BULAN Ramadan adalah bulan yang istimewa dari bulan-bulan yang lain. Ramai orang yang menunggu-nunggu supaya bulan ini hadir segera. Ceramah-ceramah agama dari pelbagai platform mengakui hal yang sama. Belum pernah saya dengarkan ceramah bahawa bulan Ramadan itu bukan bulan yang dinantikan. Dulu sewaktu di bangku sekolah, guru-guru selalu berpesan pada bulan ini harus melakukan banyak kebaikan kerana bulan ini seperti bulan bonus untuk mendapatkan keberkatan.
Bulan Ramadan juga merupakan bulan peperangan. Peperangan di mana kita harus melawan hawa nafsu yang bergelumang di dalam tubuh tidak kira dari nafsu makan, nafsu seksual, nafsu membeli, nafsu menumpukkan harta, nafsu merendahkan martabat manusia semuanya harus diperangi. Untuk melawan nafsu perlukan kebijaksanaan di sebabkan itu bulan ini merupakan bulan untuk melawan kebodohan. Kebodohan tidak boleh diperagakan, di tonjolkan atau didendangkan sekalipun. Sesiapa yang mempamerkan kebodohan harus ditegur dan diperbetulkan supaya ia tidak berlanjutan kepada bulan-bulan yang lain.
Ciri-Ciri Kebodohan
Tugas utama ketika tibanya bulan Ramadan bukanlah hanya mengenal restoran mana yang menghidang makanan sedap, atau rumah anak-anak yatim atau orang-orang miskin mana yang akan mendapat liputan luas, busana-busana mana yang menawarkan harga ribuan ringgit dan hujah-hujah agama apa yang boleh digunakan untuk menyerang politik lawan. Sebaliknya tugas utama sewaktu tibanya Ramadan adalah untuk mengenal pasti idea-idea mana yang promosikan kebodohan dan merosakkan.
Antara kebodohan yang harus diperangi termasuklah kebodohan ketika mana tidak boleh membezakan yang adil dan zalim. Yang zalim dianggap idea bernas, yang adil dikesampingkan. Memberi kepada yang miskin di anggap beban, tapi menjarah hasil si miskin dianggap kewajipan. Memerangi segala kerosakan dianggap mainan tetapi yang merosakkan diberikan perhatian. Kalau hal begini diteruskan seribu kali Ramadan tiba pun tidak akan berlaku perubahan.
Kemudian, kebodohan juga terjelma ketika tidak tahu membezakan antara batin dan zahir. Setiap yang zahir itu harus mengandungi isi yang padu contoh dari segi gagasan dan ajaran. Jangan hanya melihat luaran sahaja dengan ingatan sudah sempurna tetapi didalamnya kontang dan tidak ada apa-apa. Malahan ada pula yang merosakkan tetapi terlepas kerana bersembunyi di sebalik busana-busana sempurna mereka. Seharusnya, kedua-dua itu harusnya segandingan kuat.
Jika tidak akan lahirlah ciri bodoh yang ketiga iaitu akan menghasilkan kelompok yang mengikut tapi tidak faham. Bila ditabur dedak ramai yang menghimpit berkata itu dan ini, mencemuh itu dan ini tetapi sebenarnya tidak pernah membaca dan memahami apa yang diperkatakan. Kerap kali mereka ini menyalahkan yang lain dengan pelbagai label tanpa pernah melihat sedikit pun wacana dan perbaikan yang mereka telah lakukan dari gagasan mereka itu. Sebenarnya hanyalah omongan kosong dan mahu memperlihatkan diri mereka lebih kuat berbanding yang lain walaupun dari segi ekonomi, pendidikan tidak seperti yang diimaginasikan.
Bodoh juga boleh berlaku ketika mana tidak dapat membezakan antara kitab wahyu yang sempurna dengan tafsiran manusia yang sementara. Bila dikritik tafsiran manusia dikatanya menghina agama. Sedangkan yang dikritik itu tafsiran yang dangkal dan tidak memperkirakan hal-hal semasa dan boleh memecah-belah kan keharmonian manusia, bukanlah kritikan terhadap agama yang benar-benar sudah diketahui suci dan menyuluh jalan. Pada akhirnya manusialah yang mentafsirkan segala yang ditulis pada kitab, boleh jadi benar dan boleh jadi meleset bagi ruang-ruang kosong inilah sepatutnya yang diberikan penekanan
Seterusnya, tidak mahu belajar dari segala punca ilmu dengan andaian sudah sempurna juga merupakan suatu kebodohan. Sudahlah dirinya tidak mahu belajar, kemudian memperlekehkan pula kelompok yang lain yang tekun belajar. Malah direndah-rendahkan pula kononnya ilmu yang dipelajari tidak akan ke mana, ilmu darinya saja yang betul walaupun tidak ada nilai tambah. Akhirnya bernafsu untuk memperlakukan orang lain lebih kecil daripada dirinya. Kemudian berhujung kepada iri hati melihat kelompok lain maju lebih jauh berbanding kelompoknya sendiri.
Nah kebodohan ini juga antara yang durjana terutama apabila menerima kepimpinan lambak yang akan merosakkan semua. Kepimpinan ini tidak mendukung semangat demokrasi, bersikap rasisme, gilakan kuasa, ketuanan agama, korup dan membiarkan hidup pengikutnya di bawah payung ketaksuban dan kejahilan. Lagi tinggi maqam jahilnya lagi disukai untuk diarak sebagai wira masyarakat. Nah nafsu-nafsu sebegini harus diperhati supaya ia tidak merosakkan Ramadan yang kita semua cintai.
Kebodohan juga boleh terjelma ketika membiarkan pasaran dan modal mendiktat kehidupan. Yang dikritik tidak pernah terkait dengan kuasa modal, dominasi, monopoli, konsumerisme dan kapitalis yang berbasiskan agama. Tetapi mereka yang tidak mengikut aturan secara simbolis yang diherdik dan diterkam. Walhal perkara yang terkait dengan masyarakat lebih besar tanggungjawabnya berbanding terkait dengan hal peribadi individu
Kesimpulan
Begitulah antara ciri-ciri kebodohan yang termanifestasi. Ada sebab mengapa Ramadan dipertemukan pada kita semua. Sudah tentu untuk kita merefleksi segala kebodohan kemudian menukarkannya kepada hal-hal yang lebih bijaksana. Jika kebodohan terus-terusan ditonjolkan tidak akan bermakna Ramadan yang di amalkan setiap tahun.

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.