Bukalah Matamu

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Isnin lepas di dalam grup Whatsapp saudara-mara saya, salah seorang dari kami mula bertanya jika ada sesiapa yang memerlukan bantuan kewangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, bolehlah hantar mesej secara peribadi kepadanya. Yang mana boleh bantu, akan dibantu.

Saya percaya situasi berkenaan bukan berlaku di dalam grup Whatsapp saudara-mara saya sahaja. Berkemungkinan besar ia juga berlaku dalam grup Whatsapp keluarga dan saudara anda. Belum cukup dua minggu, keperitan tempoh PKP ini sudah mulai dirasai.

Akak penjual nasi lemak atau pisang goreng, brader penjual burger Ramly, penjual air boba tepi jalan hinggalah pekerja gaji harian seperti pomen dan tukang cuci, peniaga pasar malam dan pasar tani, golongan petani dan nelayan, pemilik perniagaan kecil dan sederhana yang jualan kedainya bergantung pada pembelian harian oleh pelanggan; mereka ini adalah golongan yang paling teruk terjejas akibat PKP.

Mereka yang saya sebutkan di atas ini, rata-rata adalah dari golongan B40. Kelompok 40%  dalam masyarakat kita dengan pendapatan terendah.

Apabila kerajaan mengumumkan bahawa tempoh PKP bakal dilanjutkan dua minggu lagi, bermakna golongan di atas tadi bakal terjejas sebulan lamanya. Tiada pendapatan atau gaji sebulan untuk makan minum, pakaian, ubatan dan keperluan lain buat seisi keluarga. Dan jika hal kewangan itu sudah berat, pertimbangkan juga bahawa bagi sebahagian besar golongan, mereka tinggal diam di dalam rumah flat kos rendah. Bersesak-sesak sesama ahli keluarga dalam ruang sempit yang mungkin ada hanya dua atau tiga bilik, satu bilik air, tanpa laman atau balkoni dan juga larangan berada di luar menggunakan kemudahan riadah dan sebagainya.

Mereka adalah golongan yang paling terkesan dari pelaksanaan PKP ini dan untuk kita yang mungkin berada pada kedudukan lebih baik memilih untuk diam atau tidak ambil tahu, adalah satu dosa kemanusiaan yang keji.

Kerajaan sendiri telah melaksanakan beberapa langkah untuk membantu rakyat. Buat masa ini, dua langkah paling ketara dilihat dapat meringankan beban rakyat kesan dari PKP dan impak COVID-19.

Yang pertama, kebenaran untuk mengeluarkan wang dari Akaun 2 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh maksimum 12 bulan. Sekalipun langkah ini menjejaskan simpanan hari tua pencarum, tetapi ianya perlu dalam usaha meringankan beban rakyat selain pada masa sama membantu mewujudkan aliran tunai dalam ekonomi yang semakin lesu akibat pandemik global ini.

Langkah kedua adalah pemberian moratorium secara automatik untuk bayaran pinjaman bank, baik untuk peminjam individu atau pun syarikat. Moratorium selama enam bulan ini akan meringankan beban komitmen bulanan selain sekali lagi akan mewujudkan aliran tunai untuk pembelian barangan keperluan.

Namun jika kita merasakan bahawa dua langkah ini sudah lebih dari cukup untuk membantu golongan B40 yang paling teruk terjejas, ianya adalah jangkaan meleset. Melainkan kelompok B40 yang mungkin bekerja makan gaji, sebahagian besar yang lain pula seperti mereka yang merupakan peniaga kecil, petani, nelayan atau bekerja sendiri tidak mencarum di dalam KWSP. Sebahagian dari golongan B40 ini juga tidak memiliki pinjaman bank untuk rumah atau kenderaan seperti kereta, kerana rata-rata mereka hanya menyewa ataupun sekadar memiliki motorsikal sebagai kenderaan peribadi. Oleh itu, moratorium selama enam bulan tidak banya membantu untuk meringankan beban mereka.

Apa yang jelas, langkah yang lebih drastik perlu direncanakan bagi membantu secara khusus golongan B40. Untuk ini, pemberian bantuan kewangan atau bantuan sara hidup adalah perlu. Ia tidak semestinya terhad sekadar mengganti kehilangan pendapat sebulan akibat pelaksanaan PKP, tetapi harus mengambil kira keperluan sara hidup untuk tempoh enam bulan lagi akibat impak COVID-19 ke atas ekonomi. Selain dari bantuan kewangan, langkah alternatif lain yang perlu diberi pertimbangan adalah seperti mewujudkan simpanan makanan atau food bank khusus untuk golongan yang terjejas teruk.

Impak COVID-19 ke atas ekonomi negara memang bukan kecil akibatnya. Unjuran yng dibuat oleh sebuah badan pemikir tempatan meletakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bakal menyusut 6.9%, sekaligus menjadikan pertumbuhan KDNK sebenar pada kadar negatif 2.9%. Kehilangan pekerjaan akibat COVID-19 di Malaysia dijangka pada angka sekitar 2.4 juta pekerjaan, 67% darinya adalah pekerjaan am atau tidak mahir iaitu bidang kerja utama golongan B40. Perbelanjaan isi rumah pula dijangka merosot sebanyak 11% berikutan kejatuhan pendapatan isi rumah sebanyak 12%.

Kesan KPK selama empat minggu atau sebulan adalah besar, tapi jauh lebih besar ialah riak air yang timbul akibat pandemik COVID-19. Dan impak dari situasi ini berbeza-beza mengikut kelas sosial masyarakat. Ia mungkin tidak sebesar mana untuk T20, sederhana untuk M40 tetapi yang pasti ia adalah bencana buat B40.

Mengharapkan kerajaan untuk bertindak adalah perkara yang betul. Tetapi pada skala kecil, kita yang mungkin berada pada kedudukan lebih baik bolehlah menjenguk pada ahli keluarga, saudara-mara atau jiran tetangga yang berada dalam kelompok B40. Sedikit empati dan simpati adalah perlu untuk kita merasai keperitan yang mereka lalui dan bantuan yang mereka perlukan. Kitalah yang boleh membantu sesama kita.

PKP dan COVID-19 mengajar kita satu perkara pokok, pentingnya keutuhan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan itu. Kerana dengan dua hal ini, kita dapat mengambil tahu ahli keluarga, saudara dan jiran yang malamnya mungkin tiada beras untuk dijamah, tiada teh untuk dihirup dan tiada susu untuk disuapkan pada anak kecil.

Bukalah matamu. Bantulah mereka yang memerlukan.

Komen