orang tua akan memilih untuk percaya sistem tua dan kerangka lama. Maka kisah kemaksuman Maha Vajiralongkorn dijual kembali. Atau kecintaan dan rasa patriotik diapungkan semula. Lebih menghiris, golongan tua mengingatkan; hanya mereka yang ada kefahaman tentang bagaimana bumi berputar.

Anak muda di luar Thailand sedang kehabisan rujukan dan ikon. Di Amerika Syarikat misalnya, anak muda terpaksa berpacak di belakang Bernie Sanders. Mujur sahaja idea Sanders muda. Sekarisma Sanders pun dia ditewaskan sistem tua Parti Demokrat.

Anak muda Thailand memerlukan Thanathorn. Negara itu memerlukan Thanathorn meskipun dia berbangsa Cina. Masyarakat di sana mendambakan Thanathorn walaupun keluarganya beroleh kekayaan kerana pernah berada di dalam sistem. Pemberontakan atau bantahan besar masih memerlukan tukang bakar yang ikonik.

Fabrik dan iklim politik Thailand tentunya berbeza dengan negara lain di Asia Tenggara. Hubungan basi korup di Thailand ialah tentera dan istana. Akan tetapi satu persamaan yang mungkin bermakna untuk direnungkan sama, bukan sahaja di Thailand dan di seluruh Asia Tenggara ialah dunia atau bumi ini dipaksa bekerja mengitar berpusing mengikut lunas dan aturan orang tua.

Di Malaysia, pilihan yang disuguhkan untuk rakyat adalah barisan orang tua. Untuk menghalang satu orang tua dari berkuasa, satu orang tua lain akan menggasak, kemudian akan muncul beberapa lagi orang tua. Idea mereka balik-balik sama. Bagaimana untuk berkuasa dan mengekalkan sistem tua.

Anak muda tidak ada ertinya. Mereka disuruh duduk tepi dan lebih celaka, musuh anak muda ini ialah anak muda lainnya yang masih mendambakan cara tua. Anak muda itu memain-mainkan anak muda yang sepatutnya didokong dan sanggup mengkultuskan orang tua.

Anak muda selalu juga senang diperdaya. Ada pelajaran dari Thailand untuk kita mengerti. Ada banyak cara untuk melambatkan Thanathorn Juangroongruangkit, dan Future Forward. Sebagai contoh, seorang tua yang lain dari parti pembangkang yang teras; Pheu Thai, iaitu Sompong Amornvivat mengumumkan parti tersebut juga ingin memesrai orang muda. Maka 24 orang muka baru diketengahkan dan orang terasa ia baharu dan segar. Padahal muka muda dan konon baru itu sebetulnya pendamba dan pemuja keluarga Shinawatra, bekas Perdana Menteri Thailand yang korup.

Untuk meyakinkan anak muda, Sompong Amornvivat menjanjikan Pheu Thai akan distruktur, perlembagaannya akan dikemaskini dan paling penting teriak cemas ekonomi akan diberi perhatian. Pendekatan baharu parti itu ialah menggunakan komunikasi teknologi yang canggih dan terkini, dengan harapan remaja dan anak muda terkecur liur. Agar orang muda lupa bahawa Khunying Potjaman na Pombejra, bekas isteri Thaksin Shinawatra, masih berkuku dalam parti tersebut.

Anak muda tidak mahu berganjak. 19 Oktober 2020, hatta akhbar utama negara tersebut – Bangkok Post – menyatakan; ‘Kita Memerlukan Kepimpinan Yang Lebih Baik’.

Anak muda terus keluar mengalir di jalanan, dengan isyarat tiga jari Hunger Games. Mereka menguasai Twitter, Tiktok, Youtube dan Instagram tentunya. Demonstrasi telah merebak. Akan tetapi anak muda Thailand sedang terlupa, pengaruh di media sosial bukan bererti seluruh negara ikut sama.

Di luar sana, ibu bapa anak-anak muda itu tidak merasakan apa yang dilakukan oleh generasi baharu ini benar dan betul. Ibu bapa mereka menolak Future Forward. Ibu bapa mereka – dek jurang umur – menolak seorang pemimpin, Thanathorn Juangroongruangkit, usianya 41 tahun dan kebetulan berbangsa Cina.

Bagaimana anak muda Thailand akan mengekalkan momentum dan memberitahu mereka di luar media sosial yang bumi ini tidak mengitar hanya si tua?

Bagaimana ia dapat dilakukan di luar Thailand juga? Di Indonesia misalnya?

Di Malaysia tidak apa-apa. Musuh anak muda ini ialah anak muda lainnya yang masih menagihi cara tua. Anak muda itu memain-mainkan anak muda yang sepatutnya didokong dan sanggup mengkultuskan orang tua.

Komen